GEORGETOWN: Helah seorang lelaki berstatus suami orang menjalin hubungan sulit dengan kekasih gelapnya terbongkar selepas dicekup dalam operasi cegah maksiat di Jalan Penang, di sini, kelmarin.
Operasi itu dilakukan empat pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bersama dua anggota polis dari Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Timur Laut (IPDTL), kira-kira jam 12.05 tengah malam.
Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan, berkata ketika operasi, pihaknya mengetuk pintu bilik hotel lelaki terbabit beberapa kali sebelum seorang lelaki yang memakai seluar santai tanpa baju membuka pintu.
Menurutnya, selepas memperkenalkan diri pegawai penguat kuasa agama dan meminta kebenaran melakukan pemeriksaan, lelaki berusia 41 tahun itu memaklumkan dia menginap seorang diri.
Bagaimanapun, katanya, penemuan sepasang kasut wanita dalam bilik itu menyebabkan lelaki terbabit tersentak sebelum mengaku kasut berkenaan milik rakan wanitanya.
“Hasil siasatan lanjut, kami menemui pasangan wanitanya berusia 23 tahun yang berpakaian singlet bertali halus dan berseluar jeans dalam bilik air.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai hubungan muhrim dan suspek lelaki mengaku sudah berkahwin dan datang dari Kuala Lumpur untuk bertemu teman wanitanya di sini,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Sentral untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat JHEAIPP untuk tindakan lanjut./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan