KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini semalam membebaskan seorang pembaiki bot daripada tuduhan membunuh bapa kandungnya setelah didapati tidak siuman semasa melakukan perbuatan itu pada Februari tahun lalu.
Shahrul Azmi Che Mat, 21, yang memakai baju-T berwarna putih dan seluar hitam kelihatan tenang ketika keputusan itu dibacakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Yazid Mustafa.
Mohd. Yazid ketika membacakan keputusan itu memerintahkan Shahrul Azmi ditempatkan di Hospital Permai, Johor Bahru untuk menjalani rawatan pemulihan sehingga mendapat perkenan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Dalam penghakimannya, Mohd. Yazid berkata, pemeriksaan dan pemerhatian selama tiga bulan ke atas tertuduh di Hospital Permai mendapati dia melakukan kesalahan itu dalam keadaan tidak waras dan tidak siuman.
Kata beliau, pihak pendakwaan berjaya mengemukakan serta membuktikan kesalahan tertuduh namun, keterangan daripada Pakar Runding Forensik Psikiatri Hospital Permai, Dr. Badi'ah Yahya mendapati lelaki itu mengalami gejala psikosis./kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan