JOHOR BAHRU: Akibat sikap kurang sabar ketika memandu sehingga mendatangkan kecederaan ke atas pemandu lain, seorang pelajar berusia 21 tahun diperintah membayar denda RM500 dan diminta membayar pampasan sejumlah RM3,000 kepada mangsa.
Wong Bi Sheng berusia 17 tahun ketika melakukan kesalahan pada 22 Mac 2008, kira-kira jam 8.45 malam di hadapan Kedai Telefon Bimbit, Blue Digital, No 17A-3, Kampung Malayu, Bukit Batu, Kulai.
Menurut fakta kes, tertuduh dan pengadu, Wahyudi Sunar, 26, terlibat dalam satu pertelingkahan disebabkan perasaan tidak puas hati ketika memandu di jalan raya.
Dipercayai, kereta tertuduh telah memintas kereta Wahyudi dan kemudian pengadu telah membunyikan hon.
Kejadian itu menimbulkan kemarahan dan tertuduh tidak dapat menerima keadaan tersebut membuatkan dia meminta pengadu memberhentikan kereta.
Setelah itu, mereka bergaduh di hadapan kedai berkenaan di mana dalam kejadian itu, tertuduh telah menumbuk mangsa dan cuba menakutkannya dengan sebilah pisau.
Tertuduh bertindak melarikan diri dan telah dipujuk oleh emaknya untuk menyerah diri dan kesalahan dibicarakan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Dia dibicarakan untuk pertama kali setahun selepas kejadian dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan dibacakan Pendakwa raya, Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly di hadapan Hakim, Habibah Mohd Yusof.
Bi Sheng yang masih lagi menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) tidak diwakili peguam turut diberi amaran keras oleh mahkamah supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan