KUANTAN: Cubaan seorang remaja berusia 15 tahun meragut beg galas seorang wanita berakhir dengan tragik apabila jatuh tersungkur dari motosikal diboncengnya sebelum ditahan dalam kejadian di Lorong Tun Ismail 10, di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, wanita berkenaan yang berusia dalam lingkungan 30-an, keluar dari sebuah kedai makan menuju ke keretanya bersama beberapa rakan lain.
Ketika wanita yang bekerja sebagai akauntan dari Kuala Lumpur itu berjalan ke keretanya, remaja terbabit yang menaiki motosikal dari belakang cuba meragut beg galas wanita berkenaan.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Asisten Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, berkata mangsa kemudian melawan dan berlaku tarik-menarik.
“Dalam kelam-kabut, suspek yang tidak menyangka wanita itu melawan, menyentap beg galas, tetapi wanita berkenaan enggan melepaskan begnya.
“Selepas berlaku tarik menarik, suspek tiba-tiba jatuh tersungkur dari motosikal dan dikepung orang awam.
“Mangsa pula terjatuh di atas jalan dan dilaporkan cedera ringan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan