KUALA LUMPUR: Tindakan seorang pengawal keselamatan menahan seorang pencuri licik di sebuah pasar raya di ibu kota berakhir tragedi apabila lehernya dirodok dengan gunting hingga memancut darah.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam kelmarin, suspek yang mencuri tiga kuali masakan di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang, di sini, menikam pengawal keselamatan terbabit lebih lima kali di lehernya dan beberapa anggota badan. Menurut sumber polis, suspek seorang lelaki berusia lewat 20-an ditahan pengawal keselamatan warga Nepal itu kerana mencurigakan.
“Suspek dibawa ke sebuah bilik untuk pemeriksaan dan pengawal terbabit ditugaskan menjaganya sebelum pegawai atasan tiba untuk melakukan pemeriksaan.
“Suspek mengeluarkan gunting dan menyerang mangsa. Mereka bergelut beberapa minit dan suspek menikam mangsa beberapa kali hingga cedera di leher, belakang kepala dan tangan,” katanya.
Sumber berkata, pengawal keselamatan terbabit diselamatkan rakan sekerjanya yang berada di luar bilik berkenaan dan suspek ditangkap sebelum dikawal lebih rapi sehingga polis tiba.
“Mangsa dihantar ke klinik berdekatan sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) “Pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemui tiga kuali yang dipercayai dicuri dengan menyembunyikannya dalam sebuah beg,” katanya.
Menurutnya, rakan setugas mangsa membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi berhubung serangan itu dan suspek diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, suspek bekerja sebagai penghantar surat dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk mencuri serta dadah./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan