JOHOR BAHRU: Akibat pulut santan binasa, akibat mulut badan binasa. Begitu yang terjadi kepada sepasang suami isteri selepas melakukan provokasi terhadap lelaki dua beranak yang kemudian berang dan menumbuk mereka hingga patah gigi dan berlumuran darah.
Tan Khoon Hor, 35, dan isteri, Lim Chung Keok, 34, menerima padah itu selepas Tan bertengkar serta menolak seorang lelaki mendakwa anggota polis yang kemudian menumbuk muka dan kepalanya sambil dibantu seorang lagi lelaki dipercayai bapa kepada suspek terbabit.
Lim berkata, kejadian berpunca daripada tindakan suaminya meletak kereta hingga menghalang kereta milik lelaki terbabit ketika menghantar tiga anak mereka ke tandas di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah, Perak di Lebuhraya Utara Selatan, kira-kira jam 9 malam, Ahad lalu.
Menurutnya, keluarganya baru pertama kali bercuti ke Cameron Highlands dan berhenti di R&R itu untuk menghantar tiga anak lelaki mereka ke tandas.
Katanya, memandangkan tiada parkir kosong ketika itu, suaminya terpaksa menghentikan kenderaan di tepi jalan yang kebetulan menghalang kenderaan dinaiki seorang lelaki bersama beberapa ahli keluarganya.
“Suami saya membawa anak kami ke tandas manakala saya menunggu dalam kereta sebelum lelaki itu datang dan meminta mengalihkan kenderaan. Saya meminta dia menunggu sekejap, tetapi tidak dihiraukan dan dibalas dengan maki-hamun.
“Suami kemudian bertikam lidah dengan lelaki berkenaan menyebabkan dia menolak lelaki itu ke tepi.
“Berikutan itu, suami saya ditumbuk berkali-kali oleh lelaki itu dan bapanya hingga patah dua batang gigi dan berlumuran darah pada muka,” katanya ketika ditemui di Kelab Media Cina Johor Selatan, Jalan Cermat, semalam.
Menurutnya, melihatkan suaminya diserang oleh anak beranak berkenaan, dia terpaksa turun dari kereta dan cuba meleraikan pergaduhan itu, tetapi turut menerima tumbukan pada muka hingga rebah di atas jalan.
“Saya patah tujuh batang gigi sebelum suami segera mengangkat saya ke dalam kereta menuju ke Balai Polis Tapah untuk membuat laporan. “Sebelum pintu kereta ditutup, lelaki terbabit sempat menunjukkan kad kuasa mendakwa sebagai anggota polis kepada suami, namun kami terus beredar dari lokasi kerana tidak mahu keadaan bertambah teruk,” katanya.
Katanya, mereka sekeluarga trauma dengan kejadian itu dan berharap polis mengambil tindakan berhubung dakwaan bahawa anggota polis terbabit dalam kejadian itu.
“Gusi dan bibir saya terpaksa menerima jahitan kerana pecah akibat ditumbuk individu terbabit. Kami sekeluarga kini begitu trauma dengan kejadian itu.
“Sejak kejadian itu, saya mengalami kesukaran untuk makan dan malu berdepan khalayak ramai dengan keadaan muka yang bengkak akibat dipukul selain ketiadaan gigi,” katanya./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan