Jumaat, 6 Mei 2011

Buruh bakal ke tali gantung

KUALA TERENGGANU: Seorang buruh bakal berdepan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan mengedar dadah berbahaya jenis heroin pada April lalu. 

Tertuduh, Jilperi Ali, 30, dari kampung Pasir Putih, Bukit Cempaka, Batu Rakit telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, disini, semalam atas pertuduhan di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) Akta yang sama. 

Pertuduhan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya, Masriwani Mahmud di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof. 

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah mengedar dadah berbahaya itu seberat 22.25 gram di kawasan bebas, iaitu di tepi jalan besar kampung Gong Pak Jin pada 22 April lalu kira-kira jam 4.30 petang. 

Dengan itu, dia telah melakukan kesalahan yang boleh membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. 

Selain itu, tertuduh turut berhada-pan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 38B ADB 1952 (pindaan 2002) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 15 Akta yang sama iaitu menggunakan dadah berbahaya jenis morfin pada waktu serta tempat yang sama. 

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan diikuti dengan perintah pengawasan 1 seperti di Seksyen 38B ADB 1952 (pindaan 2002). 

Majistret menetapkan 15 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia. 

Sebelum ini, Sinar Harian menyiarkan polis menahan seorang lelaki Melayu yang dipercayai sedang mengedar dadah ditepi jalan besar, kampung Gong Pak Jin, Batu Rakit pada 22 April lalu. 

Suspek ditahan ketika berada di lokasi tersebut dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek, polis menjumpai lima botol serbuk putih dipercayai heroin yang disorokkan didalam poket seluar jeansnya./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan