Memaparkan catatan dengan label Curi/Pecah rumah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Curi/Pecah rumah. Papar semua catatan

Jumaat, 17 Ogos 2012

Penjahat bulan Ramadan dicekup


DUA suspek yang terlibat kes pecah rumah di Seksyen 1, Wangsa Maju ditahan di Balai Polis Wangsa Maju kelmarin.
KUALA LUMPUR: Ketika umat Islam sibuk membuat amal ibadat pada hari-hari terakhir bulan Ramadan, lain pula perangai dua lelaki yang mengambil kesempatan memecah masuk beberapa buah rumah di Wangsa Maju di sini dipercayai bagi mengumpul duit raya.

Dua suspek warga tempatan itu bijak memilih masa apabila menyasarkan apartmen yang tiada penghuni sama ada pemiliknya keluar ke surau, masjid atau berbuka puasa.

Kegiatan dua sahabat itu terbongkar apabila mereka dilihat berada dalam keadaan mencurigakan dengan berlegar-legar di sekitar sebuah flat di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia 30-an itu kemudian cuba memecah masuk dua buah rumah di Blok A1 dan Blok A10 tetapi tidak berjaya kerana ramai penghuni lalu lalang di flat itu.

Selepas kegagalan itu, kedua-dua suspek berpisah untuk melakukan pecah rumah secara berseorangan./kosmo

Jumaat, 22 Jun 2012

Pecah rumah kumpul duit kahwin

NIBONG TEBAL: Siapa sangka usaha keras seorang lelaki bekerja siang malam mengumpul wang untuk ke jinjang pelamin dua minggu lalu rupa-rupanya diperoleh hasil daripada 58 kegiatan pecah rumah sejak dua tahun lalu.

Tembelang pengantin baharu itu pecah setelah suspek bersama seorang lagi rakannya dicekup polis daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pada Ahad lalu berikutan kes-kes pecah rumah di daerah ini, Parit Buntar, Perak dan Bandar Baharu, Kedah.

Ketua Polis Daerah SPS, Superintendan Shafien Mamat berkata, kedua-dua sahabat itu ditahan selepas polis menemui bukti mengaitkan pembabitan mereka dalam kes-kes pecah rumah yang dilaporkan sejak awal tahun lalu.

Menurut beliau, suspek pertama berusia 26 tahun yang baru dua minggu berkahwin ditahan di rumahnya di Sungai Duri pukul 5 pagi manakala rakannya berusia 23 tahun ditahan di rumahnya di Parit Kasa pukul 11 malam.

“Jarak antara rumah kedua-dua suspek itu adalah 22 kilometer dan mereka dipercayai sudah bersahabat sejak sekian lama,” kata beliau.

Menurut beliau, suspek pertama itu mengaku dia melakukan kes-kes pecah rumah sejak dua tahun untuk mengumpul wang bagi majlis pernikahannya yang berlangsung kira-kira dua minggu lalu./kosmo

Isnin, 9 April 2012

Jururawat dituduh curi seluar dalam

Jururawat dituduh curi seluar dalamKOTA BHARU: Hanya kerana mencuri sekotak seluar dalam, seorang jururawat sebuah hospital dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mencuri satu kotak seluar dalam lelaki dan beberapa barangan lain di sebuah pasar raya, minggu lalu.
Tertuduh Zubaidah Yaacob, 26, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di hadapan Majistret Mohd. Hafiz Mohd. Noor.

Mengikut pertuduhan, Zubaidah didakwa mencuri satu kotak seluar dalam lelaki jenama Edwin, dua helai baju T lelaki jenama Polo, sehelai baju perempuan jenama LD Mat, satu tali pinggang kulit, satu selipar dalam rumah jenama G-Style, satu getah pengikat rambut jenama G-Style dan satu klip rambut jenama G-Style di pasar raya tersebut pada jam 2.30 petang.

Zubaidah dari Kampung Padang Lati Bekelam, Bachok, didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad yang mengendalikan pendakwaan menawarkan tertuduh dengan jaminan sebanyak RM4,500.Bagaimanapun Zubaidah yang berada di kandang tertuduh memohon supaya wang jaminannya dikurangkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,800 dan 30 April ini untuk sebutan kes./sinarharian

Selasa, 3 Januari 2012

Penjara sebulan curi seluar dalam

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah kerana mencuri dua kotak seluar dalam di sebuah kompleks membeli-belah dan gagal menunjukkan kad pengenalannya, dua hari lepas.

Majistret Mohd Azali Ibrahim memerintahkan M. Tharmalingan, 29, menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada Ahad lepas.

Tharmalingan mencuri dua kotak seluar dalam jenama Alain Delon bernilai RM30 di UO Shopping Complex, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini pada pukul 2.47 petang, 1 Jan lepas mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Dia juga dituduh kerana kegagalan menunjukkan kad pengenalannya ketika diminta berbuat demikian oleh polis pada pukul 3 petang di tempat dan tarikh yang sama.

Ketika membuat rayuan, peguam Farkhana Omar, yang mewakili Tharmalingan berkata kliennya itu memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan.

Timbalan Pendakwa raya Loh Wei Dhin mengendalikan pendakwaan./Bernama

Khamis, 29 Disember 2011

Remaja curi duit pengunjung masjid kena cekup

RAUB: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai mencuri wang milik salah seorang jemaah Masjid Tengku Abu Bakar, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, seorang remaja berusia 19 tahun meletakkan begnya yang berisi dompet dan wang tunai RM200 di ruang solat wanita.

Menurutnya, lebih kurang jam 8.50 pagi itu, mangsa ke tandas sebelum masuk semula ke dalam masjid dan mendapati beg pakaiannya terbuka dan dompet telah tiada.

“Mangsa sempat bertanyakan beberapa individu yang berada di sekitar masjid dan pihak pengurusan masjid juga mendapat makluman awal berkaitan kes kecurian itu.

“Berdasarkan maklumat orang ramai, suspek berjaya ditahan di Perhentian Bas dekat Pusat Perdagangan Raub,” katanya.

Wan Mohd Samsudin berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Serendah, Selangor itu menyimpan wang RM200 dalam dompetnya.

Katanya, suspek bertindak mengeluarkan wang dan membuang dompet mangsa ke dalam salah sebuah pasu di masjid berkenaan.

“Suspek juga menunjukkan sendiri lokasi dompet mangsa yang dibuangnya dan ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya didapati negatif.

“Suspek pernah bekerja sambilan di sebuah kedai makanan dekat Bandar Raub dan difahamkan baru sahaja berhenti kerja,” kata Wan Mohd Samsudin.

Beliau berkata, pada malam sebelum kejadian, suspek dipercayai baru sahaja sampai dari Serendah dan tidur di masjid itu.

Katanya, suspek mendakwa melakukan perbuatan mencuri itu kerana ingin dijadikan tambang bas untuk pulang semula ke kampungnya di Serendah.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan dan orang ramai perlu sentiasa berhati-hati termasuk ketika berada dalam kawasan masjid atau surau supaya menjaga barangan berharga termasuk wang dan telefon bimbit,” katanya.

Sementara itu, tindakan suspek memulangkan semula dompet yang diambilnya dalam beg pakaian mangsa akhirnya memerangkap dirinya sendiri.

Imam Dua Masjid Tengku Abu Bakar, Abd Rahman Mohd Ali berkata, ketika kejadian beliau sedang memeriksa alat pembesar suara dalam masjid itu.

Menurutnya, pada masa itu dia terlihat seorang remaja lelaki mencampak dompet ke dalam sebuah pasu di penjuru masjid berhampiran tempat wuduk dan tandas wanita.

“Pada waktu itu saya menggunakan mikrofon untuk menguji sistem bunyinya dan sempat saya menjerit sebagai respons apabila melihat perbuatan remaja itu.

“Orang ramai juga keluar dari premis berdekatan dan sempat melihat kelibat suspek melarikan diri keluar dari kawasan masjid menuju ke bandar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Abd Rahman berkata, dia sempat menceritakan kepada anggota polis berdekatan tentang kejadian berkenaan dan menerangkan ciri-ciri fizikal remaja itu.

“Dalam masa singkat sahaja, polis dapat mengesan kedudukan lokasi suspek ketika itu dan berjaya memberkasnya,” katanya./sinarharian

'Toyol' cilik curi RM20 ribu ditangkap

PUCHONG: Disangkanya toyol yang mencuri duit simpanan yang diletakkan dalam kotak berkunci di dalam bilik tidur rumahnya, namun misteri kehilangan wang tunai berjumlah hampir RM20,000 milik seorang kontraktor sebelum ini terjawab apabila tiga penyamun cilik mengaku melakukan perbuatan itu.

Difahamkan, penyamun cilik terbabit mengaku mencuri wang tunai itu selepas ditakut-takutkan anak mangsa yang mendakwa badan mereka yang mencuri akan terasa panas kerana terkena air jampi.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal berkata, sebelum ini beberapa kali duit yang disimpan di dalam biliknya didapati hilang namun gagal menjejaki si pencuri./sinarharian

Selasa, 27 Disember 2011

2 banglo disamun, bakar

MUSNAH...satu daripada dua banglo yang dibakar pencuri.
MUSNAH...satu daripada dua banglo yang dibakar pencuri.
KAJANG: Samun dan bakar. Itulah tindakan kejam kumpulan penyamun yang memecah masuk dan mencuri barangan berharga sebelum membakar dua banglo di Bandar Rinching, Semenyih di sini, dipercayai bagi menghapuskan bukti dalam kejadian awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, kumpulan terbabit tidak menghiraukan kehadiran anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berusaha memadam kebakaran di rumah pertama, sebaliknya mereka terus membakar rumah kedua yang kedudukannya hanya bersebelahan.

Difahamkan, akibat perbuatan itu jumlah kerugian membabitkan kedua-dua banglo berkenaan dianggarkan mencecah RM1 juta namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan tiada penghuni ketika insiden berlaku.

Sumber polis berkata, kumpulan terbabit dipercayai menggunakan pemotong besi untuk memotong mangga bagi memecah masuk ke rumah pertama.

“Selepas mencuri barangan berharga di rumah pertama, kumpulan terbabit kemudian membakar rumah itu dan meninggalkannya.

“Kumpulan terbabit kemudian memecah masuk rumah kedua yang terletak bersebelahan dengan rumah pertama dipercayai menggunakan kaedah sama,” katanya.

Menurutnya, pasukan bomba dan penyelamat yang menerima laporan mengenai kejadian itu segera bergegas ke lokasi kejadian sebelum usaha memadamkan kebakaran itu dilakukan.

“Ketika bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di rumah pertama, anggota bomba ternampak rumah kedua turut dijilat api,” katanya yang menyatakan anggota bomba mula mengesyaki punca kebakaran itu bukannya disebabkan masalah teknikal sebaliknya kegiatan jenayah. Pihak berkuasa yang dimaklumkan mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi kejadian manakala anggota bomba kemudian bertindak memadamkan kebakaran di rumah kedua itu.

Sumber berkata, selepas meninggalkan rumah kedua, kumpulan itu dilaporkan cuba memecah masuk ke rumah ketiga yang terletak selang tujuh rumah dari lokasi pertama dan kedua.

“Bagaimanapun, usaha mereka gagal apabila sistem penggera rumah berkenaan berbunyi menyebabkan kumpulan terbabit segera melarikan diri,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa sedang menyiasat kemungkinan kumpulan sama melakukan perbuatan itu kerana modus operandi dilakukan dalam insiden berkenaan hampir sama dengan kejadian sebelum ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kebakaran itu.

“Sehingga kini kami (polis) masih menunggu laporan daripada pihak forensik dan bomba mengenai nilai kerugian serta punca sebenar kebakaran itu,” katanya./hmetro

Khamis, 22 Disember 2011

Mengaku curi barang kemas bapa tiri

Mengaku curi barang kemas bapa tiriKUALA TERENGGANU: Tidak berhati perut! Seorang anak sanggup mencuri pelbagai jenis barang kemas bernilai RM10,000 milik bapa tirinya yang disimpan di dalam bilik kediaman mereka di Kampung Durian Burung, di sini, 9 Disember lalu.

Bagaimanapun, Zulhilmi Syazwan Mohamad, 21, menerima pembalasan atas perbuatannya setelah dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh mengaku bersalah mencuri seutas rantai emas kristal, sebentuk cincin tangan emas kristal, sebentuk cincin berlian, tiga bentuk kerongsang emas, dua utas rantai perak, sebentuk loket perak yang keseluruhannya bernilai RM10,000 pada 9 Disember lalu, jam 9 pagi di rumah mereka di Kampung Durian Burung, di sini.

Dengan itu, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi di hadapan Majistret Nor Azizah Jusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nor Azizah turut memerintahkan agar tertuduh dipenjara selama tiga bulan lagi jika gagal menjelaskan denda ditetapkan.

Berdasarkan fakta kes, kehilangan barang kemas itu hanya disedari bapa tiri tertuduh, Mohd Zam Endut, 55, pada 9 Disember lalu, jam 1 tengah hari setelah mendapati kayu pada cermin tingkap biliknya terdapat kesan dibuka.

Setelah membuat pemeriksaan, bapa tiri tertuduh yang bekerja sebagai peniaga emas itu mendapati beg yang mengandungi barang kemas telah tiada dan yakin ia dicuri, bapa tirinya itu terus membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga, di sini, pada hari sama.

Susulan laporan polis yang dibuat, dua hari selepas itu iaitu pada 11 Disember lalu, tertuduh telah ditangkap di tepi jalan, hadapan Hotel Terengganu kira-kira jam 1 tengah hari dan selepas disoal siasat, pada jam 2.10 petang, tertuduh telah menunjukkan lokasi barang kemas itu disimpan iaitu di dalam rumah mereka.

Pada masa sama, tertuduh turut mengaku telah memecah masuk bilik kedua orang tuanya itu pada 9 Disember lalu kira-kira jam 9 pagi setelah kedua-dua mereka tiada di rumah./sinarharian

Selasa, 6 Disember 2011

Penganggur Curi Duit Tabung Surau Dipenjara Tujuh Hari

KUALA LUMPUR: Gara-gara mencuri duit tabung surau, seorang penganggur pada Isnin dipenjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Majistret Parvin Hameedah Natchiar memerintahkan hukuman penjara terhadap Muhd Rosdi Ismail, 26, bermula hari ini.

Dia didakwa mencuri duit tabung surau berjumlah RM35 di tingkat 15, Kompleks Dayabumi pada 6.50 petang Sabtu lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tan Siew Ping./Bernama

Selasa, 22 November 2011

Guru al-Quran curi kabel

JITRA: Walaupun berkelulusan dari Universiti Al-Azhar, Mesir dan kini berkhidmat sebagai guru al-Quran sambilan di kampungnya, demi wang seorang lelaki sanggup mengenepikan ‘status’ itu apabila dia dicekup polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kabel telefon bersama dua rakannya di kawasan Kampung Belukar, Changlun, di sini, awal pagi kelmarin.

Suspek yang berusia awal 20-an berasal dari Alor Setar, manakala dua rakannya berusia 28 tahun yang berasal dari Kuala Nerang itu ditahan kira-kira jam 5.30 pagi sejurus selesai memotong kira-kira 70 meter kabel telefon milik Telekom Malaysia (TM) di kawasan itu.

Lelaki terbabit dikatakan baru pulang ke negara ini selepas tamat belajar di Mesir dan dikatakan turut mengajar al-Quran secara sambilan, tetapi mengambil kesempatan mencuri kabel telefon semata-mata untuk mendapatkan wang mudah./hmetro

Selasa, 25 Oktober 2011

Warga emas ditoreh penyamun

BESUT: Seorang warga emas cedera pada bahu dan dada kirinya akibat ditoreh dengan parang oleh lelaki yang cuba menyamun di rumahnya di Kampung Gong Nangka dekat Jerteh di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, warga emas berusia 69 tahun yang tinggal berdua dengan isterinya yang lumpuh berumur 68 tahun itu mengalami cedera parah dan pendarahan banyak.

:Mangsa dikejarkan ke Hospital Daerah Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan kira-kira sejam kemudian.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa bagaimanapun stabil setelah menerima lapan jahitan akibat bergelut dengan penyamun tersebut.

Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa yang bersiap hendak tidur terdengar bunyi kaca pecah di bahagian dapur rumah namun pada mulanya tidak mengendahkannya kerana menyangka perbuatan kucing.

“Bagaimanapun beberapa minit kemudian, mangsa terdengar kaca pecah kali kedua menyebabkan dia keluar dari bilik untuk memeriksa dan pada masa sama, dia terserempak dengan suspek yang memegang dua bilah parang menerpa ke arahnya,” kata Kamaruddin dalam sidang media di sini semalam.

Kamaruddin berkata, berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek menyebabkan suspek berusia 27 tahun itu sempat menghiris bahu dan dada kiri mangsa sebelum melarikan diri.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun bertindak terus melawan suspek menyebabkan suspek bengkak pipi dan bibir kanan akibat ditumbuk, malah telefon bimbit dan jam tangan suspek turut terjatuh di tempat kejadian.

Katanya, tindakan pantas polis dengan kerjasama penduduk kampung telah berjaya menahan suspek kira-kira jam 8.10 pagi semalam ketika suspek menyorok dalam semak di Kampung Bukit Kenak kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Kamaruddin berkata, suspek yang berasal dari Kampung Pacakan, Pasir Puteh, Kelantan itu turut cuba melawan dengan menggunakan sebilah parang yang dibawanya tetapi berjaya diberkas polis.

:Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methanphetamine dan dia direman untuk membantu siasatan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan./sinarharian

Sabtu, 22 Oktober 2011

2 sahabat onar dalam masjid

KUALA TERENGGANU: Tanpa rasa bersalah, dua sahabat mengaku mencuri dua buah beg milik seorang jemaah yang sedang menunaikan solat Subuh di Masjid Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 13 September lalu.

Bagaimanapun, perbuatan mereka terbalas selepas Mahkamah Majistret, semalam, menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan dan denda RM3,000 terhadap Tengku Ahmad Ridhwan Tengku Abdul Kadir, 29, dan penjara 12 bulan serta denda RM3,000 bagi tertuduh kedua, Mohd Fauzila Mat Noor, 33.

Hukuman dijatuhkan setelah kedua-dua tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Nor Azizah Jusoh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 13 September lalu antara jam 6 pagi hingga 6.30 pagi di Masjid Zainal Abidin, Kuala Terengganu telah mencuri dua buah beg milik Rohana Ramli, 36, dari Taman Indah Bandar Al- Muktafi Billah Shah, Dungun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang boleh di penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua atau kemudiannya, boleh dipenjara dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

:Mengikut fakta kes, mangsa telah ke Masjid Zainal Abidin Kuala Terengganu untuk menunaikan solat Subuh dan meletakkan beg berisi pakaian serta beg yang mengandungi dokumen penting di sebelahnya pada 13 September lalu kira-kira jam 6 pagi.

:Selepas menunaikan solat, mangsa dapati kedua-dua beg itu hilang dipercayai dicuri.

Barang yang ada di dalam beg itu ialah pakaian, tunai RM1,200, telefon bimbit, dua utas rantai tangan, kad pengenalan milik mangsa, MyKid, beberapa buah buku akaun, kad bank, kad kebajikan masyarakat, buku rawatan milik Muhamad Irwan Rizwan dan ubatan-ubatan.

Susulan laporan polis yang dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, pada 17 Oktober lalu, kira-kira jam 1.30 pagi hingga 4.10 pagi, kedua-dua tertuduh ditangkap di rumah masing-masing dan dibawa ke IPD untuk disoal siasat.

Hasilnya, tertuduh telah memberitahu beg yang dicuri itu dibuang di dalam semak di kawasan kampung Paya Bunga, di sini./sinarharian

Rabu, 19 Oktober 2011

Guru kerugian RM6,000 rumah dimasuki pencuri

PEKAN: Seorang guru wanita di sebuah sekolah rendah kerugian kira-kira RM6,000 apabila rumahnya di Taman Tanah Putih Baru di sini dimasuki pencuri hari ini.

Mangsa, Khairatul Azlina Abdul Karim, 33, hanya menyedari kejadian tersebut pada 9 pagi setelah pulang ke rumah selepas bermalam di rumah ibunya.

Katanya dia bersama empat anak lelakinya yang berusia antara lima bulan dan lima tahun meninggalkan rumah kira-kira 11.30 malam semalam untuk tidur di rumah ibunya yang terletak kira-kira 2 kilometer dari situ berikutan ketiadaan suaminya yang berkursus di Perlis sejak minggu lepas.

"Ketika membuka pintu rumah, saya terkejut kerana keadaan di dalam rumah berselerak dan pintu di bahagian tepi rumah terbuka," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Hasil pemeriksaan, dia mendapati sebuah komputer riba, kamera digital, sebentuk cincin emas dan tiga tabung duit syiling milik anaknya yang keseluruhan bernilai kira-kira RM6,000 telah hilang.

Khairatul Azlina berkata dia kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan.

"Mujur saya anak-beranak tergerak hati untuk tidur di rumah ibu, siapa tahu apa akan terjadi pada kami," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pekan DSP Amran Sidek mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu./Bernama

Isnin, 17 Oktober 2011

Suspek curi kereta turut disyaki rogol, bunuh

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang terbabit dengan kes rogol dan bunuh seorang remaja perempuan, Sheau Fang, 18, yang mana mayat mangsa ditanam di dalam lubang bersimen di depan rumahnya di Taman Perwira, Banting, tujuh tahun lalu.

Suspek berusia 37 tahun itu kini ditahan reman di Balai Polis Banting selama tujuh hari untuk siasatan berhubung kes berkenaan.

Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Adnan Abdullah, berkata suspek juga melarikan diri daripada lokap Balai Polis Banting, tujuh tahun lalu, ketika ditahan untuk siasatan kes berkenaan.

“Lelaki itu ditahan kerana terbabit dengan kes melarikan sebuah kereta mewah, baru-baru ini, dan hasil siasatan lanjut mendapati suspek turut terbabit dengan kes rogol dan bunuh.

“Polis akan membuka semula kertas siasatan kes berkenaan dan siasatan turut mendapati suspek pernah terbabit dengan kes peras ugut yang dilaporkan pada 1999,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan pada 9 Mac 2004, seorang gadis dilaporkan dirogol sebelum mayatnya ditanam dengan simen konkrit oleh seorang lelaki bagi mengelak dikesan.

Dalam kejadian di Taman Wira, Jalan Wira 24, Banting, lelaki terbabit menggunakan jengkaut bagi mengorek lubang sedalam 1.7 meter sebelum menutupkan kawasan itu dengan simen.

Gadis berkenaan sebelum itu dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 26 Februari 2004 selepas keluar bersama seorang lelaki pada jam 9 malam. Susulan kehilangan itu, keluarga mangsa membuat aduan di Biro Pengaduan Awam MCA./hmetro

Selasa, 27 September 2011

Curi duit bapa tiri untuk joli


KUALA TERENGGANU: Walaupun menyedari bapa tirinya hanya bekerja sebagai nelayan dan tidak memiliki banyak wang, namun seorang gadis masih sanggup mencuri duit milik bapa tirinya semata-mata untuk ‘berjoli’ dengan teman lelaki.

Bagaimanapun, tindakan gadis itu terbalas setelah dijatuhi hukuman tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di Mahkamah Majistret, di sini, semalam

Tertuduh, Fieda Azwa Anual, 19, dari Kampung Duyong Besar, Kuala Terengganu mengaku bersalah mencuri wang tunai sejumlah RM1,900 milik bapa tirinya, Marzuki Rani, 50, pada 24 September lalu kira-kira jam 11 malam di rumahnya di Kampung Duyong Besar, Kuala Terengganu.

Mengikut fakta kes, bapa tirinya hanya menyedari wang tunai RM1,900 yang disimpan di dalam rumah berkenaan hilang pada 21 September lalu kira-kira jam 11 malam, namun pada awalnya tidak mengesyaki apa-apa.

Keesokan harinya iaitu 22 September, kira-kira jam 12.30 tengah hari, bapa tiri bersama ibu tertuduh telah keluar dari rumah dan pulang semula ke rumah kira-kira jam 1.30 petang dan mendapati tiga anaknya iaitu adik tiri tertuduh yang masih kecil ditinggalkan di rumah sepupunya.

Sepupunya memberitahu yang tertuduh telah lari dari rumah dan bapa tirinya mengesyaki tertuduh yang mencuri wangnya sejumlah RM1,900 itu

Pada 24 September lalu, kira-kira jam 8 pagi, bapa tiri tertuduh bersama anggota polis telah membuat serbuan di tingkat tiga Hotel Terengganu, dan mendapati tertuduh ada bersama dengan seorang lelaki tidak dikenali, dipercayai teman lelakinya.

Setelah disiasat, didapati tertuduh telah menyewa hotel berkenaan dari 22 September hingga 23 September lalu dan apabila disoal siasat, dia mengakui telah mencuri wang tunai milik bapa tirinya itu

Dengan itu, Fieda Azwa didapati telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua atau kemudiannya hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Anak Dustan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela./sinarharian

Isnin, 26 September 2011

Murid tahun 4 ketua penyamun

BETONG: Seorang murid tahun empat dipercayai menjadi ketua satu geng pecah rumah dianggotai enam remaja yang memecah masuk rumah sepasang suami isteri dan melarikan pelbagai barangan kemas bernilai RM5,000.

Budak lelaki itu dan lima rakannya yang berusia antara 12 hingga 14 tahun melakukan kegiatan itu di rumah mangsa di kompleks kediaman kakitangan kerajaan di sini, 17 Oktober lalu, sebelum mereka ditahan polis pada Jumaat dan kelmarin.

Pemilik rumah berkenaan yang berusia 34 tahun membuat laporan polis sebaik menyedari kejadian itu selepas dia dan isterinya pulang bercuti dari Kanowit, kira-kira jam 8 malam Jumaat lalu.

Polis menahan seorang anggota kumpulan terbabit berusia 13 tahun di rumahnya beberapa jam selepas mangsa membuat laporan sebelum lima yang lain ditahan bersama pelbagai barangan kemas keesokannya.

Sumber polis berkata, semua suspek kejadian pecah rumah itu mudah diselesaikan apabila mereka dikesan memakai minyak wangi yang mempunyai bau sama dipercayai yang dicuri dari rumah mangsa. “Kumpulan penyamun cilik itu dipercayai sempat ‘berkelah’ di rumah pasangan terbabit sambil menjamu selera bijirin dan coklat sebelum mencuri pelbagai barangan kemas dan barang berharga,” katanya.

Menurutnya, sebaik mangsa pulang dari bercuti, mereka terkejut apabila mendapati dapur rumah berselerak dengan bijirin serta coklat sebelum melakukan pemeriksaan.

“Pasangan terbabit kemudian memeriksa bahagian atas dan mendapati laci almari terbuka, manakala barang kemas serta barangan berharga lain hilang sebelum mangsa membuat laporan polis, kira-kira jam 7.30 malam.

“Susulan laporan itu, polis menggerakkan operasi bagi memburu anggota kumpulan terbabit dan berjaya menahan seorang suspek berusia 13 tahun di rumahnya beberapa jam kemudian dan lima lagi rakannya pada keesokan hari,” katanya.

Sumber itu berkata, berikutan penahanan itu, polis menemui semula barangan berharga seperti rantai, gelang, cincin dan subang dicuri suspek.

“Kita turut mendapat maklumat mengenai gerak-geri kumpulan terbabit melalui penduduk yang kebetulan terserempak kelibat mereka di sekitar rumah berkenaan pada hari kejadian,” katanya.

Menurutnya, semua suspek direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 457, Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan ibu bapa remaja terbabit sudah dimaklumkan mengenai penahanan anak mereka./hmetro

Ahad, 25 September 2011

Curi duit bakal mertua

KUANTAN: Seorang penganggur menerima padah selepas dijatuhkan hukuman penjara 180 bulan dan 31 sebatan oleh dua Mahkamah Majistret berasingan, di sini, kelmarin. 

Tertuduh, Syed Mohd Badli Shah Syed Hamzah, 31, dari Kampung Sungai Karang Pantai menghadapi 10 pertuduhan iaitu mencuri kad mesin juruwang automatik (ATM) milik bakal ibu mentuanya dan membuat pengeluaran keseluruhan, RM12,0000. 

Di Mahkamah Majistret Khas Trafik, tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan dengan curang menggunakan kad ATM Maybank milik Ramlah Ali, 55, dari Bandar Indera Mahkota, untuk kegunaan sendiri tanpa mendapat kebenaran dan membuat tiga pengeluaran berturut-turut berjumlah RM4,000 di premis bank itu di Jalan Beserah, di sini, kira-kira jam 5.22 petang pada 31 Julai lalu. 

Lelaki itu mengaku bersalah di depan Majistret Rini Triany Muhamad Ali sebelum dikenakan hukuman penjara 15 bulan dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan. 

Manakala di Mahkamah Majistret 1 pula, dia dituduh melakukan tujuh kesalahan sama dengan membuat pengeluaran kesemuanya berjumlah RM8,000 pada 30 Julai hingga 2 Ogos lalu di premis Maybank berasingan di sekitar pusat bandar. 

Tertuduh mengaku bersalah bagi setiap dakwaan terbabit di depan Majistret Nordiana Abdul Aziz yang kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan dan empat sebatan bagi pertuduhan pertama. 

Manakala bagi pertuduhan kedua sehingga ke-7, Nordiana menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan dan empat sebatan bagi setiap pertuduhan. 

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Abdul Halim Hamad, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun dan sebatan serta denda./sinarharian

Jumaat, 9 September 2011

Bergelut dengan penyamun

KOTA BHARU: Tindakan berani seorang anak bergelut dengan penyamun bersenjatakan parang dan bertopeng dapat menyelamatkan ibunya daripada menjadi mangsa curi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi semalam, seorang peniaga ikan cedera di tangan ketika bergelut dengan seorang daripada dua penyamun yang bersenjata ketika menceroboh masuk bilik ibunya, Hasmah Ali, 54,

Mangsa Saupi Jusoh, 28, yang bergelut di dalam bilik di rumahnya di Kampung Pulau Gajah, Pengkalan Chepa itu luka di ibu jari dan telunjuk terpaksa menerima 14 jahitan, selepas menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II.

Saupi berkata, ketika kejadian dia tidur di ruang tamu dan sebaik sahaja terdengar jeritan ibunya, dia bergegas masuk ke bilik sebelum bergelut dengan seorang lelaki bertopeng.

“Dalam keadaan samar-samar itu saya terus menerkam salah seorang lelaki kerana saya tidak ternampak dia memegang senjata dan bergelut dengannya lelaki tersebut demi menyelamatkan ibu saya.

“Ketika kami bergelut salah seorang daripada lelaki terbabit sempat melarikan diri dan dalam masa sama saya cedera serta dia juga luka kerana selepas kejadian ini saya melihat terdapat kesan darah di lantai rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Sementara itu, Hasmah berkata, ketika kejadian dia hanya mampu menjerit meminta pertolongan dan meronta-ronta tetapi tidak dapat bertindak agresif kerana mulutnya ditutup oleh salah seorang lelaki terbabit.

Hasmah juga bernasib baik kerana tindakan cepat anaknya itu menyebabkan pencuri tersebut berputih mata tidak dapat mengambil barangan termasuk barang kemas yang dipakainya bernilai kira-kira RM50,000

Katanya, akibat ketakutan kedua-dua lelaki terbabit meninggalkan sebilah pedang, sepucuk pistol mainan, esi pengumpil dan barangan yang ditemui itu diserahkan kepada polis.

“Saya mempercayai lelaki tersebut menceroboh masuk menerusi tingkap berdasarkan kesan umpil dan membuka pintu dapur untuk memudahkan mereka melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superitendan Idris Abd. Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, sebaik menerima laporan, polis melancarkan gerakan memburu suspek untuk membantu siasatan.

”Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah pada malam hari dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun,” katanya./sinarharian

Sabtu, 3 September 2011

Patah tulang rahang dibelasah penyamun

TAMPIN: Taktik licik seorang penyamun kononnya datang untuk beraya membawa malang berganda kepada seorang wanita warga emas apabila dia bukan saja disamun, malah patah tulang rahang akibat dibelasah di Kampung Sungai Dua, Gemencheh, di sini, petang kelmarin

Malah, kemeriahan menyambut Syawal bertukar mimpi ngeri buat mangsa apabila mengalami kerugian RM10,000 kerana disamun lelaki tidak dikenalinya itu

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, wanita warga emas berusia 73 tahun yang tinggal seorang diri di rumahnya, didatangi seorang lelaki tidak dikenali mengetuk pintu rumahnya sambil memberi salam dan memberitahu datang untuk beraya

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, mangsa yang juga ibu tunggal itu kemudian membuka pintu untuk melihat tetamu yang datang ke rumahnya

Bagaimanapun, sebaik membuka pintu, lelaki itu terus membelasah mangsa menggunakan topi keledar menyebabkan wanita warga emas itu cedera

Suspek kemudian meragut rantai leher dipakai warga emas itu sebelum menyelongkar bilik tidur bagi mencari barang kemas dan wang yang tersimpan di bawah katil,” katanya di sini, semalam

Beliau berkata, sebaik mengambil semua barang kemas dan wang mangsa dianggarkan bernilai lebih RM10,000, suspek berbadan kecil itu terus keluar dipercayai menggunakan motosikal meninggalkan mangsa dalam keadaan kesakitan

Katanya, mangsa yang cedera di kepala, bengkak di dahi dan patah tulang rahang itu meminta pertolongan jiran mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Air Kuning Selatan sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
“Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan siasatan berhubung kejadian ini masih dijalankan,” katanya./hmetro

apa mahu jadi....Penutup besi dua kali dicuri

PORT DICKSON: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mendakwa sudah dua kali mengganti penutup longkang di Pantai Batu 10, namun sering dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Lebih malang, akibat kecurian itu, orang awam ditimpa kecelakaan akibat perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab mencuri penutup longkang berkenaan.

Yang Dipertuanya, Abdul Wahab Shamsudin berkata, sebelum ini penutup longkang daripada besi itu sudah dua kali dicuri dan pihaknya akan menggantikannya dengan konkrit.

“Bagi mengelakkan harta awam dicuri lagi, pihak kami akan menggantikannya dengan penutup konkrit dan akan menyelesaikannya dalam masa terdekat.

“Kami masih menunggu laporan lengkap bagi memastikan bilangan penutup longkang yang perlu diganti selain melihat peruntukan yang diperlukan kerana sekiranya ia melebihi RM20,000, pelbagai prosedur membabitkan kewangan perlu dilakukan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau turut bersimpati dengan tragedi menimpa kanak-kanak terbabit dan pada masa sama menasihatkan orang ramai, terutama pengunjung untuk menunaikan solat di masjid atau surau. Katanya, masalah itu tidak boleh sewenang-wenangnya dituding kepada pihaknya saja kerana masyarakat setempat perlu peka dengan permasalahan vandalisme yang giat berlaku.

Semalam, akhbar ini melaporkan niat sebuah keluarga menunaikan solat Maghrib di siar kaki di Pantai Batu 10 pada Aidilfitri lalu bertukar tragedi apabila anak sulung mereka ditemui lemas.

Mangsa, Nur Zahira Mohammad Arif Yap, 2, ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam longkang sedalam hampir dua meter dan dijumpai di pesisiran pantai berkenaan yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian./hmetro