KLANG: Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak perempuannya berusia 13 tahun dengan memukul mangsa menggunakan kayu.
K. Segar, 39, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas tuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nadia Othman.
Tertuduh yang berasal dari Bentong, Pahang didakwa melakukan kesalahan itu terhadap S. Anusia, di rumah No:8-15, Blok E, Perdana Villa Apartment, Jalan Sungai Jati, Taman Sentosa di sini, antara 25 Disember tahun lepas sehingga akhir bulan lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Puteri Iskandariah Md. Tahir membantah sebarang ikat jamin kerana pertuduhan menggambarkan kekejaman yang dilakukan tertuduh terhadap mangsa meskipun tertuduh adalah bapa kandungnya sendiri dan ia melibatkan kepentingan awam./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan