KOTA TINGGI 17 Dis: Hanya kerana cintanya tidak berbalas, seorang lelaki hilang pertimbangan apabila bertindak kejam menikam gadis berusia 17 tahun bertubi-tubi dengan pisau sebanyak 19 kali sebelum menyimbah mangsa dengan asid.
Kejadian berlaku di rumah mangsa, Nur Ain Ashikin Jemedi di Kampung Baru Sungai Redan dekat sini semalam, mengakibatkan gadis malang itu parah dan kini kritikal di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Dalam kejadian pukul 9.15 pagi itu, Nur Ain Ashikin yang mengandung lima bulan turut kehilangan anak dalam kandungannya.
Difahamkan, suspek yang berusia 42 tahun itu adalah anak angkat kepada keluarga mangsa.
Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Muhammad Shamsuddin berkata, serangan itu bermotifkan cemburu setelah suspek mendapat tahu mangsa mempunyai teman lelaki.
"Kita telah berjaya menahan suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan berasal dari Kampung Air Putih, Nam Heng di sini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Muhammad berkata, semasa kejadian di bilik Nur Ain Ashikin, adik perempuannya yang berusia 13 tahun dan anak saudaranya, 2, berada di dalam rumah.
"Suspek masuk ke dalam rumah lalu menendang pintu bilik mangsa sebelum menikamnya di kiri dan kanan punggung, belakang badan, kedua-dua belah tangan dan paha.
"Tidak cukup dengan itu, suspek keluar dari bilik dan kembali semula dengan sebuah gayung berisi asid lalu menyimbah ke arah mangsa.
"Mangsa yang kepanasan melarikan diri ke bilik air," katanya.
Tambahnya, adik mangsa yang menyaksikan kejadian itu segera menghubungi kakaknya yang berada di Desa Cemerlang bagi mendapatkan ambulans untuk membawa mangsa ke HSI bagi mendapatkan rawatan.
Katanya, polis berjaya menjumpai pisau berukuran 17 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu dan botol berisi lebihan asid di rumah mangsa.
Kes tersebut, katanya, disiasat di bawah Seksyen 326 dan 307 Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan cedera parah dengan senjata dan cubaan membunuh.
Beliau berkata, suspek direman sehingga 23 Disember ini bagi membantu siasatan./utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan