KUALA LUMPUR: Seorang suami bimbang keselamatan isteri dan anak tunggalnya yang menghilangkan diri sejak empat bulan lalu sehingga kini masih belum ditemui meskipun pelbagai usaha dilakukan untuk menjejakinya.
Ameruddin Abdul Kahar, 38, berkata isterinya, Nor Afidah Ahmad, 36, berasal dari Kodiang, Kedah, dipercayai menghilangkan diri selepas mengambil anaknya, Aisyah Nur Ain, 8, dari sekolah, 18 September lalu.
“Saya sedar kehilangannya selepas pulang ke rumah petang itu dan melihat mereka tiada di rumah dengan membawa pergi semua dokumen penting serta pakaian.
“Saya hairan tindakannya itu kerana setahu saya perkahwinan kami langsung tiada masalah sebab kami selalu akan berbincang sekiranya kami tidak berpuas hati mengenai sesuatu perkara,” katanya yang memberitahu isterinya sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) memberitahu kunci rumah ada di bawah pasu bunga depan rumah.
Risau keselamatan isteri dan anak tersayang, dia membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Puchong.
Dia mengesyaki kehilangan ‘misteri’ isteri dan anaknya itu mempunyai kaitan dengan keluarga mentuanya sejak beberapa bulan lalu cuba memisahkan mereka.
“Saya syak begitu kerana isteri saya sangat baik dan akan memberitahu saya terlebih dulu sebelum berbuat apa-apa serta jauh sekali keluar rumah tanpa minta izin jika tiada ‘kuasa’ yang mengawal dirinya.
“Saya berani cakap macam itu sebab pada 2005, dia pernah hilang tetapi dijumpai semula dan hanya mengenali saya selepas saya bersalam dan mengucup dahinya. Jika saya tak berbuat demikian, sampai bila pun dia tak akan kenal saya,” katanya yang menjumpai isterinya di kampung halamannya tahun itu.
Dia mendakwa, isterinya seperti ditundukkan kuasa kawalan minda yang kuat sehingga membuatkannya melupai dirinya.
“Keluarga mentua mula tidak menyukai saya selepas mengetahui pendapatan keluarga kami berkurangan selepas saya bertukar kerja.
Justeru, dia berharap agar isterinya pulang bersama anak kerana begitu merindui mereka.
Menurutnya, isteri dan keluarga mentua gagal dihubungi menyebabkan dirinya sukar menjejaki mereka./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan