KOTA TINGGI: Sekumpulan enam penjenayah menjadikan babak rompakan filem Hollywood sebagai ilham apabila menggunakan taktik memecah jeriji pintu dan kunci bangunan menggunakan kabel bercangkuk ditarik menggunakan sebuah van ketika memecah masuk pelbagai premis perniagaan.
Bagaimanapun, suspek yang baru berjinak-jinak dengan jenayah berusia antara 17 hingga 21 tahun itu menyangkakan mereka cukup handal apabila melarikan wang tunai RM550 dan pelbagai barangan termasuk 30 pemetik api dari sebuah kedai runcit.
Difahamkan, remaja berasal dari Bandar Baru Permas Jaya, Kempas, Seri Alam itu bergiat aktif pada awal pagi dengan menyasarkan premis perniagaan sekitar bandar ini.
Antara premis dipecah mereka termasuk sebuah kedai runcit di Jalan Niaga 5 di sini, sebelum pemiliknya yang tinggal di Taman Kota Jaya dimaklumkan kejadian itu jam 5 pagi, 23 Disember lalu.
Tidak berpuas hati dengan hasil yang terlalu sedikit, kumpulan penjenayah itu memecah masuk sebuah lagi kedai di Taman Kota Besar di sini.
Bagaimanapun, kegiatan kumpulan itu menggunakan van putih itu dilihat orang ramai ketika mereka memecah masuk kedai tayar berkenaan sebelum menghubungi polis.
Dua hari kemudian, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi yang dalam perjalanan pulang dari Kulaijaya selepas menahan seorang suspek kes ragut terserempak dengan van kumpulan penjenayah itu yang disenaraikan sebagai dikehendaki polis.
Sebaik penjenayah menyedari kehadiran polis, van Mitsubishi putih itu memecut hingga ke Kulaijaya sebelum hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebuah rumah di tepi jalan.
Sebaik van itu terperosok di tepi rumah itu, kumpulan remaja itu bertempiaran lari secara berasingan sebelum dua daripada mereka dicekup selepas pergelutan singkat dengan anggota polis.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Osman Muhammad Sebot mengesahkan dua suspek berusia 17 dan 21 tahun itu ditahan dan polis merampas sebuah van yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Katanya, pihaknya turut menemui sebahagian barangan dipercayai dicuri termasuk beberapa kad mesin juruwang automatik (ATM) serta kabel yang disambung kepada dua set pencangkuk.
Katanya, polis masih menyiasat pemilik kenderaan yang dipercayai sudah diubah suai nombor casis itu.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut mendapati kedua-dua lelaki itu bersama empat lagi yang masih bebas turut terbabit dalam satu kes kecurian kenderaan yang dilaporkan di Seri Alam, Pasir Gudang, sebelum ini.
“Kami sudah mengetahui identiti empat lelaki yang masih bebas itu dan meminta mereka menyerah diri bagi membantu siasatan,” katanya./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan