Rabu, 22 Disember 2010

Pengecat kereta ke tali gantung

SHAH ALAM: Seorang tukang cat kereta dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas dia didapati bersalah mengedar kanabis seberat 9,144 gram di hadapan sebuah restoran, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati tertuduh, Tuay Boon Wee, 40, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau berpendapat, tiada kelompangan dalam kes pendakwaan walaupun pihak pembelaan membangkitkan persoalan mengenai kegagalan pendakwaan untuk memanggil seorang saksi penting memberi keterangan.

Dalam pembelaannya sebelum ini, tertuduh mendakwa saksi itu, Tan Say Yong mengupahnya untuk menghantar dadah tersebut dengan bayaran upah RM200.

Tuay didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Restoran Xin Mei, Tingkat bawah, Vista shop lot, Damansara Damai dekat sini, kira-kira pukul 9 malam, 8 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39 B (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar sementara tertuduh diwakili peguam V.Ayasamy dan K.Renuka./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan