Jumaat, 27 Mei 2011

Maut ditembak di kepala

SKUDAI: Seorang lelaki maut apabila ditembak dari jarak lima meter di sebuah restoran di Taman Ungku Tun Aminah, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi ketika mangsa yang berusia 28 tahun sedang minum bersama lima rakannya di meja yang terletak tepi jalan.

Bagaimanapun secara tiba-tiba sebuah kenderaan jenis Proton Wira, dinaiki tiga lelaki memakai penutup muka muncul dan penumpang di belakang terus melepaskan dua das tembakan menyebabkan mangsa terus rebah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, siasatan awal mendapati suspek melepaskan tembakan dari jarak lima meter, malah bunyi tembakan turut menyebabkan kira-kira 15 pelanggan lain yang sedang menikmati makanan lari menyelamatkan diri.

“Siasatan masih di peringkat awal dan dijalankan mengikut pelbagai sudut. Motif sebenar kejadian juga masih belum dapat dipastikan lagi,” katanya.

Ruslan berkata, maklumat awal diterima pihaknya sudah mengenal pasti beberapa suspek yang kini diburu untuk membantu siasatan kes, dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mangsa bekerja sebagai peniaga dan menetap di Taman Skudai Baru. Kami kini sedang mencari petunjuk baru untuk mengesan suspek bertanggungjawab.

“Berikutan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta bekerja sama dengan menghubungi hotline Polis Johor atau terus ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan