SEGAMAT: Luluh hati seorang isteri yang menanti kepulangan suami apabila dimaklumkan suaminya itu mati dibunuh, pagi kelmarin.
Isteri mangsa, Zerina Ngkal, 44, berkata, sebelum ini suaminya, Samad Atan, 56, yang bertugas di pusat peliharaan burung walet di Jalan Kolam Air, di sini, tidak pernah lewat pulang ke rumah.
“Pada hari kejadian saya risau kerana suami belum pulang sebelum seorang kenalan yang berniaga berhampiran tempat suami saya bertugas datang ke rumah.
“Saya hampir pitam apabila dia memaklumkan suami sudah mati,” katanya yang berkahwin dengan mangsa sejak 20 tahun lalu.
Menurutnya, arwah suaminya juga rajin kerana sanggup bekerja sebagai pengawal keselamatan pada sebelah malam walaupun pada sebelah pagi sudah bekerja di pusat peliharaan burung walet.
“Walaupun anak sulung saya yang berusia 25 tahun memintanya berhenti kerja, arwah enggan.
“Pada hari kejadian, arwah bertugas mulai jam 6 petang hingga 6 pagi.
“Dia ada mengatakan tidak selesa tidur di pusat itu dan mahu tidur di dalam kereta saja, tetapi tidak memaklumkannya secara mendalam,” katanya.
Beliau berkata, suaminya bekerja di pusat itu sejak sembilan tahun lalu.
“Saya reda dengan kejadian itu,” katanya yang mempunyai tiga anak berusia 10 hingga 25 tahun.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abd Majid Mohd Ali berkata, mangsa yang parah ditemui mati di tepi tangga bangunan pusat berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai diserang dari depan.
“Terdapat beberapa kesan tetakan senjata tajam pada tangan kiri serta dada mangsa.
“Polis masih menyiasat untuk mengesan suspek dan kes diklasifikasikan sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9312222 atau balai polis berhampiran./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan