KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia awal 20-an bukan saja diragut, malah ditendang ketika bergelut dengan seorang lelaki bermotosikal yang meragutnya di depan sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa yang kerugian wang kira-kira RM500 cedera pada tangan dan lutut apabila dia diseret hampir lima meter.
Menurut sumber, ketika kejadian mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli-belah dihampiri seorang lelaki bermotosikal yang menarik beg tangannya. “Mangsa cuba menarik semula begnya menyebabkan berlaku pergelutan. Mangsa yang gagal merampas semula beg tangannya itu menjerit meminta pertolongan orang ramai,” katanya.
Sumber berkata, tersentak dengan itu suspek memecut motosikalnya menyebabkan mangsa terseret hingga terpaksa melepaskan genggaman pada beg tangannya.
Sumber berkata, wanita terbabit pergi ke sebuah hospital di kawasan berhampiran untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan