TELUK INTAN: Akibat kerakusan nafsu, seorang kanak-kanak malang berumur tujuh tahun menjadi hamba seks bapa saudaranya sejak setahun lalu di Kampung Sungai Tiang Baru, Rungkup.
Bagaimanapun, perbuatan keji lelaki berumur 25 tahun itu terbongkar apabila ibu mangsa menyedarinya dan membuat laporan polis 19 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, bapa saudara yang juga adik kepada ibu mangsa melakukan perbuatan keji itu sejak kanak-kanak tersebut berusia 6 tahun.
Menurutnya, pihaknya percaya, suspek yang juga seorang nelayan sering melakukan perbuatan keji itu ketika ibu bapa kanak-kanak tersebut tiada di rumah.
“Suspek yang tinggal berhampiran rumah kanak-kanak itu dipercayai merogol mangsa lebih kurang 10 kali termasuk melakukan seks luar tabii sepanjang setahun lalu,” katanya.
Beliau memberitahu pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, semalam.
Kok Liang berkata, pada 19 Mei lalu suspek dipercayai membawa mangsa ke sebuah rumah kosong di kawasan berhampiran untuk melakukan perbuatan keji itu tetapi abang mangsa ternampak suspek membawa adiknya keluar dari rumah.
Menurutnya, abang mangsa memberitahu kepada ibu mangsa mengenai hal itu menyebabkan dia mengesyaki sesuatu berlaku terhadap anaknya.
“Selepas mangsa dihantar pulang, ibu mangsa terus bertanya kepada anaknya dan setelah didesak beberapa kali, mangsa akhirnya memberitahu perkara sebenar,” katanya.
Beliau berkata, mangsa tidak memberitahu perkara sebenar kepada ibu bapanya kerana diugut akan dicederakan jika berbuat demikian.
Katanya, laporan polis dibuat sebelum pemeriksaan kesihatan ke atas kanak-kanak itu dijalankan dan pihaknya berjaya menahan suspek pada Jumaat lalu.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 (a) dan Sekyen 377 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 30 tahun serta sebatan jika didapati bersalah,” katanya./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan