Rabu, 22 Disember 2010

Penjual bunga digantung kerana membunuh

SHAH ALAM: Seorang penjual bunga Melor dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang penghantar surat dengan menikamnya di bahagian leher, rusuk kanan dan perut menggunakan sebilah pisau, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap M.Nagarajan melampaui keraguan yang munasabah.

Nagarajan, 39, dituduh membunuh B.Elanko, 31, di No: 147, Rumah Setinggan Pandan Jaya, Ampang Jaya dekat sini, kira-kira pukul 8.30 malam pada 30 Disember 2007, mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohd Yazid berkata, mahkamah menerima keterangan sepupu mangsa, G.Mogan dan isteri Mogan, T.Nancy yang berada di tempat kejadian serta melihat kejadian tersebut.

Beliau berkata, tertuduh dalam pembelaannya tidak menafikan bahawa sebelum datang ke tempat kejadian, dia (tertuduh) telah berjumpa mangsa dan Mogan di kedai serta berlaku pergaduhan antara tertuduh dan mangsa./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan