Rabu, 11 Mei 2011

Remaja bawah umur mengaku bersalah

GEORGETOWN: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Junava di sini, semalam atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan. 

Tertuduh membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Pang Chuin Keat yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Abdul Wahab. 

Difahamkan, remaja itu tidak bersekolah mengangguk faham selepas pertuduhan yang dibacakan dan merayu mahkamah mengurangkan wang jaminan dengan alasan bapanya hanya seorang pemandu serta mempunyai lima tanggungan adik beradik. 

Kemudian, Mohd Firdaus membenarkan ikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Jun ini untuk laporan sosial bagi menjatuhkan hukuman. 

Tertuduh bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap Chan Hock dan menyamun rantai leher emasnya bernilai RM800, kira-kira jam 4.30 petang, 26 April lalu. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan