Jumaat, 6 Mei 2011

Diacu pisau ketika makan

PAKA: Kegembiraan pasangan suami isteri menikmati hidangan di sekedai makan bertukar cemas apabila tiba-tiba didatangi lelaki tidak dikenali lalu mengacu sebilah pisau sebelum melarikan beg tangan milik si isteri. 

Kejadian samun bersenjata itu dipercayai berlaku kira-kira jam 2.30 petang kelmarin ketika mangsa bersama suaminya sedang makan di sebuah kedai makan di jalan Besar Paka. 

Mangsa dikatakan secara tiba-tiba dihampiri suspek terbabit yang bertindak mengacu pisau pemotong sayur-sayuran ke arah mereka lalu cuba merampas beg tangannya. 

Suspek bagaimanapun berjaya meragut beg tangan milik pengurus insurans itu sebelum melarikan diri bersama seorang rakannya yang sedia menunggu dengan sebuah motosikal tidak jauh dari situ. 

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Paka dan kerugian dianggarkan RM3,000 apabila sejumlah tunai, telefon bimbit, dokumen penting serta satu kunci kereta mewah dalam beg tangan mangsa turut dilarikan penjenayah terbabit. 

Dalam kejadian berasingan pula, tindakan nekad seorang juruwang di sebuah kedai beroperasi 24 jam melarikan diri dengan bersembunyi dalam stor berjaya menyelamatkan dirinya daripada dicederakan penyamun bersenjatakan pisau rambo yang cuba menyamun sejumlah wang dalam mesin juruwang. 

Kejadian kira-kira jam 5.30 awal pagi kelmarin dipercayai berlaku ketika mangsa berada di kaunter juruwang kedai serbaneka terbabit. 

Suspek yang masuk dengan memakai topi keledar dikatakan berpura-pura membeli kad nilai tambah telefon bimbit lalu mengeluarkan pisau, mengacu sebelum mengarahkan mangsa mengeluarkan wang dalam mesin juruwang. 

Suspek yang gagal mendapatkan wang selepas mangsa bersembunyi dalam stor dikatakan keluar dari premis sebelum masuk semula lalu mengambil 50 kotak rokok. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan menerima :laporan berkaitan kes samun terbabit menasihatkan orang ramai agar me-ngutamakan keselamatan ketika berada di tempat awam. 

Pihaknya masih menjalankan siasatan berkaitan kes samun itu mengikut Seksyen 394/397 kanun keseksaan, suspek kini sedang diburu polis./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan