Khamis, 28 Februari 2013

Eksekutif ditahan kerana disyaki liwat pelajar

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang eksekutif sebuah syarikat pada Jumaat lepas, kerana disyaki meliwat seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun di sebuah hotel di Jalan Kuchai Lama di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di Lumut, Perak susulan laporan polis yang dibuat ibu bapa mangsa selepas dimaklumkan mengenai insiden yang dikatakan berlaku pada 8 Feb itu, oleh guru kaunseling sekolah anak mereka.

"Pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di Brickfields itu mengenali suspek melalui laman sosial Facebook dan dipercayai terpedaya dengan ajakan lelaki itu (untuk bertemu)," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mohmad berkata suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana meliwat.

Katanya suspek juga disyaki melakukan perbuatan sama terhadap tiga rakan mangsa dan polis meminta individu berkenaan tampil membuat laporan polis.

Mengulas lanjut, beliau berkata modus operandi suspek adalah mendekati mangsa dengan menghadiahkan barangan kesukaan mereka sebelum dibawa ke hotel./Bernama

Rabu, 27 Februari 2013

Penggali kubur ditangkap khalwat

Penggali kubur ditangkap khalwat
Pasangan terbabit disoal siasat sebelum diserahkan kepada Jaim untuk tindakan lanjut.
ALOR GAJAH - Seorang penggali kubur ditahan berkhalwat bersama kekasihnya selepas diserbu imam, ahli jawatankuasa kampung dan pihak polis di sebuah taman di Sungai Petai, di sini, petang kelmarin.

Serbuan kira-kira jam 4 petang itu yang diketuai Imam 1 Masjid Luqman Al-Hakim, Ismail Maaruf, mendapati pasangan berusia 22 tahun dan 30-an itu berada di ruang tamu rumah sambil menonton televisyen.

Jurucakap polis berkata, semasa memberi salam, seorang wanita keluar sebelum muncul seorang lelaki berseluar pendek.

“Ketika imam melakukan soal siasat, lelaki itu mengaku berduaan dengan kekasihnya.

"Bagaimanapun, lelaki terbabit mempertikaikan tindakan imam menangkap mereka berikutan rumah disewa kekasihnya itu merupakan milik bapa saudaranya yang sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, ketika diarahkan ke balai polis berdekatan, lelaki terbabit yang juga penoreh getah cuba memujuk imam supaya melepaskannya sementara wanita berkenaan dipercayai penuntut sebuah kolej di daerah ini berdiam diri.

Katanya, kegiatan sumbang pasangan itu disedari sejak Mei tahun lalu apabila melihat lelaki terbabit kerap keluar masuk dari rumah itu.

Sementara itu, Ismail berkata, pasangan berkenaan diserah kepada Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) untuk tindakan selanjutnya./sinarharian

Culik, rogol teman wanita

Culik, rogol teman wanita
Tertuduh (tengah) dikawal ketat anggota polis keluar dari mahkamah selepas dituduh, semalam
KOTA BHARU – Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menculik dan merogol teman wanitanya yang berusia 16 tahun, 11 Februari lalu.

Tertuduh yang berusia 21 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mohd Amirul Hisyam Mat Salleh dari Kampung Batu Hitam, Pasir Puteh didakwa menculik gadis itu pada jam 7 pagi tarikh berkenaan sebelum didakwa merogolnya pada jam 3 petang hari sama.

Pertuduhan rogol dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan manakala tuduhan culik dibuat berasingan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Bagi dakwaan rogol, tertuduh berdepan penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat manakala, bagi tuduhan culik dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, susulan daripada penafiannya, Azman menangguhkan kes untuk pengurusan sementara tertuduh yang diwakili peguam, Rosmizan Sulaiman dibenarkan diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh sebelum ini bekerja sebagai penoreh getah sebelum berpindah ke Kuala Lumpur dan berkhidmat sebagai mekanik.

Azman dalam pada itu turut mengenakan syarat kepada tertuduh supaya tidak mendekati mangsa, mengganggu atau berkomunikasi dengan remaja perempuan itu dalam apa-apa cara sekalipun.

Dia yang kematian bapanya sejak 12 tahun lalu itu kemudian dijamin oleh datuk saudara./sinarharian

Dua remaja lelaki paksa gadis bawah umur lakukan seks luar tabii

GEORGETOWN - Dua remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap seorang gadis bawah umur.

A Chanrasegaran, 20, dan S Sangkaran, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan pertama, Chanrasegaran dan Sangkaran dituduh dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii ke atas mangsa berusia 16 tahun tanpa kerelaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Taman Metropolitan Relau, di antara jam 12.30 tengah hari hingga 3.40 petang, pada 14 Februari lalu.

Berikutan itu, Chanrasegaran dan Sangkaran didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Untuk pertuduhan kedua, kedua-dua lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan mangsa yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang mengenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebat atau mana-mana daripada itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap seorang tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Sitarun Nisa mengurangkan jumlah jaminan kepada RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan setelah mempertimbangkan rayuan tertuduh yang tidak mampu membayar jaminan tinggi.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 29 Ogos ini./sinarharian

Selasa, 26 Februari 2013

Wanita dalam pantang dijel 2 bulan tawar khidmat seks

KUALA LUMPUR: Seorang wanita dalam tempoh berpantang hari ini dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menawarkan khidmat seks kepada seorang anggota polis, Ahad lepas.


Majistret Siti Shakirah Mohtarudin memerintahkan Rosmalini Hussin, 31, menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap pada 24 Februari lepas.


Rosmalini dari Triang, Pahang didakwa menawarkan perkhidmatan seks bagi maksud persundalan kepada Sarjan Major P. Ravidran, 50, dari cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di hadapan sebuah hotel di Jalan Raja Laut di sini pada 8.05 malam pada tarikh tersebut.


Dia didakwa mengikut Seksyen 372(B) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Rosmalini yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana dia hanya seorang suri rumah dan masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak sebulan yang lepas.


Dia juga mempunyai empat lagi anak yang berumur antara 2 tahun hingga 10 tahun manakala suaminya bekerja sebagai pengawal keselamatan.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Zuraimi Kamarozzaman./Bernama

Wanita Indonesia dakwa dirogol polis lakukan hubungan seks dengan teman lelaki

BUTTERWORTH - Seorang wanita warga Indonesia memberitahu Mahkamah Sesyen di sini dia melakukan hubungan seks bersama teman lelakinya sebelum membuat laporan polis mendakwa dia dirogol tiga anggota polis pada 9 November tahun lepas.

Mangsa, 26, membuat pengakuan itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim pada perbicaraan hari pertama kes rogol membabitkan tiga tertuduh iaitu Koperal Nik Sin Mat Lazim, 33, Konstabel Remy Anak Dana, 25, dan Konstabel Syahiran Romli, 21.

Mangsa juga mengaku melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya yang berusia 52 tahun beberapa kali sepanjang lapan bulan tinggal bersama.

Semasa prosiding itu pihak pendakwaan turut menunjukkan empat daripada 19 barang kes kepada mangsa untuk dikenal pasti iaitu dua helai blaus panjang berwarna hitam dan putih, sehelai seluar dalam berwarna biru dan sehelai baju dalam berwarna merah jambu yang diakui mangsa adalah miliknya.

Mangsa merupakan saksi pertama pendakwaan turut memberitahu mahkamah kronologi kes bermula daripada penahanannya oleh dua anggota polis sehingga proses kawad cam dilakukan untuk mengenal pasti suspek.

Bagaimanapun keterangan yang dibuat mangsa mengenai kejadian rogol itu dilakukan secara tertutup di hadapan hakim dan wakil Kedutaan Indonesia.

Mangsa memberitahu mahkamah di sini bahawa teman lelakinya ada menawarkan wang tunai RM100 kepada dua orang anggota polis bagi membolehkan wanita berkenaan dilepaskan atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Mangsa, 26, yang merupakan saksi utama perbicaraan kes rogol yang dihadapi tiga anggota polis iaitu iaitu Koperal Nik Sin Mat Lazim, 33, Konstabel Remy Anak Dana, 25, dan Konstabel Syahiran Romli, 21, berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam R.S.N Rayer.

Mangsa juga mengakui bahawa teman lelakinya yang berusia 52 tahun turut digari kerana membuat tawaran wang tunai itu kerana ia bertentangan dengan etika kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya teman lelakinya dibebaskan setelah mangsa bersetuju untuk dibawa ke balai sementara menunggu teman lelakinya menunjukkan dokumen perjalanan yang sah kepada pihak polis.

Selain itu mahkamah juga diberitahu bahawa terdapat dua Asid Deoksiribonukleik (DNA) milik dua lelaki yang tidak dikenali pada seluar dalam mangsa, bagaimanapun mangsa tidak mengetahui berkenaan DNA itu.

Bagaimanapun, perbicaraan hari kedua hari ini terpaksa ditangguhkan kerana mangsa kurang sihat dan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menetapkan 29 April depan untuk menyambung pemeriksaan balas.

Ketiga-tiga tertuduh Nik Sin, Remy dan Syahiran dituduh merogol wanita itu di Bilik 4, Berek Balai Polis Perai di sini antara 6.40 pagi hingga 7.30 pagi pada 9 Nov 2012.

Bagi pertuduhan rogol, mereka didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga mereka juga didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap wanita itu pada tarikh, waktu dan tempat yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 376(1) kanun sama memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim.

Nik Sin dan Remy diwakili peguam Abdul Roni Rahman manakala Syahiran diwakili peguam Rayer./Bernama

Perogol bersiri Amran dihukum lagi

KOTA BHARU: Perogol bersiri yang pernah menggemparkan negara sebelum ini dihukum lagi apabila Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan ke atasnya.

Hukuman diputuskan Hakim Azman Mustapha selepas Amran Che Jaafar didapati bersalah merogol seorang penuntut kolej di sini, tiga tahun lalu.

Dia kini sedang menjalani hukuman penjara 28 tahun dan 17 sebatan.

Dengan keputusan hari ini, Amran perlu menjalani hukuman 48 tahun di penjara dan 27 sebatan.

Dia masih mempunyai beberapa kes yang sedang dalam perbicaraan./sinarharian

Rabu, 20 Februari 2013

Kelindan, penganggur dituduh rogol suri rumah

KUALA LUMPUR - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan merogol seorang suri rumah minggu lalu.

M Denes, 19, yang bekerja sebagai kelindan lori itu bagaimanapun, mengaku tidak bersalah merogol mangsa berusia 29 tahun itu, selepas pertuduhan dibacakan.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, rakannya, A Niresan, 22, juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan cubaan merogol mangsa.

Penganggur itu, didakwa mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tumpangan, Jalan Sarawak, Dang Wangi, sekitar jam 6.30 petang, 9 Februari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chean Ling, mencadangkan mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh atas faktor keselamatan.

Sementara itu, peguam, P Rasalingam memohon ikat jamin diberikan dan memohon tarikh sebutan baru.

Hakim, Emelia Kaswati Mohamad Khalid tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh dan menetapkan hari ini untuk sebutan semula kes./sinarharian

Isnin, 18 Februari 2013

Murid dakwa dirogol 2 remaja

TUMPAT – Seorang murid tahun empat di sebuah sekolah di sini mendakwa dirogol dua remaja lelaki dikenalinya yang merupakan jiran mangsa di Kampung Baru Nelayan di sini, kelmarin.

Kejadian dikatakan bermula ketika mangsa diajak ke rumah salah seorang remaja dan kemudiannya kedua-dua remaja itu merogolnya di dalam bilik tidur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Tumpat, Asisten Superintendan Mohd Azmi Mohd Ali berkata, hasil siasatan mendapati mangsa telah dirogol oleh suspek sebanyak tiga kali sejak tahun lepas lagi.

“Kejadian terbaru adalah Sabtu lalu kira-kira jam 1.30 tengah hari di dalam bilik lelaki salah seorang suspek tersebut, manakala dua kejadian lagi berlaku pada tahun lepas.

“Seorang suspek adalah sepupu mangsa dan sepanjang tiga kali dirogol, mangsa diajak ke dalam rumah suspek yang jaraknya lebih kurang 80 meter dari rumah mangsa,” katanya.

Menurutnya, kejadian disedari ibunya apabila mangsa mengadu sakit di dubur dan kemaluan dan berikutan itu satu laporan polis dibuat oleh ibu bapa mangsa apabila mengesyaki anaknya dirogol.

“Susulan laporan itu, kedua-dua suspek tersebut ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat di bawah seksyen 377 (C) Kanun Keseksaan,” katanya./sinarharian

Ahad, 17 Februari 2013

Terjerat janji manis kekasih, hamil 4 bulan

KULIM - Terpedaya dengan janji manis teman lelaki, seorang remaja berusia 17 tahun disahkan hamil empat bulan setelah menjalinkan hubungan cinta dengan kekasihnya itu sejak tiga tahun lalu.

Namun, bagi memastikan mangsa tidak membuat laporan polis, keluarga kekasihnya berbincang dengan keluarga mangsa dan bersetuju untuk menikahkan kedua-dua mereka.

Bagaimanapun, selepas beberapa hari, keluarga lelaki menyatakan keengganan mereka untuk menerima mangsa sebagai menantu.

Keputusan ini mendatangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli keluarga mangsa yang kemudiannya bercadang membuat laporan polis bagi memastikan lelaki berkenaan dikenakan tindakan sewajarnya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, sehingga kini, keluarga mangsa belum membuat sebarang laporan tentang permasalahan itu sebaliknya pernah membuat laporan polis pada tahun lalu apabila mangsa didapati tidak pulang ke rumah.

Menurutnya, polis memandang serius terhadap permasalahan seperti ini dan sekiranya waris mangsa membuat laporan polis, siasatan akan dijalankan.

“Jika kali pertama pasangan itu melakukan hubungan seks ketika mangsa di bawah umur, perbuatan itu akan diklasifikasikan sebagai rogol dan suspek boleh disiasat di bawah seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebatan. Sekiranya keluarga mangsa membuat laporan polis, kami akan menahan suspek untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian./sinarharian

Sabtu, 16 Februari 2013

Datuk kena cekup separuh bogel

khalwat
Antara pasangan yang ditangkap khalwat di hotel bajet di Jalan Tiong Nam, awal pagi semalam.
Wang RM 15,000 yang ditemui dalam beg milik seorang pemuda.
Wang RM 15,000 yang ditemui dalam beg milik seorang pemuda.
Penguat kuasa Jawi
Penguat kuasa Jawi memeriksa dokumen mereka yang ditahan ketika serbuan di sebuah hotel di Jalan Tiong Nam, semalam.
Wanita hamil lapan bulan antara yang ditahan.
Wanita hamil lapan bulan antara yang ditahan.
KUALA LUMPUR: “Jangan ambil wang itu, takut hilang. Saya sudah kumpul lama untuk beli rumah,” kata seorang lelaki selepas pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menemui wang RM15,000 ketika pemeriksaan dilakukan di bilik sebuah hotel, di sini, semalam.

Lelaki berusia 20 tahun itu ditahan bersama pasangannya, seorang remaja berusia 16 tahun antara 10 pasangan yang ditahan sempena pada malam sambutan Hari Kekasih.

Ketika disoal penguat kuasa, lelaki dari Kuala Lumpur itu berkali-kali memberitahu wang itu adalah untuk membayar pendahuluan pembelian rumah yang disimpan hasil perniagaan yang diusahakan.

Sementara itu, sepasang pelajar berusia 17 tahun yang cuba menipu pihak berkuasa kononnya mereka adik-beradik, ditahan kerana disyaki berkhalwat, di bilik sebuah hotel.

Apabila diberitahu pegawai penguat kuasa bahawa kes mereka akan dimaklumkan kepada ibu bapa mereka, mereka menangis dan minta dilepaskan.
Datuk dicekup dengan janda

Dalam operasi sama juga, seorang ahli perniagaan berpangkat datuk ditahan bersama seorang janda di sebuah bilik di hotel bajet di Jalan Tiong Nam, awal pagi semalam.

Datuk yang berumur 60 tahun berada dalam bilik bersama wanita berusia 29 tahun apabila pihak penguat kuasa mengetuk pintu bilik.

Setelah pintu dibuka selepas diketuk kira-kira 15 minit, datuk itu didapati dalam keadaan separuh bogel, sementara wanita itu berkemban.

Janda itu difahamkan memberitahu pihak penguat kuasa bahawa dia susah dan sedar apa yang dilakukan adalah satu kesalahan.

Datuk itu pula mengaku tiada pertalian sah dengan wanita berkenaan.

Pihak penguat kuasa juga menahan seorang wanita hamil lapan bulan dan seorang lelaki yang disyaki berkhalwat.
Jumlah tangkapan menurun

Jawi menyifatkan jumlah tangkapan khalwat yang rendah pada malam sambutan Hari Kekasih semalam membuktikan umat Islam di negara mempunyai kesedaran untuk tidak terlibat dalam gejala kemaksiatan.

Pegawai Penguat Kuasa Kanan Perhubungan Awam Jawi, Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, operasi di lapan hotel murah sekitar Kuala Lumpur dan Tasik Titiwangsa mencatatkan penahanan paling sedikit, iaitu sebanyak 10 pasangan.

“Tangkapan ini adalah melalui operasi pihak kami secara berterusan di kawasan Kuala Lumpur.

“Ini tangkapan paling kecil bilangannya dan ia menunjukkan penurunan daripada tangkapan pada tahun sebelumnya,” katanya di pejabat Jawi, semalam.

Menurutnya, pasangan yang ditahan berusia 13 hingga 50 tahun itu turut menerima tiga surat perintah hadir di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang membawa hukuman denda dan penjara jika sabit kesalahan./sinarharian

Jumaat, 15 Februari 2013

Pengunjung gempar wanita terjatuh di Times Square

KUALA LUMPUR: Pengunjung di Times Square di sini gempar apabila seorang wanita maut selepas terjatuh dari tingkat enam kompleks tersebut di sini hari ini.

Dalam kejadian 11 pagi ini, Choo Czek Yeng, 36, maut di tempat kejadian akibat pendarahan teruk di kepala.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata polis menerima panggilan pada 11.25 pagi dan mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut.

"Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat," katanya kepada Bernama melalui sistem pesanan ringkas.

Sementara itu, seorang saksi (lelaki) yang enggan dikenali berkata sebelum kejadian itu, kira-kira 10 pagi, wanita berkenaan dilihat berdiri di bahagian penghadang tingkat enam pusat beli-belah tersebut./Bernama

Khamis, 14 Februari 2013

Wanita sedang mandi maut ditikam kenalan lelaki

BUKIT MERTAJAM: Seorang wanita yang bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan maut selepas ditikam seorang lelaki ketika dia sedang mandi di rumahnya di Taman Hwa Seng, Alma di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata, lelaki berusia 31 tahun itu yang dikatakan menaruh hati terhadap Tan Ching Chin, 24, bertindak menikam mangsa sebanyak tiga kali di perut dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi tadi.

Beliau berkata, lelaki itu yang merupakan pembekal barangan binaan kepada syarikat milik abang mangsa turut bertindak menikam dirinya sendiri selepas menikam mangsa.

"Mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala suspek mengalami kecederaan parah dan berada dalam keadaan kritikal di Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan lanjut," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku apabila lelaki tersebut yang berada di rumah mangsa sejak Ahad lalu untuk menyambut Tahun Baru Cina, bertindak memasuki bilik air ketika mangsa sedang mandi dan terus menikam mangsa.

Mazlan berkata ketika kejadian, ibu mangsa dan pembantu rumah mereka berada di rumah, bagaimanapun mereka tidak sempat membantu Tan kerana kejadian itu berlaku tanpa disedari sesiapa.

"Lelaki itu datang ke rumah mangsa sejak minggu lepas untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama mangsa dan keluarganya sebelum berlaku pertengkaran hari ini yang dipercayai akibat cemburu," katanya.

Katanya siasatan awal polis menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan./Bernama

Rabu, 13 Februari 2013

Pelatih Puspen didakwa di mahkamah bunuh rakan tahanan

KUANTAN: Seorang pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Kuantan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan tahanan pusat itu awal bulan ini.

Mohd Faizal Mohd Yusof, 33, berasal dari Kemaman, Terengganu didakwa membunuh Mohd Wiraliezyaan Ambiah, 31, di bilik tahanan Blok A, Puspen Kuantan, pada pukul 7.50 malam, 3 Februari lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah menetapkan 19 Mac untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ain Fadilla Md Ali./Bernama

Sabtu, 9 Februari 2013

Kes luar tabii: Rayuan warga emas ditolak, hukuman penjara ditambah

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan seorang warga emas berusia 62 tahun menjalani hukuman penjara berjumlah 20 tahun secara berasingan bagi kesalahan melakukan seks di luar tabii terhadap dua beradik berumur lima dan tujuh tahun, yang berada di bawah jagaan isterinya.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Mohd Radzi Ahmad terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen pada 14 Februari 2011.

Dalam penghakimannya, Nurchaya berkata keputusan itu berasaskan kepada sabitan yang dicapai Mahkamah Sesyen, yang tidak sama sekali terkhilaf di sisi undang-undang.

"Setelah mengambil kira fakta, kepentingan awam dan jenis kesalahan, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan pertama dan 10 tahun penjara bagi kesalahan kedua. Kedua-dua kesalahan itu hendaklah berjalan secara berasingan," katanya.

Mohd Radzi didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa tanpa kerelaan mereka di sebuah rumah di Kampung Nakhoda Kanan, Batu Caves, Gombak antara 6.30 pagi dan 6.30 petang, antara 14 April 2008 hingga 26 Mei 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.

Mengikut keterangan kes, Mohd Radzi merupakan suami pengasuh kanak-kanak malang itu.

Pemeriksaan doktor pada 27 Mei 2008 mendapati ada kesan koyakan lama pada selaput dara kedua-dua mangsa dan tertuduh kemudian ditahan sehari kemudian.

Hakim Mahkamah Sesyen Hasbi Hasan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan pertama yang dilakukan ke atas mangsa berumur tujuh tahun, dan 10 tahun penjara bagi kesalahan kedua yang membabitkan kanak-kanak berusia lima
tahun.

Bagaimanapun, Hasbi memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak.

Mohd Radzi diwakili peguam P.Sutheswary manakala Timbalan Pendakwa Raya Fazilah Begum Abdul Ghani hadir bagi pihak pendakwaan./Bernama

Hukuman penjara, sebat buruh rogol adik ipar bawah umur kekal

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 16 tahun dan 10 sebatan rotan terhadap seorang buruh yang merogol adik ipar bawah umur di ladang getah pada 2008.

Panel hakim tiga anggota diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha sebulat suara menolak rayuan lelaki berusia 34 tahun itu terhadap sabitan, hukuman penjara dan sebatan.

Tan berkata, selepas meneliti keterangan mangsa, mahkamah yakin terdapat bukti jelas berlaku penembusan.

Beliau berkata, mahkamah tidak ditunjukkan sebarang alasan mengapa ia harus mengubah keputusan Mahkamah Sesyen justeru mahkamah tidak dapat mencari sebarang sebab untuk mengganggu keputusan itu.

Ketika menolak rayuan lelaki itu terhadap hukumannya, Tan berkata hukuman penjara dan sebatan yang diputuskan Mahkamah Sesyen tidak keterlaluan.

"Kami tidak boleh mengambil peranan mahkamah yang menjatuhkan hukuman.

Selagi hukuman itu tidak keterlaluan, ia bukanlah fungsi Mahkamah Rayuan untuk mengganggu hukuman yang diputuskan mahkamah rendah," kata Tan yang mengetuai panel itu bersama Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohtarudin Baki dan Datuk Mah Weng Kwai.

Pada 27 Januari 2011, Mahkamah Sesyen Sungai Petani mendapati tertuduh bersalah merogol mangsa, yang ketika itu berusia 15 tahun satu bulan, di ladang getah di daerah Kuala Muda, Kedah antara 1.30 tengah hari dan 4 petang pada 7 November 2008.

Mahkamah Sesyen mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 16 tahun dan 10 sebatan rotan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 21 November 2008.

Pada 3 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi Alor Setar menolak rayuan lelaki itu terhadap sabitan dan hukuman.

Berdasarkan fakta kes mangsa membonceng motosikal yang ditunggang tertuduh selepas gadis itu diminta mengikutnya ke pusat membeli-belah tetapi sebaliknya tertuduh membawa mangsa ke ladang getah sebaik hujan mulai turun.

Peguam K.T.Jayaraj yang dilantik Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan cawangan Kedah mewakili tertuduh, dalam hujahannya mempertikaikan sama ada berlaku hubungan seks kerana beliau berkata tiada bukti jelas menunjukkan ia berlaku.

Timbalan Pendakwa Raya Munahyza Mustapha berkata mangsa yang memberi keterangan bahawa terdapat penembusan, adalah seorang saksi yang boleh dipercayai./Bernama

Jumaat, 8 Februari 2013

Kes rogol, bunuh disebut semula 20 Mac

Kes rogol, bunuh disebut semula 20 Mac
Rabidin dibawa keluar dari kamar mahkamah dan kemudian dihantar ke Penjara Marang sehingga sebutan semula kes.
BENTONG: Mahkamah Majistret Bentong menetapkan 20 Mac depan sebagai sebutan semula kes Rabidin Satir, 42, yang didakwa membunuh dan merogol seorang gadis pada Mac 2009 di Kampung Ketari.

Majistret Nurliyana Ismail menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan Timbalan Pegawai Pendakwaraya, Atiqah Liyana Shahrir bahawa kertas siasatan berhubung kes itu masih diteliti oleh Ketua Unit Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara sebelum kes boleh dipindah ke mahkamah tinggi.

Terdahulu, Rabidin hadir ke mahkamah diiringi tiga kenderaan polis dan turut disertai Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor kira-kira jam 9.52 pagi semalam.

Dia yang memakai pakaian lokap berwarna oren, berambut pendek dan berselipar kelihatan dikawal ketat oleh polis dengan keadaan bergari kiri dan kanan.

Ketika kes dibacakan dan jurubahasa bertanyakan sebarang aduan yang ingin dikemukakan ke atas kes itu, Rabidin hanya menganggukkan kepala memahami pertuduhan yang dibacakan kali ketiga itu dan kemudian menggelengkan kepala menandakan tiada sebarang aduan ingin dibuat./sinarharian

Ahad, 3 Februari 2013

Mayat pemuda ditemui tergantung

Ezhar
Gambar Ezhar ketika berusia belasan tahun yang diambil oleh keluarganya.
ALOR SETAR: Mayat seorang pemuda berumur 22 tahun ditemui dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok janggus di belakang rumah keluarganya di Kampung Alor Selut, Jalan Alor Mengkudu di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, mayat Ezhar Azemi ditemui oleh bapanya pada kira-kira jam 7.30 malam kelmarin.

“Terkejut dengan kejadian itu, bapanya menjerit memanggil ahli keluarga yang berada dalam rumah untuk membantunya memotong tali yang menjerut leher anaknya itu sebelum membawa masuk mangsa ke dalam rumah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Adzaman berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat jerutan di bahagian leher dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Punca sebenar mangsa mengambil tindakan sedemikian belum diketahui dan masih dalam siasatan pihak polis,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah lewat malam kelmarin untuk bedah siasat.

“Keputusan bedah siasat mendapati terdapat kesan jerutan pada leher mangsa,” katanya./sinarharian

Sabtu, 2 Februari 2013

Tukang masak diarah bela diri tuduhan ceroboh, saman dan rogol

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen memerintahkan seorang tukang masak membela diri atas tiga pertuduhan iaitu menceroboh, menyamun dan merogol mangsa, lima bulan lepas.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Yusouf Mohd Haflan, 28.

Mahkamah menetapkan tiga hari mulai 25 Feb depan bagi prosiding bela diri.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Yusouf didakwa bersama dua lagi yang masih bebas menceroboh sebuah premis dan menyamun seorang pekerja butik antara 3 pagi hingga 11 malam, 31 Julai 2011.

Dia juga didakwa merogol mangsa pada 4 pagi di tempat dan tarikh yang sama.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah memanggil seramai 12 saksi untuk memberi keterangan.

Yusouf diwakili peguam Abdul Rashid Tasin./Bernama

Jumaat, 1 Februari 2013

Dua sahabat didakwa rogol gadis bawah umur

Dua sahabat didakwa rogol gadis bawah umur
Roslan (kanan) dan Muhamad Ellas (kiri) dibawa keluar dari mahkamah selepas pertuduhan.
GEORGETOWN: Dua sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan merogol seorang gadis bawah umur di bilik sewa, sebuah pangsapuri di Sungai Dua di sini, dua minggu lalu.

Roslan Md Yunus, 32, dituduh merogol seorang gadis berusia 17 tahun kira-kira jam 6.35 pagi, 13 Januari lalu.

Seorang lagi tertuduh, Muhamad Ellas Muhamad Yusof, 24, dituduh merogol mangsa yang sama kira-kira jam 6.30 pagi, di tempat dan tarikh yang sama.

Mereka dituduh secara berasingan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol gadis bawah umur.

Jika sabit kesalahan, dua sahabat terbabit boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Bagaimanapun, kedua-duanya mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz./sinarharian

Ibu tunggal 9 anak dicekup bogel

BESUT: Usaha seorang wanita berusia 54 tahun bersembunyi di bawah katil untuk mengelak diberkas pasukan pencegah maksiat di sebuah rumah dekat Kampung Anak Musang, Jabi di sini, gagal apabila ditangkap dalam keadaan berbogel.

Wanita berstatus ibu tunggal yang dikatakan sudah mempunyai sembilan anak itu hanya menutup badannya dengan kain selimut ketika bersembunyi.

Sepasukan pegawai dan anggota Penguat kuasa Syariah Pejabat Agama Daerah Besut membuat serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di kampung itu jam 12.05 malam selepas mendapat maklumat orang ramai.

Pegawai Agama Daerah, Azmi Tengah berkata, ketika sampai di depan rumah, anggotanya mendapati pintu utama rumah tertutup rapat dan berkunci dari dalam.

Menurutnya, selepas dua minit diberi salam, seorang lelaki yang tidak berbaju dan berseluar hitam membuka pintu rumah.

“Dia memberitahu hanya seorang diri dalam rumah berkenaan tetapi pemeriksaan di dalam sebuah bilik, menemui wanita berkenaan sedang bersembunyi di bawah katil yang hanya menutup tubuhnya dengan kain selimut,” katanya.

Azmi berkata lagi, siasatan lanjut mendapati mereka bukan suami isteri atau muhrim.

Pasangan wanita itu seorang tukang rumah berusia 56 tahun seorang duda beralamat di Kampung Beting Lintang, manakala wanita berkenaan bekerja sebagai penoreh getah.

Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Besut dan kes disiasat di bawah Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzil) Terengganu 2001 kerana percubaan melakukan persetubuhan luar nikah.

Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali./sinarharian