KOTA BHARU, 15 Dis: Akibat terdesak untuk melangsaikan hutang, seorang ibu kepada sembilan anak berusia antara tujuh hingga 29 tahun bertindak nekad merompak seorang wanita berusia 40-an.
Perbuatan tersebut dilakukan oleh Che Rosnani Mohd. Rawi, 47, dengan bantuan anak perempuan sulungnya, Shazrina Shariz Kamaruzaman, 29, di sebuah rumah sewa sehingga mangsa kerugian RM20,000.
Dalam kejadian di antara pukul 3 dan 3.30 petang pada 1 Disember lalu di Kubang Kerian itu, mereka mengikat tangan dan menyumbat mulut mangsa dengan kain.
Wanita terbabit yang bekerja sebagai jurujual barangan sebuah syarikat dan berasal dari Melor, mendakwa melakukannya kerana terdesak dan tertekan untuk melangsaikan hutang barangan yang diambil oleh para pelanggan tanpa membuat bayaran.
Kedua-duanya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini dan masing-masing dihukum penjara lima dan enam tahun setelah mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Hukuman dijatuhkan oleh Hakim Dazuki Ali.
Mereka didakwa merompak barang kemas, wang tunai dan sebuah telefon bimbit mangsa yang kesemuanya berjumlah RM20,000./utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan