Isnin, 21 Februari 2011

Tangan penarik kereta hampir putus ditetak

Kuala Terengganu: Seorang penarik kereta hampir putus tangan kirinya selepas ditetak dengan sebilah pedang di Kampung Tok Jiring di Kuala Terengganu semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K Manoharan berkata tangan mangsa ditetak pemilik sebuah kereta yang cuba ditarik dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang.

Beliau berkata dalam kejadian itu, penarik kereta yang berusia 48 tahun bersama empat lagi rakannya pergi ke rumah seorang pemilik kenderaan yang gagal membayar ansuran selama lima bulan.

"Berdasarkan laporan polis yang dibuat rakan mangsa, penarik kereta itu bersama seorang lagi rakannya menyerahkan surat kebenaran daripada pihak bank untuk menarik kereta tersebut kepada suspek.

"Namun sebaik sahaja membaca surat itu, suspek masuk ke dalam rumah sebelum keluar semula dengan membawa sebilah pedang dan terus menetak mangsa," katanya kepada pemberita hari ini.

Manoharan berkata mangsa yang cedera parah di tangan kirinya itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan untuk menyabung bahagian tangan yang hampir putus itu.

Katanya suspek berusia 42 tahun yang berasal dari Besut telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kira-kira pukul 9 malam semalam membuat laporan dia diserang oleh penarik kereta tersebut.

Lelaki itu kini direman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan