Selasa, 28 Disember 2010

Dua beradik cedera diserang dengan pedang samurai

KUALA TERENGGANU: Sebuah keluarga di Kampung Jeram, Manir, dekat sini, bukan saja terganggu kerana terjaga daripada tidur ketika dikunjungi lima lelaki kira-kira jam 2 pagi, malah dikejutkan dengan tragedi apabila dua ahli keluarga mereka cedera.

Betapa tidak, ‘kunjungan berdarah’ berkenaan nyaris meragut nyawa dua beradik apabila kumpulan berkenaan membawa bersama dua pedang samurai sebelum mengamuk.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, kejadian bermula apabila kumpulan lelaki berkenaan mengetuk pintu sebelum penghuni rumah keluar.

Menurutnya, kedua-dua pihak berkenaan mulanya bersembang secara baik sebelum menjadi semakin tegang dan berlaku pertengkaran.

“Ketika bersembang dan memberitahu niat mereka mencari seorang ahli keluarga itu dan diberitahu bahawa yang dicari tiada menyebabkan kumpulan terbabit berang lalu meluru masuk ke rumah sambil membawa pedang.

“Waktu itulah mereka melibas pedang beberapa kali mengakibatkan dua beradik berusia 25 dan 30-an cedera,” katanya.

Menurutnya, setakat ini polis percaya kejadian akibat dendam kumpulan lelaki berkenaan dengan seorang abang mangsa dan ia disyaki berkaitan kerja sebagai penarik kereta.

Harian Metro difahamkan, serangan dilakukan membabi-buta menyebabkan hayunan pedang terkena bahagian kaki dan tangan dua mangsa sebelum kumpulan lelaki itu melarikan diri.

Difahamkan, tiga lagi rakan suspek menunggu di luar.

Beberapa ahli keluarga tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian terlalu pantas dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan.

Laporan polis dibuat isteri seorang daripada mangsa dan polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengesan semua suspek.

Tinjauan Harian Metro ke lokasi kejadian mendapati beberapa tompokan darah masih berada di pekarangan tangga rumah mangsa, namun usaha mendapatkan maklumat mengenai kejadian daripada ahli keluarga gagal dan mereka menyifatkan kejadian itu sebagai pergaduhan kecil./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan