Isnin, 13 Disember 2010

Mayat bayi dalam tong sampah tepi jalan

KUALA LUMPUR, 12 Dis: Entah di mana hilangnya nilai kemanusiaan apabila ada yang sanggup menyamakan sampah dengan bayi.

Itulah hakikatnya berlaku apabila seorang tukang sapu menemui mayat bayi perempuan di dalam satu plastik hitam dibuang dalam tong sampah di tepi jalan di Kilometer 2, Jalan Klang Lama, di sini hari ini.

Mayat bayi malang itu dipercayai baru dilahirkan kerana masih dalam keadaan bertali pusat.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, mayat bayi itu ditemui oleh seorang tukang sapu ketika membersihkan kawasan berkenaan pada pukul 10.55 pagi.

"Semasa mahu mengangkat sampah daripada tong sampah di situ, pekerja terbabit telah melihat satu plastik hitam yang mencurigakan.

"Dia kemudian memeriksa plastik tersebut dan terkejut apabila menemui mayat bayi perempuan di dalamnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Wan Abdul Bari, polis yang menerima panggilan daripada pekerja terbabit mengenai kejadian itu segera pergi ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

Hasil pemeriksaan, kata beliau, pihaknya menemui bayi itu yang mempunyai kesan darah dan bertali pusat.

"Bayi cukup sifat ini hanya dibalut dengan plastik hitam namun tiada kesan kecederaan lain ditemui pada tubuhnya.

"Mayat mangsa sudah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat dan usaha mengesan individu bertanggungjawab membuang bayi terbabit kini giat dijalankan," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang melihat mana-mana individu mencurigakan membuang sampah di tempat kejadian atau mempunyai maklumat waris bayi itu supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan./utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan