Memaparkan catatan dengan label Dadah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dadah. Papar semua catatan

Isnin, 18 Jun 2012

Dadah diisi dalam pek minuman untuk dijual


ABDUL Rahim (tiga dari kanan) menunjukkan rampasan dadah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Gombak di Selayang semalam.
GOMBAK: Taktik satu sindiket pengedaran dadah menyorok bahan terlarang tersebut di dalam pek-pek minuman segera terbongkar selepas polis menyerbu sebuah rumah teres tiga tingkat yang diubah suai menjadi pusat hiburan di Bukit Idaman, Selayang di sini kelmarin.

Operasi yang bermula pada pukul 1 pagi itu kemudian membawa polis ke sebuah unit kondominium di kawasan berhampiran dan merampas dua buah kenderaan iaitu Toyota Alphard dan BMW.

Pemeriksaan di dalam rumah teres, satu unit kondominium dan dua buah kenderaan itu, polis menemui sejumlah dadah jenis pil eramin 5, ketamin dan ekstasi yang kesemuanya bernilai RM570,000.

Sebahagian daripada dadah yang dirampas itu sama ada berbentuk pil dan serbuk sudah dimasukkan ke dalam pek minuman segera seperti pek minuman teh, milo atau kopi bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

Dalam serbuan itu, polis menemui puluhan botol kaca kecil yang digunakan untuk menghisap dadah.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, dalam serbuan tersebut, polis menahan lapan orang termasuk dua wanita dan seorang daripadanya warga China berusia antara 16 hingga 56 tahun./kosmo

Ahad, 17 Jun 2012

Dua pengedar dadah dicekup

JEMPOL: Dua lelaki disyaki tokan dadah kecil-kecilan di sekitar Palong, di sini, ditahan dalam serbuan berasingan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, hasil maklumat awam dan pemantauan selama sebulan.

Operasi bermula jam 1.30 tengah hari Khamis lalu diketuai Inspektor N Prabu bersama 10 anggota itu turut menahan tiga bersaudara, termasuk seorang wanita, disyaki penagih dadah yang juga teman wanita suspek pertama.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Sabri Muhamad berkata, serbuan pertama di sebuah rumah di Palong 8, Ladang Gaddes, di sini, dan menahan seorang lelaki berusia 37 tahun.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis menemui tiga paket kecil berserta satu tiub straw mengandungi bahan disyaki dadah heroin, berat kasar 5.2 gram dan dia kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ketika serbuan, lelaki itu didapati tidak berseorangan dan kami menahan teman wanitanya berusia 31 tahun serta dua lelaki lain dipercayai adik dan adik ipar wanita itu,” katanya./hmetro

Disko haram markas dadah

SELAYANG: Serbuan pasukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak ke sebuah rumah mewah di Bukit Idaman Selayang, di sini, selepas menerima aduan penduduk mengenai aktiviti disko haram membongkar kegiatan pengedaran dadah pemilik kediaman itu apabila menemui pelbagai jenis bahan terlarang berkenaan dipercayai bernilai jutaan ringgit, awal pagi semalam.

Dalam serbuan jam 1 pagi, pasukan itu melakukan pemeriksaan di tempat kejadian selepas menerima aduan mengenai bunyi bising dan suasana riuh di rumah itu pada sebelah malam selain kerap dikunjungi orang ramai, baru-baru ini.

Menurut sumber, rumah teres terbabit disyaki menjadi pusat hiburan tanpa lesen sebelum sepasukan D7 dari IPD Gombak melakukan intipan, namun tidak menduga pemeriksaan lanjut dalam rumah itu akan menemui pelbagai jenis dadah, termasuk pil khayal.

“Ketika serbuan, polis menahan empat lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 40-an dipercayai sedang khayal di bawah pengaruh dadah.

“Pemeriksaan lanjut menemui bungkusan plastik lutsinar dipercayai dadah jenis ganja, sebelum soal siasat terhadap pemilik rumah berusia 40-an membawa polis ke satu lagi kediamannya di kondominium berhampiran,” katanya.

Sumber berkata, serbuan di kondominium yang turut dihuni anak suspek berusia 14 tahun itu kemudian menemui dua kotak pil Eramin 5 dan wang tunai RM60,000 dipercayai hasil kegiatan pengedaran serta alat penimbang.

“Suspek turut menunjukkan tempat dia menyimpan dadah dalam dua kereta mewah di tempat letak kenderaan kondominium itu dan pemeriksaan kemudian menemui pil Eramin 5 dan ketamin yang dibungkus dalam uncang teh.

“Semua suspek, termasuk remaja yang tidak bersekolah itu, dibawa ke IPD Gombak untuk tindakan lanjut,” katanya./hmetro

Khamis, 12 April 2012

Rahsia pelajar terbongkar, hidup mewah hasil dadah

BESUT: Rahsia kehidupan mewah seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun terbongkar selepas guru sekolahnya di Kampung Raja di sini mendapati dia membawa RM800 ke sekolah.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, pelajar tingkatan dua itu disiasat oleh guru sekolahnya selepas melihat keadaan dia yang mencurigakan sejak belakangan ini.

Menurutnya, apabila disoal siasat gadis tersebut mengaku membawa wang dalam jumlah yang banyak hasil menjual pil kuda kepada bukan pelajar di luar sekolah.

“Pihak sekolah telah menyerahkan pelajar tersebut kepada polis dan hasil soal siasat pelajar berkenaan memberitahu dia telah menjadi pengedar dadah sejak hampir empat bulan lalu dan memperoleh bekalan daripada bekas teman lelakinya.

“Pelajar itu memberitahu mendapat upah kira-kira RM100 setiap kali dapat menjual dadah yang dibekalkan dan mendakwa dipaksa menjual dadah tersebut oleh bekas teman lelakinya,” katanya.

Kamaruddin berkata, pada jam 4.30 petang, Ahad lalu sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah telah berjaya menahan teman lelaki pelajar itu di sebuah wakaf di Kampung Air Terjun.

Menurutnya, sebelum itu, suspek berusia 19 tahun cuba melarikan diri sambil membuang satu uncang ke tanah namun dia berjaya diberkas.

“Pemeriksaan dalam uncang berkenaan menemui sebanyak 70 biji dipercayai pil kuda manakala pemeriksaan pada badan suspek menemui 30 biji lagi pil kuda menjadikan keseluruhan sebanyak 100 biji serta wang RM650,” katanya.

Kamaruddin memberitahu, kejayaan itu membawa kepada tangkapannya abang suspek berusia 34 tahun pada jam 5.15 petang hari sama di sebuah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Air Terjun.

Hasil pemeriksaan di rumah abang suspek menemui tujuh pil kuda di dalam rumah berkenaan.

Sementara itu, ujian saringan air kencing mendapati suspek pertama dan pelajar berkenaan negatif dadah tetapi abang suspek pertama positif dadah pil kuda dan kedua mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

Suspek pertama disiasat di bawah Seksyen 39A1 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta yang sama manakala abangnya di bawah Seksyen 12(1) dan Syeksen 15(1) akta yang sama./sinarharian

Khamis, 24 November 2011

Tiga nenek dipenjara 10 bulan kerana memiliki dadah

nenek
MOHD ISKANDAR OTHMAN
GEOREGETOWN: Layak digelar nenek namun perangai persis remaja yang baru meningkat umur. Itu gambaran yang boleh dibuat ke atas tiga wanita yang dijatuhi hukuman penjara 10 bulan selepas didapati bersalah memiliki dadah.

Aloyah Abdul Hamid, 56; Norlia Yahya, 42; dan Saadiah A Rahman, 54, didapati bersalah selepas ditahan pada 28 September lalu kira-kira jam 6 petang di sebuah rumah di Jalan Selangor di sini.

Mengikut pertudu­han, mereka bersama-sama didakwa memiliki dadah jenis heroin dan monoacetylmorphines seberat 0.75 gram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum me­ngikut Seksyen 12(3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Ketiga-tiga wanita itu yang hadir ke mahkamah berpakaian penjara bagaimanapun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Ketika diberi kesempatan membuat rayuan, mereka merayu dikenakan hukuman ringan bermula dari tarikh tangkapan.

Difahamkan, mereka kini sedang menjalani hukuman penjara akibat kesalahan mengambil dadah.

Majistret Noor Aini Yusof kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan yang dijalankan serentak dengan hukuman yang dikenakan sebelum ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Nur Farhana Hashim./sinarharian

Sabtu, 5 November 2011

Janda 18 tahun ditahan meragut nak beli dadah

KULAIJAYA: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang juga ibu tunggal nekad meragut beg duit seorang wanita di depan sebuah pasar raya di bandar ini, petang kelmarin, semata-mata mahu membeli dadah.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa berusia 59 tahun berjalan seorang diri selepas membeli-belah sebelum diragut dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata tindakan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan ringan.

“Kejadian berlaku di tempat letak kenderaan pasar raya berkenaan, suspek kemudian melarikan diri namun jeritan mangsa didengari orang awam yang terus mengejar peragut terbabit.

“Pada masa sama, orang ramai memaklumkan kejadian kepada anggota MPV yang melakukan rondaan di lokasi berhampiran,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya, semalam.

Suspek ditahan dan menurut Zulkefly, siasatan mendapati suspek ibu tunggal dan mempunyai seorang anak berusia setahun.

Ketika melakukan jenayah itu, Zulkefly berkata, suspek berada di bawah pengaruh dadah jenis Methamphetamine.

“Ujian air kencing mengesahkan suspek berada di bawah pengaruh dadah terbabit, beg duit mangsa bersama wang tunai RM120, kad kredit dan kad pengenalan ditemui semula.

“Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu dipercayai meragut bagi mendapatkan bekalan dadah untuk kegunaan sendiri,” katanya./hmetro

Rabu, 19 Oktober 2011

Anggota polis hadapi dua pertuduhan

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap pertuduhan memasukkan dadah jenis Methamphetamine ke dalam badannya.

Bagi pertuduhan pertama Rozali Hassan, 38, didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Brickfields pada 10 pagi, 25 Okt tahun lepas mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.

Rozali, yang kini digantung tugas, juga menghadapi pertuduhan gagal menyerahkan semula sepucuk pistol jenis Stayer bersama 12 butir peluru kepada pegawainya di Stor Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada 8.45 pagi 19 Mei lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 8 (6) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Peguam M. Mathavan, yang mewakili Rozali, merayu dikurangkan wang jaminan RM3,000 dikenakan ke atas tertuduh untuk tuduhan pertama dan RM6,000 tuduhan kedua kerana anak guamnya tidak berkemampuan.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin kemudian membenarkan Rozali diikat jamin RM2,000 bagi pertuduhan pertama dan RM4,000 tuduhan kedua dengan seorang penjamin serta menetapkan 18 Nov untuk sebutan semula kes./Bernama

Isnin, 20 Jun 2011

12 polis ditahan edar dadah

KUALA LUMPUR: Seramai 12 anggota polis termasuk seorang pegawai ditahan dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di ibu negara, dalam dua serbuan, baru-baru ini. 

Anggota polis berpangkat inspektor, pegawai dan konstabel, berusia lingku-ngan 20 hingga 30 tahun itu ditahan selepas pemantauan berdasarkan maklumat diperoleh. 

Mereka boleh dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan, boleh membawa hukuman mati mandatori dan dikenakan tindakan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam serbuan pertama, enam anggota polis dari cawa-ngan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur itu ditahan minggu lalu. 

Menurutnya, biarpun polis tidak menemui dadah, namun siasatan menujukan suspek dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah. 

“Ini adalah kes pertama tangkapan narkotik membabitkan anggota polis pada tahun ini. 

“Keputusan sama ada mereka akan digantung kerja dijangka diketahui selepas selesai siasatan nanti,” katanya pada sidang akhbar semasa mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar merasmikan Majlis Ihtifal Peringkat Kebangsaan Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima) Kali Ke-12 di Masjid Bukit Aman, semalam. 

Kelmarin, enam anggota dipercayai bertugas di Balai Polis Petaling dan Balai Polis Sri Petaling ditahan. 

Sumber berkata, terdahulu, dua suspek diberkas sebelum polis membuat serbuan di sebuah rumah di Apartmen Mutiara di Jalan Klang Lama, kira-kira jam 3 petang. 

Difahamkan, polis menemui sebahagian ketulan mampat dadah dan turut menyita beberapa kenderaan milik suspek. 

Noor Rashid berkata, tangkapan pegawai dan anggota terbabit membuktikan polis tidak melindungi sesiapa daripada undang-undang. 

Dalam pada itu, menurutnya, beliau berharap masyarakat tidak memandang serong terhadap PDRM kerana penglibatan pegawai dan anggota polis dalam penyalahgunaan kuasa serta kegiatan jenayah adalah kecil berbanding lebih 100,000 keanggotaan dalam pasukan itu./sinarharian

Jumaat, 20 Mei 2011

Nenek dihukum gantung sampai mati

Shah Alam: Hukuman mati ternyata tidak mengira usia apabila seorang wanita warganegara India berumur 64 tahun dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini selepas didapati bersalah mengedar ketamin seberat 2,925 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di Sepang dua tahun lalu.

Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa tertuduh, Fazila Bee Abdul Kareem gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Wanita itu, yang mempunyai tiga orang anak, didakwa mengedar dadah berbahaya itu di Kaunter Pemeriksaan Kastam A, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, KLIA, kira-kira pukul 2.30 petang pada 13 Feb 2009.

Fazila Bee didakwa mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Noor Azian berkata tertuduh dalam pembelaannya mendakwa dia datang ke Malaysia untuk mencari pekerjaan kerana berasal daripada keluarga susah.

Beliau berkata tertuduh mendakwa semasa di lapangan terbang di India, seorang wanita telah meminta tertuduh untuk mendaftar masuk sebuah beg dengan alasan wanita terbabit akan datang bekerja di tempat sama dengan tertuduh.

Noor Azian berkata setelah mempertimbangkannya beliau mendapati keterangan pembelaan tertuduh langsung tidak masuk akal kerana banyak sebab antaranya, visa yang digunakan tertuduh ialah visa pelancong dan bukan permit kerja.

"Kalau nak kerja mesti dah tahu tempat mana nak kerja, nama majikan dan ada permit kerja. Tertuduh juga dikatakan berumur 64 tahun tetapi berdasarkan penampilannya, umur tertuduh dilihat lebih daripada 64 tahun, jadi tidak mungkin ada orang yang nak ambil dia bekerja sebagai pembantu rumah.

"Keterangan tertuduh penuh dengan percanggahan, tidak konsisten, lebih kepada rekaan dan difikirkan semula. Saya dapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan dan tertuduh didapati bersalah. Hanya ada satu hukuman sahaja iaitu tertuduh digantung sampai mati," katanya.

Sejurus Noor Azian membacakan keputusannya, Fazila Bee yang memakai t-shirt putih, berseluar sukan dan bertudung hitam tidak menunjukkan sebarang reaksi.

Bagaimanapun, selepas dia keluar dari kandang tertuduh dan diterangkan oleh peguamnya KA Ramu mengenai hukuman yang dijatuhkan ke atasnya, Fazila Bee dilihat menangis sambil mengangkat tangan seperti berdoa.

Tertuduh juga dilihat berterusan menangis sambil memegang sehelai tuala kecil dan berdoa ketika diiringi anggota polis keluar dari mahkamah.

Sepanjang perbicaraan, seramai enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pembelaan mengemukakan seorang saksi.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya daripada Kastam Diraja Malaysia Nursarah Dina Baharudin yang menyebut bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya Naziah Mokhtar./Bernama

Jumaat, 6 Mei 2011

Buruh bakal ke tali gantung

KUALA TERENGGANU: Seorang buruh bakal berdepan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan mengedar dadah berbahaya jenis heroin pada April lalu. 

Tertuduh, Jilperi Ali, 30, dari kampung Pasir Putih, Bukit Cempaka, Batu Rakit telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, disini, semalam atas pertuduhan di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) Akta yang sama. 

Pertuduhan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya, Masriwani Mahmud di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof. 

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah mengedar dadah berbahaya itu seberat 22.25 gram di kawasan bebas, iaitu di tepi jalan besar kampung Gong Pak Jin pada 22 April lalu kira-kira jam 4.30 petang. 

Dengan itu, dia telah melakukan kesalahan yang boleh membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. 

Selain itu, tertuduh turut berhada-pan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 38B ADB 1952 (pindaan 2002) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 15 Akta yang sama iaitu menggunakan dadah berbahaya jenis morfin pada waktu serta tempat yang sama. 

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan diikuti dengan perintah pengawasan 1 seperti di Seksyen 38B ADB 1952 (pindaan 2002). 

Majistret menetapkan 15 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia. 

Sebelum ini, Sinar Harian menyiarkan polis menahan seorang lelaki Melayu yang dipercayai sedang mengedar dadah ditepi jalan besar, kampung Gong Pak Jin, Batu Rakit pada 22 April lalu. 

Suspek ditahan ketika berada di lokasi tersebut dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek, polis menjumpai lima botol serbuk putih dipercayai heroin yang disorokkan didalam poket seluar jeansnya./sinarharian

Rabu, 27 April 2011

Janda gian tidak serik

FELDA KERTEH 3: Biarpun baru tiga hari keluar penjara, namun hukuman dilalui tidak dapat menimbulkan keinsafan bagi seorang wanita kaki dadah apabila dia kembali terjebak dengan aktiviti songsang itu sehingga ditangkap pihak berkuasa. 

Janda anak tiga itu ketika berkongsi pengalaman berkata, sebaik keluar dari penjara, dia tiada tempat untuk dituju lalu kembali mencari kenalan lamanya yang juga kaki dadah. 

Bekas banduan Penjara Pengkalan Chepa itu berkata, kesalahan yang dilakukannya menyebabkan ahli keluarga enggan menerimanya semula, sehubungan itu, dia terpaksa mencari tempat berlindung lalu datang ke rumah ibu saudaranya di sini untuk membina kehidupan baru. 

Bagaimanapun, sebaik tiba di sini, dia berkenalan dengan seorang lelaki yang juga kaki dadah sebelum kembali terjebak, selain turut dijadikan teman tidur. 

“Saya memang ada niat untuk berubah, tetapi orang macam saya, siapa mahu terima. Hendak kahwin lain, mungkin agak mustahil untuk bertemu jodoh, apatah lagi dengan status saya ini. 

“Dulu saya pernah kena tangkap, lepas tu saya taubat namun saya kembali menagih selepas tidak tahan dengan tekanan hidup,” katanya yang berasal dari Besut. 

Janda berusia 25 itu ditahan pihak berkuasa ketika berada bersama teman lelakinya dalam bilik di sebuah rumah dekat sini, awal minggu lalu. 

Hasil ujian saringan air kencing dia dan juga pasangannya didapati positif dadah jenis methampethamine dan ditahan polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Pasangan terbabit juga bakal dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah me�ngikut Seksyen 31 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali./sinarharian

Isnin, 28 Februari 2011

Pekera Kilang Terima Hukuman Mati Pada Ulang Tahun Kelahiran

SHAH ALAM: Seorang pekerja kilang menerima hadiah ulang tahun kelahiran paling syahdu, apabila dia dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, selepas disabitkan bersalah mengedar dadah, dua tahun lalu.
Lebih memilukan, Mohd Kamarulzaman Irwan Shah yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-25 pada Selasa, pada awalnya ditawarkan pertuduhan pilihan bagi kesalahan memiliki yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup.
Malah, Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki dalam penghakimannya juga berkata bahawa tertuduh telah mengambil risiko dengan menolak pertuduhan pilihan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan.
“Saya sedih kerana kamu telah ditawarkan dengan pertuduhan pilihan pada peringkat awal, tetapi kamu menolak.
“Saya rasa ini perjudian yang sangat berisiko kerana jelas elemen pemilikan eksklusif telah dibuktikan bahawa kamu ada kawalan terhadap dadah.
“Oleh itu, kamu didapati bersalah dan di bawah peruntukkan undang-undang, hanya ada satu hukuman sahaja, iaitu gantung sampai mati,” kata Mohtarudin.
Pada penghakimannya, Mohtarudin juga menolak pembelaan tertuduh yang mendakwa tombol pintu bilik di mana dadah dijumpai telah rosak kerana menurutnya, perkara tersebut adalah difikirkan semula selepas kejadian.
Menurut Mohtarudin, dakwaan tersebut tidak pernah ditimbulkan pada peringkat awal, iaitu semasa saksi-saksi seperti pegawai serbuan dan tangkapan memberi keterangan, sebaliknya hanya dinyatakan pada peringkat pembelaan.
Perbicaraan sebelum ini melibatkan keterangan 11 saksi pendakwaan manakala tertuduh tidak mengemukakan saksi lain bagi menyokong pembelaannya.
Mohd Kamarulzaman Irwan kelihatan bersahaja menerima hukuman itu, berbeza dengan ibunya yang menangis teresak-esak sehingga terpaksa ditenangkan oleh seorang ahli keluarga.
Tertuduh didakwa mengedar 295.01 gram ganja pada pukul 7 pagi, 16 Mei 2009 di sebuah rumah nombor 2, Jalan Kenanga Sari 3A, Bandar Sungai Buaya, Rawang, Hulu Selangor.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Adi Harman Mawardi./mstar

Jumaat, 18 Februari 2011

Penuntut IPT berhadapan hukuman penjara seumur hidup

KUALA TERENGGANU: Seorang mahasiswa akan berhadapan dengan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan sekiranya didapati bersalah atas tuduhan memiliki pil disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 109 gram pada 2 Februari lalu.

Tertuduh, Che Saiful Syaqwan Che Ngah, 19, dari Kuala Besut bagaimanapun hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tuan Azman Mustapha di Mahkamah Sesyen, semalam.

Tertuduh yang juga mahasiswa semester dua di sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di negeri ini didakwa memiliki 990 biji pil disyaki jenis methamphetamine seberat 109 gram di sebuah rumah di Jalan Sekolah, Kampung Beris Cawat, Kuala Besut pada 2 Februari lalu jam 11.10 malam.

Dia didakwa di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39 A (2) akta yang sama yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan diwajibkan tidak kurang 10 sebatan rotan.

Hakim menetapkan 19 April ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah./sinarharian

Selasa, 15 Februari 2011

Ameng mengaku miliki dadah


AMENG dan isterinya, Sabariah didakwa memiliki dadah di Mahkamah Sesyen Melaka semalam.



MELAKA: Selepas dua minggu ditahan reman berkaitan kes dadah, vokalis kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail, 42, atau lebih dikenali sebagai Ameng Spring akhirnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan memiliki dadah kanabis dan dadah methamphetamine (syabu).
Selain Ameng yang popular dengan lagu Sampai Hati itu, turut didakwa di mahkamah sama ialah isterinya, Sabariah Zakariah, 41.
Ameng mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan memiliki dadah yang dibacakan di hadapan Hakim Zaharah Hussain.
Bagaimanapun, Sabariah tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan terhadap dua pertuduhan yang disabitkan.
Mengikut pertuduhan pertama, pasangan itu didakwa memiliki dadah jenis kanabis yang berat kasar sebanyak 122 gram pada pukul 5.20 petang di No. 1, Hotel Senyum Mesra No. 346 A&B, Jalan Melaka Raya 3, Taman Melaka Raya di sini pada 1 Februari lalu.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum seumur hidup atau penjara tidak kurang daripada lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 sebatan./kosmo

Rabu, 9 Februari 2011

Menangis di kandang tertuduh

KUALA TERENGGANU: Seorang gadis bawah umur yang tercicir pelajaran sejak Tingkatan Dua menangis teresak-esak di dalam kandang tertuduh selepas gagal membayar wang jaminan sejumlah RM2,000 yang ditawarkan oleh mahkamah kerana tiada seorang pun dalam kalangan ahli keluarganya yang hadir pada hari pertuduhan dibacakan, semalam.

Jaminan ditawarkan selepas dua pertuduhan terhadap tertuduh yang berusia 15 tahun dari Kampung Surau Baru, Jalan Pasir Panjang iaitu positif dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan gagal menunjukkan kad pengenalan diri ketika ditahan pada 6 Febuari lalu dijalankan oleh Inspektor Miky Anak Dustan Muda di hadapan hakim, Siti Faraziana Zainuddin.

Tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu hanya mendiamkan diri dan tunduk menangis selepas pertuduhan dibacakan dan tiada pengakuan direkodkan./sinarharian

Selasa, 8 Februari 2011

Warga emas edar 1,300 pil eramin 5 ditahan

IPOH: Polis merampas 1,300 pil eramin 5 bernilai lebih RM19,000 daripada seorang warga emas yang ditahan di Jalan Pantai-Kuala Kurau, Kerian Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt. Mat Fauzi Nayan berkata, lelaki berusia 61 tahun itu ditahan pada 2 pagi oleh sepasukan anggota polis Jabatan Narkotik hasil maklumat dan risikan.

Polis menemui satu bungkus plastik hitam mengandungi 200 biji pil eramin 5 di dalam bakul motosikalnya yang diberhentikan di tepi jalan, katanya ketika dihubungi hari ini.

Hasil soal siasat ke atas lelaki berkenaan membawa penemuan 1,100 biji pil eramin yang dibungkus di dalam bekas plastik berwarna ungu di dapur rumah lelaki itu di Jalan Pantai./Bernama

Selasa, 1 Februari 2011

Dua Polis Tentera Dipercayai Memiliki Ganja Ditahan

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis tentera dari sebuah markas tentera di bandaraya ini ditahan kerana dipercayai memiliki dadah jenis ganja dua hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, ACP Kang Chez Chiang berkata, kedua-dua suspek berumur 29 dan 40 tahun itu ditahan pada 2.15 pagi ketika berada dalam keadaan mencurigakan di sebuah pusat tumpuan orang ramai di Setiawangsa.

"Anggota polis dari Balai Polis Jalan Tun Razak telah bertindak atas maklumat orang awam dan menahan suspek yang dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan ke atas kedua-dua lelaki ini telah membawa kepada penemuan satu ketulan mampat ganja dengan anggaran berat 2.1 gram di dalam beg pinggang suspek pertama," katanya kepada Bernama menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini, Isnin.

Beliau berkata, selepas pemeriksaan ke atas suspek kedua, polis menemui ganja seberat 1.3 gram di dalam beg sandangnya.

Menurutnya ujian saringan awal polis mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952./Bernama

Rabu, 26 Januari 2011

Tidak mengaku salah cabul

KUALA TERENGGANU: Anak lelaki kepada seorang tauke restoran masakan panas di Seberang Takir tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini semalam atas tuduhan mencabul seorang gadis bawah umur pada 22 Mac 2009.

Tertuduh, Md Syihabudin Md Kamil, 22, dari kampung Sungai Ikan, Tepoh dituduh di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul gadis bawah umur juga pelayan kedai milik bapa tertuduh.

Tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu kelihatan tenang sepanjang pertuduhan yang dijalankan oleh Inspektor Miky Anak Dustan Muda di hadapan hakim, Siti Faraziana Zainuddin.

Mengikut pertudu-han, Md Syihabudin dituduh menggunakan kekerasan jenayah ke atas seorang gadis berusia 16 tahun dengan niat untuk mencabul kehorma-tannya di kawasan belakang Lapangan Terbang Sultan Mahmud, kampung Tanjung Jaafar Seberang Takir pada jam 6.30 petang, 22 Mac 2009.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana yang setimpal.

Dalam mahkamah sama, tertuduh turut dituduh di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, pindaan 2002 kerana memasukkan dadah dalam badan jenis methamphitamine serta dituduh di bawah peraturan 25 (1) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 tidak membawa kad pengenalan diri di Pejabat Jenayah D4, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) pada 17 Januari lalu.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 bagi pertuduhan melibatkan cabul dan menetapkan 24 Februari depan sebagai tarikh melantik peguam serta menyerahkan dokumen.

Manakala bagi dua pertuduhan lagi iaitu memasukkan dadah dalam tubuh dan tidak membawa kad pengenalan dikenakan ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 20 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia./sinarharian

Selasa, 25 Januari 2011

Bulan madu dalam lokap

RAMPAS...Abdul Ghafar (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas. RAMPAS...Abdul Ghafar (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas.
ALOR SETAR: Baru seminggu bergelar raja sehari, sepasang suami isteri bukan sekadar meringkuk dalam tahanan, malah turut berdepan hukuman mati apabila kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah.

Lelaki 35 tahun dan isterinya berusia 26 tahun, dianggap pasangan ‘sejiwa’ kerana kedua-duanya pernah ditahan beberapa kali atas kesalahan mengedar dadah sejak beberapa tahun lalu sebelum membuat keputusan berkahwin minggu lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, lelaki itu ditahan di Plaza Tol Gurun, kira-kira jam 3 petang Sabtu lalu manakala isterinya ditahan di rumah mereka di Kepala Bukit, Gurun, sejam kemudian pada hari yang sama.

Beliau berkata, sepasukan polis dari Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menahan lelaki terbabit yang ketika itu menunggang motosikal bersendirian dalam keadaan mencurigakan di plaza tol.

“Hasil pemeriksaan, kami menemui dua plastik lutsinar dipercayai heroin seberat 910 gram bernilai RM30,000 yang disorok di dalam plastik biskut dan diletak dalam raga motosikal Modenas Kriss itu,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Susulan penahanan itu, suspek membawa polis ke rumahnya di Kepala Bukit, Gurun dan hasil pemeriksaan menemui sembilan ketulan plastik mampat mengandungi heroin seberat 24.2 gram bernilai RM1,100.

Abdul Ghafar berkata, dadah yang diproses sebegitu kebiasaannya untuk tujuan penyeludupan dan suspek menelannya bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Kami masih menyiasat sama ada suspek melakukan taktik penyeludupan demikian yang biasanya dilakukan untuk menyeludup dadah ke dalam penjara,” katanya.

Turut dirampas, tiga telefon bimbit dan motosikal daripada pasangan itu.

Siasatan mendapati bekalan dadah itu diperoleh dari negara jiran dan polis masih menyiasat sama ada suspek menjalankan urusan jual-beli dadah ketika ditahan.

Abdul Ghafar berkata, kedua-dua suspek pernah beberapa kali ditahan akibat kesalahan dadah itu dikenakan tindakan Orang Kena Pengawasan (OKP) mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983./hmetro

Khamis, 20 Januari 2011

Ibu dan anak ditahan, 3,800 pil kuda dirampas

KOTA BHARU: Seorang wanita warga emas dan anak lelakinya ditahan polis dalam satu serbuan di Wakaf Baharu, Tumpat, semalam yang turut menyaksikan rampasan pil khayal dipercayai pil kuda bernilai RM76,000.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Mazlan Lazim, berkata wanita berusia 59 tahun dan anak lelakinya berusia 30 tahun itu ditahan di sebuah rumah pada jam 4.30 petang.
"Ketika serbuan itu, hanya kedua-dua suspek berada di dalam rumah itu dan hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan menemui dadah dalam bentuk pil iaitu sebanyak 3,800 biji pil dipercayai pil kuda," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata, dua beranak itu dipercayai terbabit dalam kegiatan mengedar pil khayal sejak enam bulan lalu dan mendapatkan bekalan secara terus dari negara jiran.

"Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau, manakala ujian air kencing yang dijalankan juga didapati negatif," katanya.

Mazlan berkata, kedua-dua mereka ditahan reman sehingga 25 Januari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952./Bernama