Rabu, 9 Februari 2011

Ugut ibu sendiri


IPOH: Seorang lelaki menukar pengakuan bersalah setelah dinasihatkan berbuat demikian di Mahkamah Majistret di sini, semalam. 

Tertuduh, Khairul Azahar Zulkepli, 21, pada mulanya mengaku bersalah atas tuduhan melakukan ugutan terhadap ibunya sendiri, Sabariah Mohamed Noor, 53 di rumahnya di Taman Rasa Sayang, di sini sekitar 11 pagi pada 5 Februari lalu. 

Atas kesalahan berkenaan Khairul didapati telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. 

Di bawah seksyen tersebut Khairul juga boleh dihukum penjara selama tujuh tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali. 

Bagaimanapun, ketika pertuduhan dibacakan, Khairul menafikan bahawa dia ada mengeluarkan kata-kata kesat seperti ‘Hang jangan cakap banyak, duduk diam-diam, kang aku bunuh kang’ terhadap ibunya. 

Majistret, Intan Fareena Zainal Abidin kemudiannya menasihati Khairul menukar pengakuannya kepada tidak bersalah serta menasihatkannya memohon untuk dibicarakan sebelum menetapkan tarikh 28 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan. 

Pendakwaraya Muhammad Al-Hirzan Mahamad Akhir mencadangkan agar Khairul dikenakan ikat jamin sebanyak RM1,500 sementara menunggu tarikh perbicaraan. 

Majistret, Intan Fareena Zainal Abidin kemudiannya menetapkan Khairul diikat jamin sebanyak RM600 dengan seorang penjamin tempatan./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan