Selasa, 21 Disember 2010

Dua ditahan, syabu dirampas

LABUAN, 19 Dis: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Labuan berjaya merampas dadah jenis syabu bernilai RM12,000 dalam satu serbuan di tempat letak kereta Terminal Feri Antarabangsa Labuan di sini, kelmarin.

Pegawai Pemerintah PGM Labuan, Asisten Supritendan Abdul Rahni Abdul Ladis berkata, polis turut menahan dua lelaki tempatan dalam serbuan tersebut.

"Serbuan ke atas suspek dibuat atas maklumat awam dan risikan pihak kami.

"Hasil pemeriksaan ke atas suspek polis menemui satu bungkusan plastik lut sinar dipercayai mengandungi dadah jenis syabu seberat 52.8 gram yang disimpan di dalam sebuah beg sandang milik salah seorang suspek," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, kedua-dua suspek berumur 33 dan 34 tahun diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi dan pemantauan bagi membanteras penyalahgunaan dadah di daerah ini./utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan