Ahad, 19 Disember 2010

Buruh bunuh anak

SHAH ALAM, 17 Dis: Seorang buruh mendakwa dirinya, seorang bapa yang bertanggungjawab.Bagaimanapun, dia tidak membawa anak kelimanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan apabila kanak- kanak itu diserang sawan sebaliknya pergi ke ruang tamu untuk menghisap rokok.

Penemuan fakta tersebut merupakan antara alasan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki ketika mensabitkan M. Murthy, 32, dengan tuduhan membunuh anaknya, Ruthren.

Dia didakwa membunuh kanak-kanak berusia dua tahun sembilan bulan itu pada pukul 4.15 petang, 20 Januari 2007 di rumah Lot 1848, Jalan Kapar, Sungai Pinang, Klang dekat sini.

Tertuduh kemudian dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam bela K. Viknesvaran.

Sepanjang perbicaraan, 20 saksi pendakwaan termasuk isteri tertuduh, K. Selvi dipanggil memberikan keterangan. Tertuduh membela dirinya tanpa mengemukakan saksi lain.

Mengikut fakta kes, mayat mangsa dibalut dengan kain sebelum disumbat ke dalam sebuah beg lalu dihanyutkan ke sebatang sungai.

Beg berisi mayat tersebut ditemui oleh sekumpulan nelayan di perairan Selat Melaka berhampiran Pulau Sembilan, Teluk Intan, Perak dalam keadaan reput serta tidak mempunyai otak.

Hasil bedah siasat, doktor mendapati mangsa mengalami patah tulang termasuk tulang hidung serta lebam di beberapa bahagian badan.

Sewaktu memberi keterangan, Selvi menyatakan suaminya itu memukul, menendang dan memijak kepala mangsa di dalam longkang bilik air rumah mereka./utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan