KULIM - Terpedaya dengan janji manis teman lelaki, seorang remaja berusia 17 tahun disahkan hamil empat bulan setelah menjalinkan hubungan cinta dengan kekasihnya itu sejak tiga tahun lalu.
Namun, bagi memastikan mangsa tidak membuat laporan polis, keluarga kekasihnya berbincang dengan keluarga mangsa dan bersetuju untuk menikahkan kedua-dua mereka.
Bagaimanapun, selepas beberapa hari, keluarga lelaki menyatakan keengganan mereka untuk menerima mangsa sebagai menantu.
Keputusan ini mendatangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli keluarga mangsa yang kemudiannya bercadang membuat laporan polis bagi memastikan lelaki berkenaan dikenakan tindakan sewajarnya.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, sehingga kini, keluarga mangsa belum membuat sebarang laporan tentang permasalahan itu sebaliknya pernah membuat laporan polis pada tahun lalu apabila mangsa didapati tidak pulang ke rumah.
Menurutnya, polis memandang serius terhadap permasalahan seperti ini dan sekiranya waris mangsa membuat laporan polis, siasatan akan dijalankan.
“Jika kali pertama pasangan itu melakukan hubungan seks ketika mangsa di bawah umur, perbuatan itu akan diklasifikasikan sebagai rogol dan suspek boleh disiasat di bawah seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebatan. Sekiranya keluarga mangsa membuat laporan polis, kami akan menahan suspek untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan