BATU PAHAT: Polis berjaya mematahkan niat jahat seorang lelaki yang cuba memecah masuk sebuah rumah di Jalan B/H 5, Banang Height, Batu Pahat di sini, pada 30 November, lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris berkata, polis telah menerima maklumat daripada orang ramai lalu telah bertindak pergi ke tempat kejadian pada 3.45 pagi ketika suspek berada di hadapan rumah berkenaan.
Menurutnya, hasil siasatan ke atas suspek yang berumur 35 tahun mendapati suspek turut memiliki 11 rekod kesalahan lampau terlibat dalam enam kes pecah rumah sekitar daerah ini.
“Ketika tangkapan dilakukan, polis berjaya merampas telefon bimbit jenis Nokia N95; kamera digital jenama Panasonic dan jam tangan jenama Santiago Polo,” katanya pada sidang media, baru-baru ini.
Beliau berkata, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah akan dikenakan hukuman 14 tahun penjara dan boleh dikenakan sebatan terhadap suspek yang melakukan jenayah ini.
Sementara itu, satu lagi tangkapan telah dilakukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat berkaitan kes pecah rumah yang telah dilakukan dua suspek.
Ibrahim berkata, kedua-dua suspek yang berumur 17 tahun telah ditangkap pada 6 Disember 2010 jam 12.30 pagi di Taman Putera Indah, Tongkah Pecah dipercayai telah melakukan jenayah pecah rumah.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mereka ini telah terlibat dengan 10 kes jenayah pecah rumah di sekitar Taman Putera Indah, Tongkang Pecah.
“Hasil siasatan juga mendapati kedua-dua suspek ini turut terlibat dalam kes mencuri motosikal dan semasa tangkapan dilakukan polis juga turut merampas DVD jenama Samsung, televisyen 10 inci dan rangka motosikal.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman 14 tahun penjara, kes juga disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan boleh dijatuhkan hukuman tidak lebih tujuh tahun jika sabit kesalahan,” katanya.
Ibrahim berkata, polis berharap agar orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah supaya tampil memberi kerjasama dengan menghubungi polis yang berada di kawasannya agar jenayah dapat dikurangkan.
“Usaha ini tidak akan berjaya jika bergantung pada polis sahaja, oleh itu masyarakat di luar sana perlu memberi kerjasama yang baik agar kadar jenayah di daerah ini dapat diatasi,” katanya./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan