KUALA TERENGGANU: Suspek ketiga kes samun dan bunuh seorang wanita berumur 54 tahun di Kemaman minggu lepas, berjaya ditahan di Jalan Klinik, Kampung Kusial Baru, Tanah Merah, Kelantan, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K Manoharan berkata suspek berumur 19 tahun yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan itu ditahan pada kira-kira pukul 6.30 petang semalam di perkarangan rumahnya.
Beliau berkata suspek berjaya ditahan dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Dearah Tanah Merah, selepas polis membuat intipan selama beberapa hari.
"Turut ditemui bersama suspek ialah telefon bimbit milik wanita berkenaan. Dengan tertangkap semua suspek, polis percaya dapat menyelesaikan kes samun dan bunuh ini," katanya kepada pemberita, di sini, Isnin.
Dalam kejadian pada 30 April lepas, seorang wanita ditemui tidak sedarkan diri dengan tangannya diikat manakala mulutnya ditampal pita pelekat di kediamannya di Taman Desa Darul Iman, Kemaman, dalam satu kejadian samun, dan beliau meninggal dunia kira-kira 15 minit setelah dibawa ke Hospital Kemaman.
Dua lagi suspek, seorang daripadanya merupakan anak angkat wanita itu ditahan pda 4 Mei lepas di Pasir Gudang, Johor manakala suspek kedua yang merupakan jiran wanita itu ditahan di Taman Desa Darul Iman 2, Kemaman, sehari kemudiannya./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan