BATU PAHAT: Bapa mangsa pembunuhan kejam, Siti Mazni, 14, yang ditemui di kebun kelapa sawit di Kampung Parit Ju Darat, Tongkang Pechah, di sini, Jumaat lalu, meminta kerajaan meminda hukuman pesalah juvana bagi mengelak kejadian sama berulang.
Abdul Rahman Hassan, 40, berkata remaja berusia bawah 18 tahun ketika ini dilindungi Akta Kanak-Kanak menyebabkan pesalah juvana dikecualikan daripada hukuman berat seperti gantung sampai mati.
“Bagaimanapun, jika pesalah juvana terus dikecualikan hukuman berat terutama apabila melakukan kesalahan serius seperti membunuh dan merogol, tidak wajar pengecualian itu diberikan kepada mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Mengulas pembunuhan itu, Abdul Rahman berkata, dia reda dengan pemergian anaknya, tetapi masih sukar menerima cara kematian Siti.
“Saya minta pelakunya dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan supaya kejadian sama tidak berulang.
“Sebelum ini, hanya mereka berusia di atas 18 tahun dikenakan hukuman berat menyebabkan ada remaja jadi tidak bertanggungjawab kerana sedar hukuman tidak setimpal.
“Ketika ini, remaja bawah 18 tahun jika masuk ke rumah dan bunuh orang, semuanya berfikir akan dihantar ke sekolah pemulihan akhlak, tetapi jika mereka dijatuhkan hukuman berat, mereka akan takut melakukan jenayah,” katanya.
Abdul Rahman yang terlalu sedih menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Memang benar remaja belum matang membuat keputusan, tetapi kesalahan serius seperti merogol dan membunuh, takkan tidak boleh berfikir kerana bukan mudah melakukannya,” katanya./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan