GEORGETOWN - Dua remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap seorang gadis bawah umur.
A Chanrasegaran, 20, dan S Sangkaran, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.
Mengikut pertuduhan pertama, Chanrasegaran dan Sangkaran dituduh dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii ke atas mangsa berusia 16 tahun tanpa kerelaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Taman Metropolitan Relau, di antara jam 12.30 tengah hari hingga 3.40 petang, pada 14 Februari lalu.
Berikutan itu, Chanrasegaran dan Sangkaran didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Untuk pertuduhan kedua, kedua-dua lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan mangsa yang sama.
Bagi kesalahan itu, mereka dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang mengenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebat atau mana-mana daripada itu, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap seorang tertuduh dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Sitarun Nisa mengurangkan jumlah jaminan kepada RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan setelah mempertimbangkan rayuan tertuduh yang tidak mampu membayar jaminan tinggi.
Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 29 Ogos ini./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan