Sabtu, 11 Disember 2010

Nyaris maut diancam penyamun

PENDANG: Sepasang suami isteri di Kampung Baru Paya Mengkuang masih trauma dengan kejadian samun yang berlaku di rumahnya seminggu lalu apabila mereka berdua hampir maut diancam penjenayah ketika sedang nyenyak tidur di bahagian ruang tamu rumah mereka.

Sinar Harian difahamkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 2 pagi apabila suami isteri berkenaan bersama seorang anak mereka tidur di dalam satu kelambu di ruang tamu rumah tiba-tiba menyedari diacu dengan golok dan pedang di bahagian leher oleh dua perompak yang memakai topeng.

Mangsa, Hazizah Nayan, 49, berkata, dia terjaga dari tidur apabila mendapati seluruh badannya basah serta seluruh badan mula terasa sakit terutamanya di bahagian leher, kepala dan kaki.

“Saya menyangka badan saya basah adalah disebabkan peluh, namun terkejut apabila tiba-tiba saya membuka mata mendapati sebilah golok berada di bahagian dada saya dan mendengar suara lelaki yang meminta saya mendiamkan diri dan tidak menjerit.

“Penjenayah itu mengarahkan saya mendiamkan diri dan memaksa saya memberitahu tempat duit disimpan sambil golok itu berada di bahagian dada saya manakala bahagian kepala, bahu dan leher telah dikelar ketika saya sedang tidur serta bahagian kaki lutut juga telah ditetak,” katanya.

Hazizah berkata, dia diancam teruk oleh penjenayah berkenaan apabila dia ingkar memberikan seutas rantai leher bernilai hampir RM6,000 yang dipakainya ketika itu menyebabkan bahagian leher, bahu dan kepala semakin teruk dikelar perompak terbabit.

“Ketika saya diancam, suami sedang tidur di dalam kelambu yang sama cuma jarak suami dengan saya agak jauh menyebabkan dia (suami) tidak menyedari kejadian itu dan ketika diancam saya bangun sambil mengesotkan kedudukan sedikit demi sedikit menuju ke arah suami sambil tangan saya memegang bahagian leher.

“Saya hanya memberitahu bahawa duit berada di bahagian almari kedai dan kemungkinan mereka telah mengambil duit itu pada mulanya dan jumlah wang itu tidak diperoleh dengan banyak menyebabkan mereka mengancam saya menyerahkan seutas rantai itu,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Abu Kasim Puteh, 49, berkata, menyedari kejadian itu apabila ingin berpusing kedudukan tidur ke arah isteri tiba-tiba melihat ada orang sedang mengancam isterinya apabila melihat kelibat tangan isteri berada di bahagian leher.

Menurutnya, ketika dia ingin bangun ke arah suami tiba-tiba terasa sejuk di bahagian lehernya dan mendapati dia juga turut diancam dengan pedang panjang menyebabkan dia tidak mampu berbuat apa-apa bagi membantu isterinya yang teruk diancam penjenayah.

“Penjenayah turut mengarahkan saya mendiamkan diri dan memberitahu tempat duit disimpan dan saya turut memberitahu perkara yang sama serta hanya mampu mendiamkan diri melihat isteri saya diancam mereka.

“Pada waktu itu saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana sudah menyangka kami akan mati dan juga bimbang mengenai lima anak yang ketika itu sedang tidur di dalam bilik,” katanya.

Abu Kasim berkata, setelah melihat isterinya tiba-tiba terkulai jatuh yang disangka telah mati di bunuh menyebabkan dia marah dan segera bertindak menendang penjenayah itu sehingga terpelanting di bahagian dinding.

“Saya menendang seorang penjenayah itu sehingga lemah menyebabkan seorang lagi berlari keluar sambil memimpin rakannya itu ke arah kebun kelapa sawit.

“Saya tidak mengejar mereka kerana melihat keadaan isteri saya yang tidak sedarkan diri dengan segera memanggil ambulans dan pihak polis, namun bersyukur kerana isteri saya selamat walaupun kehilangan wang lebih RM1,000 dan beberapa telefon bimbit,” katanya.

Selain itu menurutnya, dua penjenayah itu memakai topeng dan tidak memakai kasut kerana kesan tapak kaki masih ada di sekitar kawasan rumah mereka.

“Mereka masuk melalui bahagian tingkap dapur apabila satu batang besi tingkap itu dipotong dan mereka membuka pintu lebih awal untuk memudah melarikan diri.

“Ketika penjenayah itu berada di dalam kelambu mereka menarik topeng itu namun wajah mereka kurang jelas memandangkan keadaan waktu itu hanya bergantung kepada cahaya lampu dari luar rumah,” katanya.

Menurutnya, kemungkinan perompak itu menyangka rumahnya terdapat banyak duit memandangkan keesokan paginya dia akan membeli getah skrap di situ.

“Saya telah menulis tarikh di tempat membeli getah itu bahawa pada pagi itu saya akan membeli getah skrap menyebabkan mereka menyangka semua duit itu berada di rumah saya.

“Saya bersyukur kerana semua anak-anak saya selamat walaupun seorang anak perempuan saya berumur 11 tahun bertindak mengetuk dan membaling botol bedak ke arah dua penjenayah itu,” katanya.

Dalam pada itu, Sinar Harian difahamkan rumah mangsa juga adalah kedai runcit dan kedai membeli getah skrap yang beroperasi sekian lama di kampung berkenaan./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan