Selasa, 31 Mei 2011

Larikan kereta, noda isteri

SUBANG JAYA: Seorang wanita berusia awal 20-an melalui detik hitam lebih lima jam selepas dilarikan bersama kereta milik suaminya oleh sekumpulan tiga lelaki di USJ, di sini, kelmarin.

Lebih malang, wanita terbabit bukan saja dipukul malah difahamkan dirogol bergilir-gilir sebelum ditinggalkan di hadapan sebuah sekolah di Bukit Jalil, di sini.

Kejadian bermula kira-kira jam 12 tengah malam, apabila suami mangsa berusia awal 30-an berhenti di sebuah kedai serbaneka 24 jam di kawasan berkenaan untuk membeli barang sebelum meninggalkan isterinya dan kereta Mitsubishi Triton dalam keadaan enjin dihidupkan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi berkata, seorang lelaki tiba-tiba meluru ke arah kenderaan itu sebelum masuk dan melarikan kereta berkenaan manakala dua lagi suspek mengekori menggunakan kenderaan lain.

“Tersentak dengan kejadian itu, suami mangsa yang melihat isteri dan kenderaannya itu dilarikan cuba mengejar namun gagal. Lelaki terbabit segera menghubungi polis memaklumkan kejadian berkenaan dan pihak berkuasa terus melakukan operasi mengesan kumpulan terbabit./hmetro

Remaja ‘gila seks’ cabul gadis depan ibu

AMPANG: Seorang remaja lelaki layak digelar ‘gila seks’ apabila mencabul seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di hadapan ibu gadis terbabit, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah, di sini dikatakan bersama ibunya berusia lingkungan 40-an dalam perjalanan dari rumahnya di sebuah rumah pangsa di Taman Nirwana, di sini untuk membeli sarapan di kawasan berhampiran.

Menurut sumber, ketika mangsa dan ibunya itu menuruni tangga, seorang remaja lelaki yang tidak dikenali sedang menaiki tangga sebelum berselisih dengan mereka.

“Ketika itu ibu mangsa berada di depan manakala mangsa mengikut ibunya di belakang kerana tangga yang sempit berselisih dengan suspek.

“Remaja itu dikatakan berpura-pura seperti penghuni rumah pangsa berkenaan sebelum tiba-tiba meraba kemaluan mangsa,” katanya./hmetro

Kaki belit sasar ustaz, ustazah

TERTIPU...Ustaz Zul kerugian  RM100,000.
TERTIPU...Ustaz Zul kerugian RM100,000.
KUALA LUMPUR: Ustaz Harun atau Harun Mat Saat yang dikehendaki Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kes penipuan skim cepat kaya mencecah RM200 juta dipercayai turut memiliki sebuah syarikat jet persendirian di Pekan, Pahang, selain deretan kereta mewah termasuk Nissan FairLady, Subaru Impreza, Toyota Alphard dan BMW.

Difahamkan, semua aset mewah itu digunakan ahli lembaga pengarah Dina Group Sdn Bhd (Dina Group), milik Harun, 45, ketika berurusan dengan pelabur baru syarikat berkenaan yang memulakan operasi perniagaan pada 2006.

Perkara itu didedahkan seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Ustaz Zul, 36, yang mendakwa pernah beberapa kali bertemu Harun ketika terbabit dalam pelaburan skim cepat kaya diperkenalkan Dina Group.

“Melihatkan penampilannya yang meyakinkan selain bijak bermain kata-kata dan emosi sehingga menitiskan air mata menceritakan kesusahan dilalui, semua peserta yang menghadiri seminar atau bengkel seolah-olah ‘dipukau’ sehingga sanggup mendaftar sebagai ahli.

“Saya difahamkan Ustaz Harun bukan saja warak, malah turut bergiat aktif sebagai penceramah agama di sekitar pantai timur sebelum menjalankan perniagaan,” kata yang melabur sehingga RM100,000 antara Oktober 2008 hingga Mac 2009./hmetro

Koma, buta disimbah asid


KOMA...Khairul Zaman melecur teruk hingga paras pinggang.
KOMA...Khairul Zaman melecur teruk hingga paras pinggang.
JOHOR BAHRU: “Mereka yang melakukan ini dayus. Akibatnya suami saya bukan saja melecur hampir keseluruhan muka dan badan hingga ke paras pinggang, malah cacat penglihatan seumur hidup,” kata isteri kepada mangsa simbahan asid, Zaiton Aris, 50, semalam.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, akibat perbuatan itu suaminya, seorang pemandu teksi, Khairul Zaman Jaiman, 47, bertarung nyawa di Wad Rawatan Kebakaran di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.

Menceritakan insiden menyayatkan hati itu, Zaiton berkata, kejadian pada jam kira-kira 12 tengah hari, 5 Mei lalu apabila teksi suaminya ditahan dua lelaki menaiki Proton Saga warna putih di Jalan Sena di Taman Rinting, di sini, iaitu satu kilometer dari kediaman mereka.

“Saya difahamkan, dia memberhentikan kenderaan apabila dua lelaki mahu bertanya arah. Apabila suami menurunkan cermin kenderaan, seorang daripada mereka menyimbah asid ke muka suami.
“Suami meraung kesakitan sambil meminta tolong sebelum orang awam yang berada di lokasi menyiram air dan menghantarnya ke hospital,” katanya./hmetro

Isnin, 30 Mei 2011

Padah ragut

KUANTAN: Cubaan seorang remaja berusia 15 tahun meragut beg galas seorang wanita berakhir dengan tragik apabila jatuh tersungkur dari motosikal diboncengnya sebelum ditahan dalam kejadian di Lorong Tun Ismail 10, di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, wanita berkenaan yang berusia dalam lingkungan 30-an, keluar dari sebuah kedai makan menuju ke keretanya bersama beberapa rakan lain.

Ketika wanita yang bekerja sebagai akauntan dari Kuala Lumpur itu berjalan ke keretanya, remaja terbabit yang menaiki motosikal dari belakang cuba meragut beg galas wanita berkenaan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Asisten Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, berkata mangsa kemudian melawan dan berlaku tarik-menarik.

“Dalam kelam-kabut, suspek yang tidak menyangka wanita itu melawan, menyentap beg galas, tetapi wanita berkenaan enggan melepaskan begnya.

“Selepas berlaku tarik menarik, suspek tiba-tiba jatuh tersungkur dari motosikal dan dikepung orang awam.

“Mangsa pula terjatuh di atas jalan dan dilaporkan cedera ringan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam./hmetro

Lelaki Maut Dipercayai Ditikam Sebelum Dicampak Di Tepi Jalan Di George Town

GEORGE TOWN: Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an ditemui maut dipercayai diserang sekumpulan lelaki sebelum mayatnya dicampak di tepi jalan di Jalan Masjid Negeri di sini awal pagi Isnin.

Sumber polis berkata mangsa yang dikenali sebagai K. Gobinathan ditemui mati dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah oleh orang ramai yang melalui jalan tersebut kira-kira pukul 3 pagi.

"Mangsa dipercayai mati akibat ditikam dan dipukul di kepala dan polis percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dicampakkan di kawasan itu," katanya ketika dihubungi di sini.

Sumber itu berkata lelaki tersebut sebelum itu dipercayai terlibat dalam pergaduhan bersama lima lelaki lain termasuk abang ipar mangsa di hadapan sebuah rumah panjang di Lorong Kulit.

Hasil siasatan awal di tempat pergaduhan, didapati motosikal mangsa telah dirosakkan serta terdapat kesan darah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supritendan Abdul Halim Bulat mengesahkan kejadian itu dan berkata polis sedang mengesan beberapa orang termasuk abang ipar mangsa bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati./Bernama

Sabtu, 28 Mei 2011

Hukuman penjara, sebat drebas bas ditambah

MELAKA: Seorang pemandu bas sekolah terpaksa meringkuk lebih lama dalam penjara apabila Mahkamah Tinggi, di sini, semalam menambah hukuman terhadapnya kepada 14 tahun dan 14 sebatan atas kesalahan merogol seorang murid tingkatan satu, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memutuskan demikian ketika membenarkan rayuan pihak Timbalan Pendakwa Raya (responden) yang merayu terhadap keputusan hukuman diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen, Elesabeth Paya Wan bertarikh 21 Julai 2010 terhadap Ibrahim Sali, 26, iaitu penjara tujuh tahun dan tiga sebatan.

Beliau menegaskan mahkamah bersetuju hujahan Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin bahawa kesalahan dilakukan perayu amat serius, merogol murid perempuan berusia 13 tahun sembilan bulan ketika kejadian di dalam bas sekolah.

“Selepas mendengar rayuan perayu dan hujah pendakwa raya, saya berpendapat hukuman yang sepatutnya adalah penjara 14 tahun dan 14 sebatan.

“Kamu sebagai pemandu sepatutnya diamanahkan mengambil anak murid dan menghantar ke sekolah dengan selamat, namun sebaliknya terjadi apabila mengambil kesempatan merogol mangsa dalam bas sekolah,” katanya yang turut menolak rayuan terhadap sabitan pada prosiding rayuan silang itu.

Terdahulu, perayu melalui peguam Yaackub Mat yang menyebut bagi peguam Shaari Nor memohon mahkamah mengenepikan keputusan sabitan itu dengan menghujahkan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen terkilaf untuk menimbangkan beberapa fakta antara lain berkaitan pertuduhan cacat atau defektif./hmetro

Rakyat Indonesia dijumpai mati dibunuh

SEREMBAN: Seorang lelaki rakyat Indonesia ditemui mati dibunuh di belakang rumah kedai setingkat di Taman Paroi Jaya di sini hari ini.

Lelaki yang hanya dikenali sebagai Arip, 30-an, ditemui dalam keadaan cedera parah dengan perutnya terburai oleh rakannya pada pukul 5 pagi.

"Mangsa yang cedera parah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Jaafar di sini. Motif kejadian sedang disiasat,"

kata Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Supt Mohd Yusoff Awang.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit itu diserang seorang lelaki dengan senjata tajam ketika dia keluar dari rumahnya.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban melalui talian 06-6033222 atau hotline 06-6014999 bagi membantu siasatan./sinarharian

Mata murid buta dicucuk pensel

TELUK INTAN: Masa depan seorang murid lelaki Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Sungai Lampam dekat sini kabur apabila mata kanannya dikhuatiri buta akibat dicucuk dengan pensel mekanikal oleh rakan sekelasnya kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 10 pagi itu, Mohd. Saiful Nizam, 10, mendakwa dia dibuli sekumpulan rakan sekelasnya sebelum mata kanannya dicucuk dengan pensel.

Menceritakan semula kejadian itu, Mohd. Saiful yang merupakan seorang pendiam berkata, sebelum kejadian dia yang berjalan menuju ke kelas selepas tamat waktu rehat sesi pagi ditahan sekumpulan rakan.

"Mereka minta saya melakukan sesuatu tetapi saya tidak mahu dan terus masuk ke dalam kelas.

"Semasa berada dalam kelas, mereka pegang tangan dan kaki saya sementara salah seorang daripada mereka ambil pensel mekanikal dan cucuk mata saya," katanya ketika ditemui di Hospital Teluk Intan di sini semalam.

Mohd. Saiful mendakwa, selepas kejadian itu dia mengerang kesakitan sebelum dibawa ke hospital oleh guru sekolah tersebut.

Dakwa kanak-kanak itu, dia pernah dibuli oleh rakan-rakan sekolahnya sebelum ini tetapi terpaksa berdiam diri kerana takut dibelasah.

Difahamkan, sebelum ini, kumpulan pelajar tersebut pernah mengajak Mohd. Saiful menyertai geng mereka tetapi kanak-kanak itu enggan berbuat demikian./kosmo
Mohd. Saiful menunjukkan mata kanannya yang buta akibat dibuli.

Jumaat, 27 Mei 2011

Polis buru 9 lelaki

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu kini sedang memburu sembilan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes merusuh dan bunuh seorang lelaki, Maznong Omar, 39, di Kampung Sungai Ular, Kuala Berang pada 11 Mei lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, sembilan lelaki itu dipercayai dapat membantu pihak polis menyelesaikan kes berkenaan. 

Menurutnya, kejadian itu berlaku pada 11 Mei lalu dan apabila anggota polis MPV sampai di tempat kejadian pada jam 10.25 malam, mereka mendapati Maznong berada dalam keadaan terbaring separuh sedar dengan kecederaan pada kepala, bengkak pada muka dan kedua-dua mata lebam./sinarharian

Tunang hilang ikut tentera

ALOR GAJAH: Tindakan seorang wanita berusia 30 tahun mengikut kehendak seorang anggota tentera berusia 28 tahun, mendatangkan kebimbangan kepada tunangnya yang sudah merancang untuk bernikah dengannya pada pertengahan Jun depan. 

Sarjani Sani atau mesra dipanggil Ani dikatakan menghilangkan diri sejak 29 Mei lalu apabila dikatakan keluar menemani rakannya ke Kuala Lumpur, namun hasrat itu ditentang tunangnya, Azhar Mohd Isa, 38, yang bimbang akan keselamatannya. 

Azhar berkata, dia mengenali tunangnya yang merupakan anak keempat dari tujuh beradik itu sejak kecil lagi dan mengikat pertunangan pertengahan April lalu tidak menyangka akan berubah dalam sekelip mata mengikut lelaki lain sekali gus melupakan majlis yang bakal berlangsung tidak lama lagi. 

Menurutnya itu, Ani menetap di rumah ibu saudaranya yang juga bakal mertuanya di Kampung Tanjung Rimau kerana menjaga ibu saudaranya yang sakit. 

“Ani mengikut seorang lelaki yang bekerja sebagai tentera di Kem Terendak yang dikenali sejak empat tahun lalu. 

“Pada 28 Mei lalu, dia memaklumkan mahu ke Kuala Lumpur bagi menemani rakan perempuannya tetapi saya menghalang,” katanya. 

Malah katanya, Ani turut keluar membawa beberapa barang berharga milik ibu Azhar membuatkan dia terfikir apa yang mahu dilakukan oleh Ani terhadap barang tersebut. 

“Sebelum ini dia tidak pernah berkelakuan seperti itu kepada ibu bapanya dan keluarga saya. 

“Kemudiannya, pada 29 Mei, dia kelihatan gelisah dan tidak senang duduk sebelum mengatakan ada orang yang hendak berjumpanya dan kira-kira jam 11 pagi, dia bertindak keluar dari rumah serta tidak pulang sehingga ke hari ini,” katanya. 

Azhar berkata, anggota tentera itu pernah datang ke rumah menyerang dan menyatakan rasa tidak puas hati tetapi ketika itu, Ani cuba berselindung tentang perhubungan mereka 

“Sebelum ini juga saya pernah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada lelaki itu agar tidak mengganggu Ani lagi tetapi dibalas dengan kata-kata kesat. 

“Bagi tidak mengeruhkan lagi keadaan, saya tidak membalas SMS itu,” katanya. 

Katanya, adik Ani pernah juga mengesan kakaknya melalui perkhidmatan atas talian telefon ‘Friend Finder’ dan mendapati kakaknya berada berdekatan Machap Umboo tetapi dia menafikannya dan mengatakan berada di luar Melaka. 

“Saya tidak percaya kerana adakala mesej mengatakan dia melalui kawasan berdekatan rumah saya dan pelik dengan apa yang cuba dia lakukan. 

“Ani seolah-olah masih rindu terhadap keluarganya tetapi berat hati untuk bertemu kami. Persiapan majlis pernikahan yang dirancang 11 Jun ini terpaksa ditangguhkan sehingga Ani pulang,” katanya. 

Azhar turut mendapat tahu bahawa hasil jualan nasi lemak yang diusahakan Ani turut diambil oleh lelaki terbabit yang kini bertindak membawa keluar tunangnya menggunakan kereta yang berbeza bagi mengaburi mata orang ramai. 

Menurutnya lagi, perlakuan tunangnya itu berubah kira-kira tiga hari sebelum menghilangkan diri membuatkan dia runsing memikirkan majlis pernikahan yang semakin hampir apatah lagi semua persiapan sudah dibuat. 

“Sepanjang menghilangkan diri, bapa Ani menerima SMS menggunakan ayat kasar dari nombor telefon anaknya tetapi setahu saya Ani tidak pernah membahasakan ‘aku’ dengan keluarganya. 

“Saya memohon agar Ani dapat pulang semula ke pangkuan keluarga seperti dahulu dan berharap dia dapat memberikan tumpuan terhadap majlis pernikahan yang bakal berlangsung,” katanya./sinarharian

Serik dibelasah sewaktu kecil

AYER KEROH: Dihiris dengan pisau dilayur atas api, kepala dibenam di dalam kolah air dan dibelasah dengan penyapu lidi. 

Itu adalah penderitaan dilalui seorang remaja yang sehingga kini tidak tahu asal-usulnya, mahupun kedua ibu bapanya. 

Penderitaan berlaku kira-kira 20 tahun lalu itu diceritakan insan bernama Mohd Ali, 25, apabila dia menjadi anak angkat kepada satu pasangan suami isteri yang beralamat terakhir di Taman Kosas, Ampang, Kuala Lumpur. 

Menurutnya, dia diseksa sejak berusia setahun sehinggalah tujuh tahun sebelum diselamatkan sebuah pusat kebajikan selepas dilapokan jiran-jiran. 

“Selain pernah mengalami pengalaman didera, saya tidak pernah tahu kenapa ibu bapa kandung ‘membuang’ saya. Saya tidak pernah kenal siapa ibu bapa saya,” katanya. 

Penderitaannya bertambah apabila sehingga kini belum mempunyai memiliki Mykad akibat maklumat ibu bapanya gagal diperolehi, termasuk status kewarganegaraan yang menjadi tanda-tanya. 

“Semua usaha saya lakukan termasuk dengan sokongan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun semuanya tidak berhasil,” katanya semasa hadir ke pejabat Sinar Harian, di sini semalam. 

Mohd Ali juga keliru kerana dia kini mempunyai tiga nama iaitu ‘Mohd Ali Hashim’ yang tertera di surat sebuah pusat kebajikan yang pernah menjaganya; selain ‘Mohd Ali Abdullah’ dan ‘Mohd Ali’ yang tertera di sijil beranaknya kini. 

“Saya pun tak tau siapa itu Hashim, sedangkan nama bapa angkat saya berbeza. Saya didaftarkan di sebuah pusat kebajikan di Selangor dengan nama berkenaan selepas diselamatkan dari rumah keluarga angkat. 

“Saya kemudian berpindah randah ke tiga pusat jagaan sehinggalah saya keluar berdikari pada usia 13 tahun,” katanya. 

Menurutnya, selepas keluar dari pusat jagaan, dia cuba mencari ibu bapa angkatnya, namun ketika sampai di alamat tersebut, kawasan tersebut sudah dikosongkan dan tinggal hanya tapak rumah. 

Dengan hanya berbekalkan sijil beranak yang diusahakannya, dia kini terpaksa berdepan dengan kehidupan gelap apabila sukar mendapat kerja kerana tiada pengenalan diri. 

“Permohonan saya untuk mendapatkan Mykad hingga kini masih gagal termasuk memohon di Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Melaka, “katanya. 

Malah, katanya, usaha dia bertemu dengan pegawai kebajikan untuk memohon sokongan juga menemui jalan buntu. 

“Saya mahu ubah nasib saya seperti mana orang lain. Saya berharap ada pihak yang boleh membantu saya. Kalau boleh, saya mahu berjumpa dengan ibu bapa kandung saya,” katanya./sinarharian

Penyamun guna pedang

BACHANG: Tindakan sebuah pengusaha kafe siber di Taman Bachang Baru, di sini membuka operasinya melebihi masa dibenarkan membawa padah apabila premis perniagaan itu disamun ketika hampir waktu subuh, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, seorang pekerja di kafe siber terbabit hanya mampu tergamam selepas mendapati enam penjenayah masuk dengan bersenjatakan pedang samurai. 

Akibatn:ya, sebanyak enam set komputer dalam premis berkenaan dilarikan, selain wang milik pengusaha dan pelanggan di premis berkenaan. 

Difahamkan, pekerja terbabit dikatakan menjaga syif 12 pagi sehingga 12 tengahari dan hari pertama bertugas di situ selepas menerima arahan pertukaran cawangan selama empat hari. 

Rakan mangsa, Muhd Adip Saifullah Ismail, 18, berkata, semasa kejadian, mangsa didatangi dua lelaki memakai topi keledar menyamar sebagai pelanggan yang hendak menggunakan perkhidmatan di kafe tersebut. 

Selang beberapa minit, katanya, seorang lelaki yang menutup sebahagian muka dengan kolar baju berlegar di luar berhada-pan pintu masuk sambil meninjau ke dalam kafe berkenaan. 

“Kemudiaan tiga lelaki lain yang juga memakai topi keledar masuk ke dalam kafe menuju kaunter. Seorang daripada mereka meletakkan pedang samurai di atas meja dan meminta rakan saya membuka mesin wang. 

“Mungkin sebab dalam mesin tu ada RM30 sahaja, lelaki itu beralih kepada seorang pelanggan lelaki di bahagian belakang, sebelum merampas wang RM400 serta telefon bimbit pelanggan terbabit,” katanya. 

Muhd Adip berkata, dalam masa sama, dua lelaki lain dan dua lelaki yang menyamar pelanggan bertindak menanggalkan pe-ralatan komputer di situ sebelum membawa lari. 

“Menerusi kamera litar tertutup (CCTV), saya lihat kawan saya terduduk kaku. Mungkin disebabkan terkejut,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi), Suprintendan R. Gunarajan mengesahkan kejadian itu. 

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan, bagaimanapun polis akan mengambil tindakan ke atas pemilik premis kerana melanggar peraturan menjalankan perniagaan lebih masa. 

Beliau berkata, kes disiasat menikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun bersenjata./sinarharian

Maut ditembak di kepala

SKUDAI: Seorang lelaki maut apabila ditembak dari jarak lima meter di sebuah restoran di Taman Ungku Tun Aminah, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi ketika mangsa yang berusia 28 tahun sedang minum bersama lima rakannya di meja yang terletak tepi jalan.

Bagaimanapun secara tiba-tiba sebuah kenderaan jenis Proton Wira, dinaiki tiga lelaki memakai penutup muka muncul dan penumpang di belakang terus melepaskan dua das tembakan menyebabkan mangsa terus rebah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, siasatan awal mendapati suspek melepaskan tembakan dari jarak lima meter, malah bunyi tembakan turut menyebabkan kira-kira 15 pelanggan lain yang sedang menikmati makanan lari menyelamatkan diri.

“Siasatan masih di peringkat awal dan dijalankan mengikut pelbagai sudut. Motif sebenar kejadian juga masih belum dapat dipastikan lagi,” katanya.

Ruslan berkata, maklumat awal diterima pihaknya sudah mengenal pasti beberapa suspek yang kini diburu untuk membantu siasatan kes, dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mangsa bekerja sebagai peniaga dan menetap di Taman Skudai Baru. Kami kini sedang mencari petunjuk baru untuk mengesan suspek bertanggungjawab.

“Berikutan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta bekerja sama dengan menghubungi hotline Polis Johor atau terus ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya./sinarharian

Rabu, 25 Mei 2011

Bapa rogol anak tiri ditahan


SUNGAI PETANI: Suspek kes rogol yang diburu polis sejak dua tahun lalu ditahan malam kelmarin, di sebuah rumah di Sungai Petani atas maklumat orang ramai dan maklumat terbaru yang diterima polis. 

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, suspek seorang bapa berumur 50-an ditahan atas dakwaan merogol anak tirinya berusia 20-an. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan kita memang memburu suspek selama ini selain pernah mengedarkan lakaran wajah suspek berdasarkan laporan yang dibuat sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian. 

Hashim berkata, polis telah lama memburu suspek sehingga pernah dibantu media menyiarkan fotofitnya dan kisah mangsa rogol yang merupakan anak tirinya juga pernah dilaporkan media. 

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya. 

Dalam pada itu, Sinar Harian bertarikh 5 April lalu pernah menyiarkan rintihan seorang gadis yang mendakwa dirinya pernah menjadi mangsa pemuas nafsu bapa tiri yang berkahwin dengan ibunya sejak 15 tahun lalu. 

Mangsa mendakwa bapa tirinya, seorang samseng kampung mula mengambil kesempatan merogolnya sejak berumur 11 tahun sehinggakan pernah menggugurkan kandungan sebanyak tujuh kali./sinarharian
 

Jadi hamba seks bapa saudara

TELUK INTAN: Akibat kerakusan nafsu, seorang kanak-kanak malang berumur tujuh tahun menjadi hamba seks bapa saudaranya sejak setahun lalu di Kampung Sungai Tiang Baru, Rungkup.

Bagaimanapun, perbuatan keji lelaki berumur 25 tahun itu terbongkar apabila ibu mangsa menyedarinya dan membuat laporan polis 19 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, bapa saudara yang juga adik kepada ibu mangsa melakukan perbuatan keji itu sejak kanak-kanak tersebut berusia 6 tahun.

Menurutnya, pihaknya percaya, suspek yang juga seorang nelayan sering melakukan perbuatan keji itu ketika ibu bapa kanak-kanak tersebut tiada di rumah.

“Suspek yang tinggal berhampiran rumah kanak-kanak itu dipercayai merogol mangsa lebih kurang 10 kali termasuk melakukan seks luar tabii sepanjang setahun lalu,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, semalam.

Kok Liang berkata, pada 19 Mei lalu suspek dipercayai membawa mangsa ke sebuah rumah kosong di kawasan berhampiran untuk melakukan perbuatan keji itu tetapi abang mangsa ternampak suspek membawa adiknya keluar dari rumah.

Menurutnya, abang mangsa memberitahu kepada ibu mangsa mengenai hal itu menyebabkan dia mengesyaki sesuatu berlaku terhadap anaknya.

“Selepas mangsa dihantar pulang, ibu mangsa terus bertanya kepada anaknya dan setelah didesak beberapa kali, mangsa akhirnya memberitahu perkara sebenar,” katanya.

Beliau berkata, mangsa tidak memberitahu perkara sebenar kepada ibu bapanya kerana diugut akan dicederakan jika berbuat demikian.

Katanya, laporan polis dibuat sebelum pemeriksaan kesihatan ke atas kanak-kanak itu dijalankan dan pihaknya berjaya menahan suspek pada Jumaat lalu.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 (a) dan Sekyen 377 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 30 tahun serta sebatan jika didapati bersalah,” katanya./sinarharian

Dicekup bogel dalam hotel



SURA GATE: Tindakan seorang jurujual kereta yang membawa pelanggannya ke sebuah bilik hotel atas alasan kononnya untuk membincang urusan jual beli kenderaan, membawa padah apabila dia dicekup pihak berkuasa ketika berada berdua-duaan di tempat penginapan tersebut. 

Serbuan kira-kira jam 9.30 malam di Hotel Sri Gate juga berjaya membongkar taktik jurujual lelaki terbabit yang difahamkan sering memperdaya wanita untuk urusan tersebut sebelum mendapat habuan seks. 

Ketika serbuan dilakukan, jurujual lelaki berasal dari Kuala Terengganu itu hanya memakai tuala mandi, manakala teman wanitanya bersembunyi di dalam bilik air dalam keadaan bogel. 

Sehelai baju kurung dan coli wanita milik pasangan perempuan yang berasal dari Besut serta baju kemeja lelaki berusia 28 itu turut dirampas sebagai bahan bukti untuk disabitkan di mahkamah ketika proses pendakwaan nanti. 

Pasangan itu bakal dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Dungun atas tuduhan khalwat mengikut Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali./sinarharian

Selasa, 24 Mei 2011

Episod duka pramugari

KUALA LUMPUR: Seorang pramugari berusia 22 tahun yang mahu meraikan kejayaan bersama rakan sekerja selepas mendapatkan pekerjaan tetap bertukar tragedi apabila dia dirogol seorang lelaki tidak dikenali di sebuah hotel di Sentul di sini, kelmarin.

Difahamkan, mangsa dari Kota Bharu, Kelantan, baru memulakan pekerjaannya dengan sebuah syarikat penerbangan sebulan lalu dan dibawa rakannya ke sebuah kelab malam untuk meraikan kejayaannya dan mengajar mangsa untuk bersosial. 
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang tidak pernah meminum arak sebelum ini dikatakan hilang kawalan. 

Menurut sumber, kesempatan itu digunakan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an untuk mendekati mangsa sebelum membawanya yang dalam keadaan mabuk ke sebuah hotel berhampiran.

“Mangsa kemudian dirogol lelaki terbabit sebelum meninggalkan mangsa berseorangan. Kejadian itu hanya disedari mangsa selepas mendapati dia berbogel dalam sebuah bilik hotel, kira-kira jam 10 pagi keesokan harinya./hmetro

Lesap penangan cinta Usama

BATU PAHAT: Baru dua bulan berkenalan, seorang gadis, Siti Zubaidah Saari, 25, dikatakan menjadi isteri ketiga seorang guru tahfiz digelar Usama, sehingga dia sanggup memutuskan hubungan dengan ibu bapanya di Taman Intan, Kluang, sejak mereka berkenalan.

Zubaidah dipercayai berkahwin dengan lelaki itu di Thailand awal April lalu.

Bapanya, Saari Sulaiman, 56, berkata, dia dan isteri, Norpah Amri, 50, sudah puas berusaha mengesannya sejak dua bulan lalu tetapi hampa.

“Zubaidah tinggal di Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan mula bekerja di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Jalan Sulaiman selepas menamatkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah, dua tahun lalu. “Kami hanya mengetahui Zubaidah berkenalan dengan Usama atau nama sebenarnya Almizi, dua bulan lalu. “Saya turut mendapat maklumat ustaz berkenaan didakwa membawa Zubaidah ke Cameron Highlands selama beberapa hari sebelum ke Thailand untuk bernikah,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro di sini, semalam.

Menurut Saari, apa yang tidak disenanginya serta isteri, ustaz terbabit yang mengajar di sebuah pusat tahfiz di Johor Bahru dikatakan beristeri dua selain mempunyai lima anak.

Pada masa sama, selepas berkenalan dengan lelaki itu, Saari mendakwa anak keempat daripada sembilan beradik itu tidak lagi menghubungi mereka.

“Kami menghubungi Zubaidah berkali-kali tetapi hampa, dia bukan saja tidak menjawab panggilan, malah telefon bimbit dimatikan.

“Kami bimbang berlaku perkara tidak diingini kepada Zubaidah memandangkan sebelum ini dia tidak pernah gagal menghubungi kami bertanyakan khabar. “Perangainya berubah selepas berkenalan dengan ustaz itu,” katanya.

Saari yang tidak mengetahui bagaimana Zubaidah berkenalan dengan lelaki terbabit berkata, adiknya yang tinggal di Johor Bahru, Mohd Said, 53, memaklumkan lelaki itu membawa Zubaidah ke bandar raya berkenaan menaiki kereta pada 5 April lalu.

Bagaimanapun, adiknya itu gagal menjejaki kedua-duanya dan sejak itu, Zubaidah terus tidak dapat dikesan.

Berikutan itu, Saari membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada 26 April lalu.

“Kami harap Usama mengembalikan Zubaidah kepada kami dan sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan lelaki terbabit atau anak kami, menghubungi talian 012-7486164,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis IPD Kluang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berkenaan dan kes masih dalam siasatan./hmetro

Rahang retak dibelasah senior

KUBANG PASU: Seorang remaja perempuan yang ditempatkan di sebuah asrama pemulihan akhlak dekat sini, mengalami retak tulang rahang setelah ditendang dan dibelasah oleh dua rakan asrama yang lebih senior pada 18 Mei lalu. 

Berikutan itu, mangsa dimasukkan ke Hospital Jitra pada malam kejadian dan bakal menjalani pembedahan di bahagian pipi dan rahang pada 24 Mei ini untuk rawatan lanjut. 

Kakak mangsa, Noraidawati Rosidi, 25, berkata, adiknya berusia 15 tahun itu dimasukkan ke asrama berkenaan pada awal bulan ini kerana menjadi saksi untuk satu kes di mahkamah. 

Dia hanya mengetahui kejadian itu setelah menerima panggilan telefon adiknya pada 19 Mei lalu dan terkejut mendapati mangsa dimasukkan ke hospital pada malam kejadian. 

“Adik saya mendakwa dia dipukul sebanyak dua kali di dua lokasi dan masa berasingan pada hari yang sama setelah enggan menurut arahan dua rakan senior untuk membasuh pinggan. 

“Kejadian pertama kali berlaku lebih kurang jam 7.40 malam setelah adik saya dipukul di dalam surau sehingga mengalami kecederaan di pinggang. 

“Kejadian kali kedua pula berlaku pada jam 10 malam hari yang sama apabila dia ditendang dua kali serta ditampar dan ditumbuk sebanyak tiga kali,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Jitra di sini, semalam. 

Bapa mangsa, Rosidi Sulaiman, 55, berkata, dia kesal berikutan pihak pengurusan asrama lambat memaklumkan kejadian terbabit selain kecewa dengan kegagalan mereka melindungi anaknya. 

Menurutnya, namun dia bersyukur tempoh anaknya ditempatkan di asrama itu tamat pada hujung bulan ini. 

“Saya telah membuat laporan polis mengenai perkara ini pada 20 Mei lalu dan mahu mereka yang memukul anak saya dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya. 

Sementara itu, mangsa yang merupakan anak kelima daripada lapan beradik berkata, dia dipukul di surau dan di bilik. 

“Saya ada merungut kerana asyik disuruh basuh pinggan mangkuk mereka dan selepas saya masuk ke surau, mereka tampar pipi dan tolak saya hingga terjatuh. 

“Saya dibuli oleh kedua-dua kakak senior terbabit sejak minggu pertama saya di asrama itu, malah saya pernah dipaksa memasukkan berus gigi ke dalam kemaluan. 

“Saya tidak tahan dan tidak mahu berada di sana lagi,” katanya kepada Sinar Harian./Sinarharian

Isteri cari suami

MERBAU PULAS: Seorang isteri, Hasnah Che Din, 32, yang tinggal di Kampung Padang Patong, Labu Besar mengharapkan supaya suaminya, Mohd Fisol Mustafa, 36, pulang setelah meninggalkan keluarga pada 7 Ogos 2009. 

Menurutnya, sebelum kehilangan suami, rumah tangga mereka tidak berhadapan dengan sebarang masalah. 

“Ini bukan kali pertama suami saya bersikap sedemikian, malah sebelum ini sudah dua kali dia meninggalkan kami di antara tiga hingga enam bulan. 

“Saya pernah pergi mencari suami di rumah mentua, tetapi mereka menyatakan dia tidak balik sejak Ogos 2009. Sekiranya suami terbaca akhbar ini, saya harap dia akan segera pulang,” katanya. 

Hasnah menyatakan dia sudah membuat aduan di Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) dan kes itu akan dihadapkan ke mahkamah. 

Sejak suaminya menghilangkan diri, dia terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa untuk membesarkan keempat-empat anak mereka. 

Dia berharap suaminya dapat tampil di Mahkamah Syariah Kulim pada 6 Jun supaya hakim dapat membuat keputusan. 

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Halim Hassan meminta Hasnah dan empat anaknya datang ke pejabat beliau di Sungai Ular selepas selesai urusan mahkamah. 

Menurutnya, bantuan ibu tunggal akan diusahakan untuk memastikan masalah kewangan tidak berlaku.

“Saya akan meminta kerjasama Jawatankuasa Keselamatan kampung Persekutuan (JKKKP) kawasan itu untuk membuat penilaian terhadap keluarga terlibat. 

“Saya akan usahakan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Insyaallah kita akan berikan perkhidmatan terbaik kepada semua golongan yang ditimpa masalah,” katanya./sinarharian

Ahad, 22 Mei 2011

Doktor hilang selepas ditepuk gadis bertudung merah

NATRAH menunjukkan gambar anaknya yang dilaporkan hilang sejak lima hari lalu.
ALOR SETAR: Kehilangan seorang doktor pelatih, Mohd. Noor Azam Mohd. Nazri, 26, sejak lima hari lalu menjadi bertambah misteri apabila dia pernah hilang sebanyak dua kali bulan ini selepas dipercayai dipukau seorang gadis bertudung merah.

Ibunya, Natrah Shaari, 52, memberitahu, anaknya menghilangkan diri pada 3 Mei dan 12 Mei lalu selepas keluar bertugas di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Katanya, dalam kejadian pada 3 Mei lalu itu, anak sulungnya itu hanya pulang ke rumah dua hari kemudian.

“Dia cerita kepada saya bahawa ada seorang wanita muda bertudung merah berusia lingkungan 20-an menegurnya ketika mahu naik lif di HSB kira-kira pukul 6.30 pagi.

“Wanita itu bertindak menepuk dahi anak saya menyebabkan dia tidak sedar. Dia hanya tersedar di dalam kereta di kompleks beli-belah City Square di Sungai Petani dua hari selepas itu dan hilang sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM500,” katanya di sini semalam.

Ujarnya, pada 12 Mei lalu, Mohd. Noor Azam sekali lagi hilang ketika berada di kawasan HSB dan pulang ke rumah semula dua hari kemudian./kosmo

Sabtu, 21 Mei 2011

Dibuai gelora nafsu

KULIM: Kedegilan seorang wanita yang tidak mahu mendengar nasihat rakannya mengundang padah apabila dia ditahan kerana disyaki berkhalwat bersama pasangannya dalam sebuah rumah di Padang Serai, di sini, pada Isnin lalu.

Jurucakap Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) berkata, wanita berusia 21 tahun berasal dari Pahang itu ditahan bersama pasangan berusia 22 tahun dalam bilik di rumah berkenaan kira-kira jam 12.55 tengah hari. 
Menurutnya, pasangan kekasih berkenaan ditahan Pengerusi Majlis Ketua Kampung bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Padang Serai yang membuat pemeriksaan selepas menerima maklumat sebelum dibawa ke Balai Polis Padang Serai untuk laporan tangkapan. 

“Berdasarkan soal siasat, pasangan terbabit pernah ditegur beberapa kali oleh rakan serumahnya kerana tidak selesa dengan tingkah lakunya kerana sering membawa teman lelaki pulang ke rumah sewa mereka.

“Rumah sewa yang didiami suspek serta dua rakannya seolah-olah dijadikan tempat memadu kasih pasangan terbabit dan atas dasar tanggungjawab serta tuntutan agama, rakan wanita itu sering memberi nasihat supaya menghentikan perbuatannya./hmetro

Pelajar perempuan maut kejar peragut

KANGAR: Seorang pelajar perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini maut dalam usahanya mengejar peragut yang dikatakan cuba meragut rantai leher perak milik adiknya di Km 10, Jalan Kaki Bukit di Beseri dekat sini malam tadi.

Nur Syaza Yasmin Ruslan, 17, yang mengejar peragut dengan motosikal meninggal di tempat kejadian apabila motosikalnya dikatakan bergesel dengan motosikal peragut sebelum mangsa terpelanting di atas jalan raya dan dilanggar pula oleh sebuah kereta dalam kejadian kira-kira 8 malam itu.

Adiknya, Nur Syaza Naurah, 15, yang membonceng motosikal itu menceritakan kejadian tersebut bermula ketika mereka baru sahaja mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Balai Baru apabila dihampiri oleh seorang penunggang motosikal yang bertanyakan sesuatu tetapi mereka tidak mengendahkanya.

"Pada masa yang sama lelaki itu cuba meragut rantai leher saya tetapi gagal kerana saya sempat menepis tangannya,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Keteri.

Dia berkata kakaknya yang naik berang telah mengejar motosikal peragut itu bagi mendapatkan nombor pendaftaran motosikal tersebut.

Namun motosikal yang mereka naiki hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya selepas berselisih dengan sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, selepas terjatuh dia sempat bangun menyelamatkan diri tetapi kakaknya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar Hassan dilanggar pula oleh sebuah kenderaan lain yang datang dari arah belakang menyebabkan dia meninggal serta merta di tempat kejadian.

Mayat Nur Syaza Yasmin dibawa ke Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di tanah perkuburan Bukit Keteri sebelum solat Jumaat.

Pegawai Turus Trafik Perlis, ASP Rosli Yahaya berkata pihaknya telah menahan dua pemandu kenderaan terbabit.

"Kedua-dua pemandu berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun. Salah seorangnya adalah pemandu yang kenderaannya berselisih dengan motosikal mangsa manakala sorang lagi yang melanggar mangsa,” katanya.

Beliau juga berkata polis masih belum pasti sama ada kes tersebut membabitkan kes ragut tetapi masa masa ini kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lelaki yang dikatakan peragut itu belum dapat dikesan./Bernama

Jumaat, 20 Mei 2011

Nenek dihukum gantung sampai mati

Shah Alam: Hukuman mati ternyata tidak mengira usia apabila seorang wanita warganegara India berumur 64 tahun dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini selepas didapati bersalah mengedar ketamin seberat 2,925 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di Sepang dua tahun lalu.

Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa tertuduh, Fazila Bee Abdul Kareem gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Wanita itu, yang mempunyai tiga orang anak, didakwa mengedar dadah berbahaya itu di Kaunter Pemeriksaan Kastam A, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, KLIA, kira-kira pukul 2.30 petang pada 13 Feb 2009.

Fazila Bee didakwa mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Noor Azian berkata tertuduh dalam pembelaannya mendakwa dia datang ke Malaysia untuk mencari pekerjaan kerana berasal daripada keluarga susah.

Beliau berkata tertuduh mendakwa semasa di lapangan terbang di India, seorang wanita telah meminta tertuduh untuk mendaftar masuk sebuah beg dengan alasan wanita terbabit akan datang bekerja di tempat sama dengan tertuduh.

Noor Azian berkata setelah mempertimbangkannya beliau mendapati keterangan pembelaan tertuduh langsung tidak masuk akal kerana banyak sebab antaranya, visa yang digunakan tertuduh ialah visa pelancong dan bukan permit kerja.

"Kalau nak kerja mesti dah tahu tempat mana nak kerja, nama majikan dan ada permit kerja. Tertuduh juga dikatakan berumur 64 tahun tetapi berdasarkan penampilannya, umur tertuduh dilihat lebih daripada 64 tahun, jadi tidak mungkin ada orang yang nak ambil dia bekerja sebagai pembantu rumah.

"Keterangan tertuduh penuh dengan percanggahan, tidak konsisten, lebih kepada rekaan dan difikirkan semula. Saya dapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan dan tertuduh didapati bersalah. Hanya ada satu hukuman sahaja iaitu tertuduh digantung sampai mati," katanya.

Sejurus Noor Azian membacakan keputusannya, Fazila Bee yang memakai t-shirt putih, berseluar sukan dan bertudung hitam tidak menunjukkan sebarang reaksi.

Bagaimanapun, selepas dia keluar dari kandang tertuduh dan diterangkan oleh peguamnya KA Ramu mengenai hukuman yang dijatuhkan ke atasnya, Fazila Bee dilihat menangis sambil mengangkat tangan seperti berdoa.

Tertuduh juga dilihat berterusan menangis sambil memegang sehelai tuala kecil dan berdoa ketika diiringi anggota polis keluar dari mahkamah.

Sepanjang perbicaraan, seramai enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pembelaan mengemukakan seorang saksi.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya daripada Kastam Diraja Malaysia Nursarah Dina Baharudin yang menyebut bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya Naziah Mokhtar./Bernama

Pemandu lori mengaku tak bersalah dera anak

KLANG: Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak perempuannya berusia 13 tahun dengan memukul mangsa menggunakan kayu.

K. Segar, 39, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas tuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nadia Othman.

Tertuduh yang berasal dari Bentong, Pahang didakwa melakukan kesalahan itu terhadap S. Anusia, di rumah No:8-15, Blok E, Perdana Villa Apartment, Jalan Sungai Jati, Taman Sentosa di sini, antara 25 Disember tahun lepas sehingga akhir bulan lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Puteri Iskandariah Md. Tahir membantah sebarang ikat jamin kerana pertuduhan menggambarkan kekejaman yang dilakukan tertuduh terhadap mangsa meskipun tertuduh adalah bapa kandungnya sendiri dan ia melibatkan kepentingan awam./Bernama

Pulanglah SITI

MERSING: Seorang ibu tunggal merayu anak perempuannya agar kembali ke pangkuan keluarga kerana terlalu bimbang akan keselamatan dirinya. 

Ramlah Rashid, 44, berkata, anak perempuan tunggalnya itu, Siti Mariam Bakar menghilangkan diri sejak 14 hari lalu setelah berlaku salah faham dengan abang sulungnya. 

“Memang ada berlaku perselisihan faham yang kecil apabila abangnya menegur kerana dia tidak mahu bersekolah, sebaliknya mahu bekerja. Tidak sangka selepas itu, dia telah menghilangkan diri," katanya ketika ditemui Sinar Harian. 

Menurutnya, pelbagai ikhtiar telah dilakukan mereka sekeluarga termasuk bertanyakan kepada rakan-rakanya sekolah, namun masih belum berhasil. 

“Selepas kehilangannya pada malam itu, saya terus bertanyakan kepada kawan-kawan sekolahnya, namun mereka juga tidak mengetahuinya ke mana anak saya pergi,” katanya. 

Sejak itu, Ramlah langsung tidak menerima sebarang perkhabaran berita mengenai anaknya itu sehingga kini. 

“Sudah dua minggu dia menghilangkan diri tanpa diketahui lokasi dan sebarang berita. Telefon bimbitnya juga gagal dihubungi. 

“Saya amat khuatir dengan keselamatannya memandangkan dia jarang keluar dan tidak suka bersosial. Saya buntu untuk mencarinya di mana lagi. 

“Pulanglah nak, mak terlalu rindukan Mariam,” katanya. 

Katanya, anak lelakinya juga sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu di balai polis berhampiran. 

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran atau di talian 017- 799 7348./sinarharian