GOMBAK: “Sehingga kini kaki saya masih menggigil ketakutan dan terbayang kejadian diacu parang panjang di leher oleh empat penyamun yang memecah masuk rumah saya,” kata mangsa, Mashuri Marwan, 52, selepas rumahnya disamun di Fasa 4 Taman Sri Gombak, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Mashuri yang berbaring di ruang tamu bersama cucu lelaki berusia setahun tergamam apabila tiga lelaki tiba-tiba masuk ke dalam rumahnya sebelum mengacukan parang panjang di lehernya.
Beliau berkata, dia yang terlelap seketika bersama cucu pada mulanya menyangka lelaki terbabit rakan anaknya kerana ketika itu, anak lelakinya baru pulang dari kerja dan berehat di luar rumah.
Menurutnya, bagaimanapun sangkaannya meleset apabila tiba-tiba mereka mengeluarkan parang panjang dan menyuruhnya diam jika tidak mahu diapa-apakan.
“Saya ketika itu tidak mampu berbuat apa-apa dan berdoa supaya mereka tidak melakukan sesuatu kepada cucu saya yang tidur.
“Seorang daripada suspek yang berada di luar rumah menyuruh anak lelaki saya masuk ke dalam rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Katanya, lebih menakutkan, mereka mengugut akan membunuh dia dan cucunya jika tidak bekerjasama, malah ketika kejadian seorang lagi cucu perempuannya yang berusia 5 tahun berada di dapur bersama isterinya.
“Kejadian itu berlaku terlalu pantas dan saya hanya berdiam diri melihat rakan suspek yang lain pergi ke dapur dan menggeledah seluruh rumah.
“Mujur ketika kejadian cucu perempuan saya tidak menjerit sebaliknya seperti kebingungan melihat orang tidak dikenali masuk ke dalam rumah. Mereka juga tidak mempedulikannya sebaliknya menggeledah seluruh rumah,” katanya. Selain itu katanya, mereka sekeluarga juga gagal mengecam wajah suspek kerana semua mereka memakai topi keledar dan menutup muka dengan kain.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Gombak selepas penyamun terbabit melarikan diri.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK)./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan