SHAH ALAM: Tindakan pasangan suami isteri meninggalkan anak perempuan tunggal mereka di bawah jagaan warga asing dari India di Kota Kemuning, di sini, mengundang padah apabila kanak-kanak itu disyaki menjadi mangsa rogol lelaki terbabit.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, Selasa lalu, suspek berusia 28 tahun dikatakan mengambil kesempatan melakukan perbuatan terkutuk ke atas kanak-kanak berusia enam tahun terbabit selepas menyedari penjaga kanak-kanak itu keluar rumah untuk membeli barang keperluan harian.
Difahamkan, sebelum meninggalkannya, ibu mangsa terlebih dulu mempelawa anaknya untuk mengikutinya keluar, namun anaknya enggan kerana mahu bermain permainan komputer di rumah suspek terbabit.
Bagaimanapun, sejurus pulang sejam kemudian, mangsa berkenaan terus menceritakan dia diraba selain kemaluannya dipegang suspek.
Tergamam dengan dakwaan yang dibuat anaknya, pasangan berkenaan terus membuat aduan polis pada hari sama sebelum anaknya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk pemeriksaan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, hasil siasatan mendapati, pasangan terbabit yang tinggal di tingkat atas manakala suspek menyewa di bawah rumah ‘Town House’ di situ dan mereka dikatakan baru beberapa bulan mengenali antara satu sama lain.
Menurutnya, selepas menerima aduan daripada mangsa, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bergegas ke kediaman suspek sebelum menahannya untuk siasatan lanjut.
“Ketika ditahan, hanya warga asing itu saja berada di dalam rumah dan polis sedang menyiasat sama ada suspek tinggal berseorangan atau mempunyai rakan lain.
“Kami masih menunggu laporan perubatan daripada HTAR untuk mengesahkan sama ada benar dia dirogol atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Zehedi berkata, suspek kini direman sehingga 4 Januari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol./hmetro