Jumaat, 10 Disember 2010

Bekas jurugambar akhbar tempatan dipenjara

KUALA LUMPUR: Seorang bekas jurugambar sebuah akhbar tempatan dihukum penjara sembilan bulan dan denda RM6,000 selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan mencabul tiga remaja di sini, Jun lalu.

Majistret Nor Azah Kasran menjatuhi hukuman penjara selama tiga bulan dan denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Chen Yu, 53, dan memerintahkan tertuduh menjalani ketiga-tiga hukuman secara berasingan mulai hari ini.

Mengikut pertuduhan, Chen, yang kini bekerja sebagai pengendali laman web didakwa mencabul ketiga-tiga remaja lelaki berusia antara 14 tahun dan 15 tahun.

Kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di ruang tamu di sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di Taman United, Off Jalan Klang Lama, Brickfields di sini, antara 12 tengah malam sehingga 3 pagi, pada Jun lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad memohon hukuman berat terhadap tertuduh.

"Perbuatan tertuduh memberi kesan trauma kepada remaja terbabit sehingga mereka dewasa dan kepercayaan masyarakat terhadap rumah amal itu akan terjejas, sekiranya tertuduh tidak dikenakan hukuman yang berat dengan kesalahan yang dilakukan," katanya.

Chen, yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon supaya hukuman yang ringan dikenakan terhadapnya kerana dia mengalami masalah sakit jiwa dan berjumpa dengan pakar di Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan bagi penyakit yang dihidapinya.

Mengikut fakta kes, pengadu yang juga merupakan seorang editor di sebuah akhbar tempatan menerima panggilan telefon daripada bekas pekerjanya iaitu tertuduh, yang mahu memberi maklumat mengenai skandal yang berlaku di rumah perlindungan kanak-kanak itu.

Ketika pertemuan itu dibuat, tertuduh membuat pengakuan bahawa dia melakukan penderaan seksual terhadap ketiga-tiga mangsa dan selepas mendengar pengakuan itu, pengadu membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur yang akhirnya membawa kepada penangkapannya.

Rakan kepada tertuduh membayar denda itu./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan