Rabu, 20 Februari 2013

Kelindan, penganggur dituduh rogol suri rumah

KUALA LUMPUR - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan merogol seorang suri rumah minggu lalu.

M Denes, 19, yang bekerja sebagai kelindan lori itu bagaimanapun, mengaku tidak bersalah merogol mangsa berusia 29 tahun itu, selepas pertuduhan dibacakan.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, rakannya, A Niresan, 22, juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan cubaan merogol mangsa.

Penganggur itu, didakwa mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tumpangan, Jalan Sarawak, Dang Wangi, sekitar jam 6.30 petang, 9 Februari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chean Ling, mencadangkan mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh atas faktor keselamatan.

Sementara itu, peguam, P Rasalingam memohon ikat jamin diberikan dan memohon tarikh sebutan baru.

Hakim, Emelia Kaswati Mohamad Khalid tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh dan menetapkan hari ini untuk sebutan semula kes./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan