Ahad, 30 Disember 2012

Kanak-kanak 3 tahun maut ditetak ibu saudara

Kanak-kanak 3 tahun maut ditetak ibu saudara
Di rumah inilah mangsa ditetak oleh ibu saudaranya.
BALING: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut dan ibunya cedera selepas ditetak dengan parang oleh ibu saudaranya kira-kira jam 11.30 pagi di rumah neneknya di Kampung Kejai Mukim Tawar di sini.

Mangsa Mohd Muaz Mohd Izwani, 3, maut dalam perjalanan ke hospital setelah mengalami kecederaan teruk bahagian kepala, tangan dan leher.

Ibu saudara mangsa berusia 36 tahun itu dikatakan mempunyai masalah mental sejak 20 tahun lalu.

Ketika kejadian, mangsa anak sulung dari dua beradik sedang bermain di beranda rumah neneknya sebelum ditetak oleh ibu saudara itu.

Ibu mangsa yang cuba meleraikan keadaan turut ditetak mengakibatkannya cedera di bahagian leher dan tangan./sinarharian

Sabtu, 29 Disember 2012

Pelajar tingkatan empat ditemui mati tergantung

Pelajar tingkatan empat ditemui mati tergantung
Mayat mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.
GUA MUSANG - “Saya dakap seerat-eratnya sebaik melihat dia (arwah) tergantung, dengan harapan dia masih selamat, tetapi meninggal dunia beberapa minit selepas itu.” kata Che Mat Daud, 65, bapa kepada pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chiku 2, yang mati tergantung, petang kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang di rumahnya di Tanah Rancangan Felda Chiku 2, ketika pelajar tersebut berada dalam bilik tidur seorang diri.

Che Mat berkata, dia menyedari kejadian berkenaan ketika terdengar jeritan kuat daripada abang mangsa, Mohamad, 22, yang terkejut melihat adiknya tergantung dalam bilik tidur.

Katanya, ketika itu dia baru pulang dari bekerja sebagai tukang rumah dan mangsa bersama abangnya sahaja yang berada di rumah.

“Saya pulang dari kerja, terus menunaikan solat Asar dan keluar semula dari rumah untuk membersihkan kereta sambil memeriksa bateri kerana ingin ke luar lagi.

“Ketika sedang melakukan kerja, saya terdengar suara kuat abang mangsa yang menjerit, lalu saya bergegas naik ke rumah menuju ke bilik,” katanya.

Menurut Che Mat yang juga peneroka Felda, hanya beberapa minit selepas dia memotong tali yang menjerut leher anaknya, terus meninggal dunia dan gagal diselamatkan.

“Setahu saya, dia (arwah) tidak bercinta dengan mana-mana budak perempuan hingga sanggup bertindak demikian, tetapi yang saya tahu dia berkeadaan muram selepas kemalangan jalan raya sejak lima bulan lalu,” katanya.

Che Ma berkata, arwah pernah terbabit dengan kemalangan jalan raya apabila motosikal ditunggangi dirempuh sebuah kereta dan kepalanya terhantuk di permukaan jalan.

“Bermula dari situ, dia anak bongsu daripada 13 beradik, tidak lagi ceria dan kerap berkurung dalam bilik, tetapi dia memang bersedia untuk bersekolah semula di tingkatan lima apabila persekolahan dibuka Januari ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian dan motifnya dalam siasatan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanah Rancangan Felda Chiku 2, pagi semalam./sinarharian

Wanita mati dipukul suami

Seorang wanita mati disyaki dibunuh suami sendiri
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat. 
 Seorang wanita mati disyaki dibunuh suami sendiri
Anggota polis melakukan siasatan.
ALOR SETAR: Seorang pembantu kedai ditemui mati dipercayai dibunuh oleh suaminya di Kampung Alor Gelegah, Mukim Derga di sini hari ini.

Ketua Jabatan Bahagian Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi tadi, wanita berusia 17 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak bernyawa akibat hentakan objek tumpul dan keras.

"Berdasarkan maklumat awal, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian berkenaan.

"Di mana, jam kira-kira 2.15 pagi, kami telah menerima aduan mengenai pergaduhan antara pasangan suami isteri itu," katanya.

Katanya, selepas pasangan ini bergaduh, mereka keluar dari rumah, dan pulang semula 15 minit kemudian bersama sebuah lagi motosikal yang ditunggangi seorang lelaki.

Namun, katanya, sesi pergaduhan antara pasangan yang baru mendirikan rumah tangga Jun lepas, berulang di kawasan depan rumah.

Polis menahan tiga suspek termasuk suami mangsa.

Suami mangsa merupakan seorang mekanik berumur 26 tahun manakala dua lagi suspek yang ditangkap, dipercayai rakan kepada suami Nur Fatimah berumur dalam lingkungan 20an.

Zakaria berkata, motif sebenar pembunuhan mangsa akan disiasat./sinarharian

Jumaat, 28 Disember 2012

Lagi kes remaja dirogol berkumpulan, mangsa bunuh diri

NEW DELHI - Polis India menahan tiga suspek dinamakan dalam nota, yang ditinggalkan oleh seorang remaja yang mendakwa dia menjadi mangsa geng rogol, sementara kemarahan di negara itu berhubung peningkatan kes rogol meningkat.

Ketua Polis Daerah Patiala, Punjab, Paramjit Singh Gill berkata, gadis berusia 17 tahun itu meninggal dunia kelmarin selepas meminum racun.

Dalam nota yang ditulis sebelum membunuh diri, gadis malang itu menyalahkan ketiga-tiga suspek menyebabkan kematian beliau.

Gill berkata, tiga suspek itu sudah pun ditangkap polis.

Gadis itu mendakwa dia dirogol semasa perayaan Deepavali pada 13 November lepas.

Bagaimanapun kes itu tidak dilaporkan sehingga 14 hari kemudian.

Dua pegawai polis yang terlibat mengendalikan kes itu turut dipecat dan yang lain digantung kerana keluarga gadis malang itu mendakwa pegawai terbabit menyuruh mereka menarik semula kes aduan yang dibuat.

Gadis malang itu mengambil keputusan untuk membunuh diri selepas kejadian yang sama menimpa seorang pelajar wania yang dirogol di dalam bas pada 16 Disember lalu./sinarharian

Pelajar 14 tahun ditahan disyaki rogol remaja perempuan

KANGAR: Seorang pelajar berusia 14 tahun ditahan polis kerana disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di dua lokasi iaitu di Chuping dan Bukit Jernih dalam kejadian pada 18 Disember lalu.

Ketua Polis Perlis SAC Zull Aznam Harun berkata pelajar itu ditahan Selasa lalu dan ditahan reman sehingga esok untuk membantu siasatan kes itu.

Rakan pelajar itu yang berumur 18 tahun dan merupakan pekerja sebuah syarikat turut ditahan kerana disyaki mencabul adik perempuan remaja perempuan itu yang berumur 13 tahun juga di lokasi dan pada tarikh yang sama, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya siasatan awal polis mendapati adik mangsa telah menemani mangsa bertemu dengan pelajar itu yang merupakan teman lelakinya dan rakan pelajar itu yang kemudian membawa mereka dengan motosikal masing-masing ke sebuah rumah di Chuping.

Di rumah itu, katanya mangsa mendakwa telah dirogol teman lelakinya itu manakala adiknya dicabul oleh rakan pelajar itu dan mereka kemudian telah dibawa ke sebuah rumah di Bukit Jernih dan diperlakukan perkara yang sama.

Zull Aznam berkata kes rogol itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan manakala kes cabul mengikut Seksyen 354 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, katanya polis menahan seorang lelaki warganegara Thailand berumur 20-an pada Isnin lalu kerana disyaki mendera anaknya yang berusia 37 hari dan kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Lelaki yang disyaki penagih dadah itu dikatakan melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Tersusun, Padang Besar pada kira-kira 5.30 pagi pada 24 Disember lalu dengan menggoncang dan melambung mangsa yang sedang menangis berkali-kali.

Peniaga di bazar Wang Kelian itu ditahan pukul 4.50 petang hari yang sama selepas polis menerima aduan daripada ibu mangsa yang berusia awal 20-an pada 1.56 tengah haru, katanya.

Lelaki itu yang direman sehingga esok disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya./Bernama

Khamis, 27 Disember 2012

Gadis cuba terjun selepas kelar tangan

Gadis cuba terjun selepas kelar tangan
Pihak bomba memujuk gadis Vietnam yang cuba terjun dari tingkat tiga Apartment Casaria, Taman Maluri, Cheras.
KUALA LUMPUR - Kepantasan dan kecekapan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) telah menyelamatkan seorang gadis warga Vietnam yang cuba terjun dari tingkat tiga Apartment Casaria, Taman Maluri, Cheras, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, orang awam yang berada berhampiran lokasi bertindak menghubungi bomba sebaik melihat tindakan gadis berusia dalam lingkungan 20-an duduk di birai tingkap unit rumahnya dalam keadaan murung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pudu, Suhaimi Mahmood, berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.56 petang sebelum tiga jentera termasuk jentera Turn Table Ladder (TTL) Magirus, dari Balai Pudu dan Hang Tuah bergegas ke lokasi.

Menurutnya, pihak bomba yang tiba tujuh minit kemudian bertindak memasang beg udara sebagai persediaan mengelakkan kecederaan teruk pada gadis itu sekiranya dia terjun.

“Dalam masa sama kita berusaha memujuknya dengan memasuki unit rumahnya. Ketika dia leka berbual-bual dalam usaha memujuk, pihak bomba bertindak menariknya ke dalam rumah.

“Kita mendapati dia mengelar kedua-dua pergelangan tangannya dipercayai menggunakan pisau yang ditemui. Bagaimanapun, tidak dipastikan mengapa dia bertindak demikian,” katanya kepada Sinar Harian.

Seramai 17 anggota terlibat dalam operasi menyelamat itu, termasuk Unit Motosikal Gerak Cepat (RIM) dan Unit Emergency Medical Rescue Service (EMRS) bomba.

Usaha menyelamat yang hanya mengambil masa 11 minit itu turut menarik perhatian orang awam yang berada di lokasi berhampiran.

Gadis tersebut dipercayai tinggal bersama beberapa teman serumah yang lain, namun ketika kejadian tiada penghuni lain yang berada di rumah.

Dia dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk rawatan lanjut./sinarharian

Rabu, 26 Disember 2012

Padah 'baham' dua beradik

Padah 'baham' dua beradik
Dari kiri, Sandi dan Heri diiringi anggota polis (kanan) keluar dari kamar mahkamah sebelum dihantar ke penjara menjalani hukuman selepas mengaku bersalah atas tuduhan rogol.
KUANTAN - Dua beradik itu baru berusia 12 dan 14 tahun. Seorang daripadanya sebelum ini menunjukkan prestasi yang baik dalam pelajaran.

Namun masa depan dua kanak-kanak Orang Asli itu dibimbangi terjejas berpunca daripada satu insiden awal pagi 13 Disember lalu apabila mereka jadi pemuas nafsu dua warga Indonesia yang bekerja di Ladang Rompin Seong Thye Plantations, Muadzam Shah, Rompin.

Mengikut fakta kes, kejadian yang pasti meninggalkan kesan yang mendalam terhadap dua kanak-kanak itu dan juga keluarga mereka berlaku antara jam 1.30 hingga 5 pagi.

Pada mulanya, kehilangan dua beradik itu disedari keluarga mereka kira-kira jam 6 pagi, 15 Disember setelah mendapati mereka tiada di bilik tidur.

Susulan itu, bapa mangsa keluar mencari dan mendapati dua anaknya berada di dalam bilik hadapan rumah dua warga Indonesia itu, Sandi, 23, dan Heri Huswandi, 22.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun sudah melarikan diri. Selepas keluarga malang itu membuat laporan polis, Sandi dan Heri dikesan dan ditahan di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Masjid, Muadzam Shah kira-kira jam 1 petang hari yang sama.

Kedua-dua lelaki itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan.

Dua pekerja kilang itu masing-masing dihukum penjara enam tahun dan tiga sebatan selepas mengaku bersalah oleh Hakim Jamaludin Mat yang juga memutuskan hukuman terhadap mereka dikira bermula tarikh mereka ditangkap 15 Disember 2012.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuan mereka merayu agar hukuman diringankan memandangkan mereka masuk ke negara ini secara sah demi mencari rezeki untuk membantu keluarga.

Mereka juga berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu dan sedia mengaku salah atas kesalahan yang dilakukan sebagai tanda keinsafan walaupun terpaksa berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazlin Mohd Yusoff bagaimanapun memohon supaya hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh memandangkan mangsa masih di bawah umur dan sepatutnya dilindungi.

“Dalam kes ini, salah seorang mangsa (adik) merupakan murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini apabila memperoleh keputusan 2A 3B dan disebabkan kejadian itu, masa depannya mungkin agak gelap,” katanya./sinarharian

Isnin, 24 Disember 2012

Penjara sebulan cabul jiran

Penjara sebulan cabul jiran
Mohd Riduan dibawa ke Mahkamah Majistret, semalam.
KUALA TERENGGANU - Seorang pekerja pelantar minyak dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah mencabul jiran sekampungnya.

Mohd Riduan Abdul Aziz, 28, dari Rumah Murah Teluk Pasu, Manir, di sini, mengaku bersalah sengaja mencabul kehormatan mangsa berusia 21 tahun, dengan meramas buah dadanya di Jalan Buluh Gading, Manir, di sini, kira-kira jam 9.30 malam pada 25 September lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi, manakala Mohd Riduan tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, mangsa bersama adiknya sedang menunggang motosikal sebelum dihampiri Mohd Riduan yang secara tiba-tiba muncul dengan sebuah motosikal.

Mohd Riduan cuba menghimpit motosikal mangsa dan mencabulnya sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun, mangsa sempat mengambil nombor pendaftaran motosikal Mohd Riduan dan turut mengecam wajahnya kerana ketika kejadian, dia tidak memakai topi keledar./sinarharian

Ahad, 23 Disember 2012

Bomoh rogol murid tahun enam

Bomoh rogol murid tahun enam
Asmah (kiri) bersama anaknya menunjukkan surat pengesahan hospital dan laporan polis.
ALOR SETAR – Seorang murid perempuan tahun enam di sini trauma selepas menjadi mangsa nafsu serakah bomoh bergelar ‘ustaz’ apabila dipercayai dirogol berulang kali dalam kejadian berasingan di Taman PKNK, sejak awal tahun lalu.

Lelaki berusia 64 tahun itu dikatakan mengambil kesempatan melampiaskan nafsu selepas mangsa ditinggalkan ibunya kepada ‘ustaz’ berkenaan di rumah itu untuk sesi rawatan pada waktu pagi sebelum menjemputnya pada waktu tengah hari.

Ibunya, Asmah, 47, (bukan nama sebenar) berkata, dia tidak menyangka anaknya menjadi mangsa nafsu serakah lelaki itu kerana beranggapan lelaki itu akan cuba membantu anaknya yang didakwanya mempunyai sejenis penyakit dalam badan.

Katanya, dia hanya dapat tahu perkara itu selepas anaknya menceritakan peristiwa hitam itu kepada sepupunya sebelum diberitahu kakaknya.

“Masa itu saya nak buat rawatan kepada mak sebab badan dia sering gatal. Selepas dapatkan rawatan, penyakit mak pulih. Pada masa sama, lelaki itu turut memberitahu anak saya alami sejenis penyakit dalam badan dan perlu rawatan secepat mungkin.

“Saya memang tidak sangka lelaki itu tergamak buat macam ini kepada anak saya sebab saya beranggapan dia akan tolong anak saya betul-betul. Boleh dikatakan selang sehari saya dapatkan khidmat daripada lelaki itu untuk ubati penyakit anak,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu mendakwa anaknya perlu dimasukkan ke dalam sebuah bilik tanpa teman untuk elak gangguan semasa sesi rawatan.

“Percaya dengan kata-kata itu, saya pun tunggu di ruang tamu. Selepas sesi rawatan, 'ustaz' itu memaklumkan anak saya mempunyai penyakit misteri, iaitu terdapat batu dalam badannya dan perlu dikeluarkan melalui kemaluan.

“Pada suatu hari, dia sekali lagi minta saya hantar anak ke rumahnya untuk selesaikan rawatan sepenuhnya. Kemudian, saya hantar anak ke rumah lelaki itu sambil ditemani sepupunya, namun lelaki itu menghalau kami pulang kerana membawa teman. Dakwanya kalau bawa teman rawatan tidak boleh dilakukan.

“Bagaimanapun, selang dua minggu kemudian, lelaki itu menghubungi saya dan meminta anak saya datang ke rumah itu secepat mungkin untuk menyelesaikan penyakitnya dan dibenarkan bawa teman. Saya pun tinggalkan anak dan anak saudara yang berumur 16 tahun di rumah itu sebelum menjemput mereka pada waktu tengah hari selepas selesai waktu bekerja,” katanya.

Asmah berkata, dia tidak sangka peristiwa hitam itu akan berlaku setelah anaknya memaklumkan dirinya dirogol lelaki itu sementara anak saudaranya pula dicabul kemaluannya sepanjang berada di rumah itu.

“Selepas mengetahui perkara itu, saya bawa anak dan anak saudara ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan. Doktor yang merawat turut mengesahkan bahawa terdapat kesan koyakan pada kemaluannya.

“Saya tidak puas hati dengan perbuatan lelaki itu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar supaya anak saya mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Asmah turut merayu polis bertindak segera kerana laporan sudah dibuat sejak tahun lalu./sinarharian

Sabtu, 22 Disember 2012

Mayat seorang kanak-kanak perempuan yang hampir rentung ditemui

JOHOR BAHRU: Polis hari ini menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan dengan kesan terbakar hampir 80 peratus pada badannya di tepi Jalan Salleh, Taman Ungku Aziz di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan Supt Abdul Samad Salleh berkata mayat kanak-kanak yang dianggar berusia setahun itu ditemui pada pukul 4.30 petang oleh orang awam yang kemudian menghubungi polis.

Polis yang bergegas ke tempat kejadian mendapati mayat itu dibungkus dalam beg plastik sebelum dibakar, katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya pemeriksaan awal juga mendapati ada kesan lebam pada dahi mangsa.

Polis juga menemui tong berisi minyak petrol dipercayai diguna untuk membakar mayat kanak-kanak malang itu, katanya menambah kawasan kejadian merupakan jalan mati dan jauh daripada pandangan orang awam.

"Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat bayi itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, di sini, untuk bedah siasat," katanya./Bernama

Jumaat, 21 Disember 2012

Mayat bayi tanpa tangan

 
SEREMBAN – Manusia tidak berhati perut!

Itu yang boleh digambarkan terhadap individu yang sanggup membuang bayinya sendiri sehingga mati di Tapak Pelupusan Sampah Pajam di sini, kelmarin.

Lebih menyayat hati, mayat bayi yang ditemui oleh salah seorang pekerja di situ dalam keadaan pergelangan tangan kanannya putus.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, bayi yang dipercayai berusia seminggu dan mempunyai anggaran berat dua kilogram itu, dijumpai kira-kira jam 3 petang di dalam longgokan sampah di kawasan berkenaan.

Katanya, kejadian disedari oleh salah seorang pekerja yang ketika itu sedang membersihkan kawasan pelupusan sampah berkenaan.

“Kita percaya bayi tersebut telah dibuang ke dalam tong sampah di suatu kawasan lain, dan kemudian baru ditemui di tempat pelupusan sampah ini.

“Hasil bedah siasat yang dilakukan kita tidak mengetahui punca sebenar kematian kerana ianya tidak berjaya ditemui.

“Begitu pun kes akan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya.

Sementara itu, menurut saksi kejadian, Fauzi Tukijo, 45, pada mulanya dia menyangka bahawa bayi tersebut adalah anak patung.

Namun, apabila dia meneliti bungkusan tersebut, rupa-rupanya adalah mayat seorang bayi.

“Semasa sedang meratakan kawasan pelupusan sampah ini dengan menggunakan jentolak, tiba-tiba jentolak itu tidak bergerak.

“Lalu saya melihat di bahagian bawah dan mendapati sebuah bungkusan yang dibaluti dengan kemeja hitam berada di bawah jentolak tersebut.

“Sebaik sahaja membuka bungkusan itu, saya amat terkejut melihat seorang bayi perempuan yang cukup sifat tidak bernyawa lagi dan segera mengalihkannya sebelum menghubungi polis,” katanya./sinarharian

Lelaki maut ditembak di Bukit Mertajam

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki mati selepas ditembak dari jarak dekat oleh suspek bermotosikal ketika sedang minum bersama rakan di sebuah kedai makan di Jalan Kampung Baru di sini, awal hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Mazlan Kesah berkata dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu, Khor Chun Hau, 41, terkena tiga das tembakan dan mati dalam perjalanan ke hospital.

Mangsa sedang minum bersama empat rakan, apabila dihampiri dua lelaki menaiki sebuah motosikal yang kemudian melepaskan tembakan dan mengenai bahu kiri, dada kiri dan belakang mangsa, katanya kepada pemberita, di sini.

Menurutnya kedua-dua suspek memakai topi keledar bertutup separa dan menutup sebahagian muka mereka dengan kain.

"Polis telah menubuhkan pasukan khas bagi menjejaki penjenayah terbabit dan motif pembunuhan masih dalam siasatan," katanya menambah mangsa bekerja di sebuah syarikat pembalakan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan./Bernama

Warga Pakistan didakwa sebabkan kematian pelajar perempuan

Amir Ali Khan Nawaty
Amir Ali Khan Nawaty, 40, (tengah) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar perempuan di Kota Marudu - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Pakistan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar perempuan di Kota Marudu pada bulan lepas.

Amir Ali khan Nawaty, 40, didakwa menyebabkan kematian Norikoh Saliwa, 16, di dalam sebuah lori di Km2.8, Jalan Kota Marudu-Langkon pada 25 November lepas antara 11 pagi dan 12.30 tengah hari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Duncan Sikodol kemudiannya menolak permohonan tertuduh untuk dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu sebutan semula kes itu yang ditetapkan pada 14 Januari depan.

Sebelum itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dibebaskan dengan ikan jamin atas alasan beliau berkahwin dengan seorang wanita tempatan dan mempunyai dua orang anak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin membantah permohonan tersebut berdasarkan beberapa faktor termasuk kes itu serius yang membabitkan kepentingan umum, keselamatan tertuduh dan kebarangkalian melarikan diri kerana tertuduh bukan warganegara Malaysia.

Beliau turut memohon perintah mahkamah supaya pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Kes kematian Norikoh, berasal dari Kampung Bombong 1, Kota Marudu, yang ditemui mati terbaring di tepi jalan Kota Marudu-Langkon pada 25 Nov lepas itu telah menggemparkan banyak pihak termasuk pemimpin negeri dan pemimpin parti politik tempatan sehingga menimbulkan pelbagai kontroversi./Bernama

Warga Bangladesh didakwa liwat kanak-kanan lelaki

Seorang jurukimpal warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan meliwat seorang kanak-kanak lelaki berumur sembilan tahun pada Oktober lepas.

Md. Rezaul dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Blok B, Lorong Merak 57, Taman Merak Jaya, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan (SPS), pada 12 tengah hari, Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh tidak memahami bahasa Malaysia dan tidak mempunyai jurubahasa.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi menetapkan 23 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Md. Daud./ Bernama

Mayat gadis dibungkus plastik hitam ditemui di dalam kereta

KULAIJAYA: Mayat seorang wanita yang dibungkus dengan plastik hitam yang kemudian cuba dibakar ditemui di dalam sebuah kereta di Kampung Desa Idaman, Bukit Batu, Sedenak di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Dr. Hashim Haron berkata, semasa ditemui pada pukul 7.30 pagi, mangsa yang dikenali sebagai Nor Roziah Zakaria, 25, dipercayai sudah mati dibunuh lebih 14 jam sebelum itu.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati mangsa yang berasal dari Peringgit, Melaka mati akibat dijerut di leher sebelum cuba dibakar di dalam kereta Perodua Viva di kawasan dusun buah-buahan itu.

“Terdapat kesan bakar di tempat duduk depan dan belakang kereta itu. Kita mengesyaki pembunuh cuba memadamkan bukti pembunuhan dengan membakar kereta tersebut namun gagal,” kata beliau./kosmo

Rabu, 19 Disember 2012

Pelajar perempuan dirogol, dicampak dari bas

NEW DELHI: Kejadian seorang pelajar perempuan berusia 23 tahun dirogol, dipercayai oleh empat lelaki, dalam sebuah bas di sini Ahad lalu mencetuskan kemarahan di seluruh India.

Kejadian itu turut membangkitkan kemarahan di kalangan ahli Parlimen hari ini, yang mendesak agar undang-undang sedia ada dipinda untuk mengenakan hukuman mati.

Polis telah menahan empat orang termasuk pemandu bas. Dua lagi masih dicari.

"Apa yang kerajaan lakukan untuk menangani kes-kes rogol di ibu negara?" kata Sushma Swaraj dari parti pembangkang, Bharatiya Janata.

"Perogol hari digantung, kita perlukan undang-undang yang ketat untuk menghentikan kejadian rogol," kata beliau lagi.

Pada hari kejadian, pelajar perempuan itu dan rakan lelakinya yang sedang dalam perjalanan itu dipukul, dilucutkan pakaian dan dicampak keluar dari bas.

Menurut polis, pasangan itu diserang oleh sekurang-kurangnya empat lelaki.

Ketua Polis Delhi, Neeraj Kumar memberitahu pemberita hari ini bahawa pelajar itu dan rakannya menaiki bas di kawasan Munirka, yang terletak di selatan Delhi.

"Kawan lelaki pelajar perempuan telah melawan lelaki-lelaki yang menyerang mereka untuk menyelamatkan pelajar perempuan itu, tetapi dipukul dengan teruk.

"Pelajar perempuan untuk juga menyelamatkan kawannya, tetapi turut dipukul dan dirogol di bahagian belakang bas.

"Kemudian, kedua-dua mereka dicampak dari bas," kata Neeraj.

Pasangan itu dimasukkan ke hospital dan wanita itu dipercayai berada dalam keadaan kritikal.

Polis sudah menahan pemandu bas dan beberapa yang lain bagi membantu siasatan.

Angka kejadian rogol di New Delhi lebih tinggi berbanding di bandar lain. Sebanyak 572 kes dilaporkan di New Delhi tahun lalu.

The Times of India mendakwa insiden yang berlaku itu menyebabkan mereka melabelkan New Delhi sebagai kawasan rogol India.

Ketua Menteri Delhi bagaimanapun memberitahu pemberita, kes terbaru ini sesuatu yang paling luar biasa.

“Kami ingin memastikan bahawa pesalah tidak akan dibenarkan untuk diikat jamin walau apa keadaan sekalipun. Pesalah akan dihukum dengan hukuman yang setimpal dengan kesalahan mereka," katanya.

Kata Ketua Menteri, pihaknya akan menimbang semula keperluan untuk menubuhkan mahkamah ‘fast track’ bagi emmastikan keadilan yang pantas dapat diberikan kepada mangsa./sinarharian

Selasa, 18 Disember 2012

Mati terkulai dalam kereta

 
ANGGOTA polis menyiasat mayat Suntarambhal yang ditemui mati dikelar di dalam kereta miliknya di Desa Mentari, Petaling Jaya semalam.
PETALING JAYA: Tanda-tanya seorang suami mengenai isterinya yang gagal dihubungi terjawab apabila wanita itu ditemui mati dibunuh di dalam kereta jenis Honda City miliknya di tepi jalan berdekatan kawasan perumahan Desa Mentari di sini semalam.

Mayat S. Suntarambhal, 33, ditemui dengan lehernya dikelar pada pukul 1.15 pagi oleh orang awam.

Mengimbau semula kejadian itu, suami mangsa yang ingin dikenali sebagai Durairaju, 36, berkata, sebelum kejadian, isterinya ada memberitahu ingin keluar ke kawasan berdekatan rumah kira-kira pukul 10 malam atas urusan perniagaan. Rumah mereka terletak di Taman Damai Perdana, Cheras.

Katanya, tidak lama kemudian, dia hairan apabila gagal menghubungi telefon bimbit isterinya sebelum membuat laporan di Balai Polis Damai Perdana pada pukul 4 pagi.

"Saya kemudian diarahkan pergi ke Balai Polis Sungai Way dan sebaik tiba saya terkejut apabila dimaklumkan isteri saya telah dibunuh," ceritanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur./kosmo

Sabtu, 15 Disember 2012

Anak enggan bayar denda kes khalwat ibu

Anak enggan bayar denda kes khalwat ibu
Tertuduh lelaki dan pasangan wanita diiringi pegawai penguat kuasa syariah untuk dihantar ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan atas dakwaan berkhalwat
DUNGUN: Gara-gara tidak mahu bersubahat dengan ibunya, seorang anak gadis enggan membayar denda mahkamah yang dikenakan ke atas ibunya, setelah wanita berstatus ibu tunggal itu didapati bersalah berkhalwat di sebuah rumah di Paka, awal Januari lalu.

Tertuduh, Nor Rasidah Abd Rashid, 40, tidak dapat menahan sebak apabila mengetahui dia bakal dipenjarakan setelah gagal menjelaskan denda mahkamah berjumlah RM1,800.

Namun selepas beberapa jam menunggu di pekarangan mahkamah, wanita yang disabitkan atas kesalahan mengikut Seksyen 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya, akhirnya berjaya dibebaskan setelah seorang rakannya tampil menjelaskan denda.

Nor Rasidah bersama pasangannya, Wan Mohd Rizal Wan Ariff, 22, ditahan Pegawai Penguat kuasa Syariah Kemaman di sebuah rumah di Kampung Darat Kolam, sehari sebelum perbicaraan tersebut, setelah menghadapi waran tangkap kerana gagal tampil di mahkamah untuk menghadapi tuduhan khalwat yang dikenakan ke atas mereka sebelumnya.

Tertuduh perempuan itu dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Dungun pagi kelmarin bersama Wan Mohd Rizal dan didapati bersalah serta didenda RM1,800 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

Wan Mohd Rizal yang menghadapi tuduhan sama bagaimanapun gagal menjelaskan denda menyebabkan dia yang berasal dari Kampung Gelugor, Kerteh, Kemaman itu dihantar ke penjara Marang, untuk menjalani hukuman penjara selama dua bulan./sinarharian

Jumaat, 14 Disember 2012

Dituduh rogol sampai mati

BENTONG: Tanpa sebarang reaksi di wajahnya, Rabidin Satir, 42, yang digari bersama dua anggota polis di kiri kanannya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan membunuh dan merogol sehingga membawa kepada kematian seorang gadis berusia 17 tahun di Kampung Ketari, di sini, pada 2009.

Dia yang berasal dari Tambunan, Sabah juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Raub atas empat pertuduhan rogol terhadap dua kanak-kanak, dua remaja dan melakukan seks luar tabii terhadap salah seorang mangsa antara tahun 2009 dan 2011.
Bagi pertuduhan membunuh dan merogol remaja berusia 17 tahun itu, tiada pengakuan diambil. Rabidin juga digelar Rambo Bentong.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 Januari ini sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Rabidin didakwa membunuh mangsa di sebuah rumah di Kampung Ketari di sini antara jam 11.30 malam (7 Mac 2009) dan 1.50 tengah hari pada 8 Mac 2009./hmetro

Remaja perempuan mengaku tidak bersalah sebabkan kematian bayi

KANGAR: Seorang remaja perempuan hari ini dihadapkan ke mahkamah majistret Kangar atas tuduhan menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkannya pada 24 Okt lalu.

Bagaimanapun remaja berusia 17 tahun itu mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu antara jam 12.30 tengah hari dan 5.30 petang di dalam tandas di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Padang Benta dekat sini.
Remaja itu dituduh mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan itu dan boleh dihukum mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Remaja yang berbaju kurung berwarna merah putih dan bertudung merah yang diwakili peguam Pyara Singh itu memohon dibicarakan dan timbalan pendakwa raya, Noor Syazwani Mohamad Sobry memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun majistret Zuhair Rosli memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin sama ada ibu atau bapanya dan menetapkan 6 Feb 2013 sebagai sebutan pengurusan kes.

Remaja itu kemudiannya dibawa ke sebuah pusat tahanan di Kedah sementara menunggu jaminan itu./Bernama

Rabu, 12 Disember 2012

Padah raba punggung pelajar

 Padah raba punggung pelajar
Mohd Khairul mengaku meraba punggung seorang pelajar tingkatan lima di Mahkamah Majistret, semalam.
KUALA TERENGGANU: Padah memegang punggung seorang pelajar tingkatan lima, seorang penganggur berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan kerana mencabul.

Tertuduh, Mohd Khairul Mat Amin, 28, dari Kampung Bukit Depu, Jalan Pasir Panjang, di sini, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Mohd Khairul mengaku menyentuh punggung mangsa berusia 17 tahun menggunakan tangan dengan niat mencabul kehormatan dirinya di lorong gelap di Jalan Pejabat Tanah, di sini, kira-kira jam 8.15 malam pada 30 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Majistret Noradila Ab Latif menetapkan 13 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk jatuh hukum dan membenarkan Mohd Khairul diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna, manakala Mohd Khairul tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian mangsa bersama kakak angkatnya dalam perjalanan ke kelas tambahan di Losong, Chabang Tiga, di sini, dengan menaiki motosikal sebelum diekori Mohd Khairul.

Ketika tiba di satu lorong gelap, Mohd Khairul yang menaiki motosikal menghimpit mangsa dan cuba memegang buah dada kakak angkat mangsa tetapi tidak berjaya.

Namun, Mohd Khairul sekali lagi menghimpit motosikal dinaiki mangsa dan meraba punggung mangsa dari arah belakang menyebabkan mangsa membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga./sinarharian

Kemaluan perogol bertayam

 
MOHAMAD FADZLIE (kanan) dan Mohd. Khairiell Idzham berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR: Keterangan seorang wanita Vietnam mengatakan dia terpegang satu objek keras pada kemaluan lelaki yang merogolnya ketika sesi kawad cam dapat mengheret pemuda itu ke muka pengadilan sekali gus membuatkan tertuduh mengaku salah atas tuduhan tersebut.

Mohamad Fadzlie M. Rosdi, 20, mengaku yang dia ada memasang bebola besi atau ‘tayam’ pada kemaluannya ketika merogol mangsa di sebuah rumah urut di Setapak di sini pada pukul 1 pagi 25 November lalu.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Difahamkan, kawad cam itu dilakukan sebaik polis menahan Mohamad Fadzlie yang datang ke balai polis. Dia diserahkan oleh bapanya selepas gambar tertuduh yang dirakam kamera televisyen litar tertutup premis itu disiarkan akhbar.

Selain merogol, penganggur itu turut dituduh merompak premis tersebut bersama buruh kontrak, Mohd. Khairiell Idzham Hashimi, 21, dan dua lagi yang masih bebas menggunakan parang di tempat dan waktu yang sama./kosmo

Isnin, 10 Disember 2012

Jurutera komputer mati dibunuh perompak

SEPANG: Naluri seorang ibu yang berasa tidak sedap hati selepas anak lelakinya gagal dihubungi sejak kelmarin terjawab apabila pemuda itu ditemui mati dibunuh dalam kejadian samun di rumahnya di Jalan PP 2/22, Taman Putra Perdana di sini.

Mayat jurutera komputer di Cyberjaya, Selangor, Loh Min Lee, 36, ditemui pada pukul 6 petang oleh ibunya yang bergegas ke rumah mangsa selepas merasakan sesuatu telah menimpa anaknya. Mangsa tinggal bersendirian di rumah teres dua tingkat itu.

Difahamkan, ibu bapa mangsa yang tinggal di kawasan berhampiran biasanya pergi ke rumah mangsa setiap hujung minggu bersama pembantu rumah untuk membersihkan kediaman berkenaan.

Ketika ditemui, mayat Min Lee terbaring di atas katil di bilik tidur utama di tingkat atas./kosmo

Ahad, 9 Disember 2012

Mayat wanita dalam parit teman lelaki ditahan

SANDAKAN: Polis hari ini menahan reman seorang lelaki bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang wanita dalam parit di hadapan sebuah bengkel membaiki motosikal di Batu 3 dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rowell Marong berkata, lelaki berusia 21 tahun itu adalah warga Filipina dan dipercayai teman lelaki wanita berkenaan.

Katanya, lelaki itu ditahan kira-kira pukul 4 petang di kawasan Bandar Sandakan iaitu dalam masa kurang 24 jam selepas mayat wanita itu ditemui orang awam dengan tujuh kesan tikaman.

Rowell berkata, lelaki berkenaan, seorang penganggur, tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri./Bernama

Rabu, 5 Disember 2012

Sorok mayat bayi dalam almari

 Ghuzlan Saleh
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh
KULIM: Cubaan seorang gadis berusia 20 tahun merahsiakan kelahiran bayinya terbongkar apabila bapanya menemui mayat bayi yang siap dibungkus di dalam almari pakaian anaknya di rumahnya di sebuah perumahan di sini, semalam.

Sebelum itu, bapa gadis berkenaan membawa anaknya berjumpa doktor di sebuah klinik di sini, untuk mendapatkan rawatan selepas anaknya mengadu sakit perut kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.

Pada keesokan harinya, ibu gadis terbabit yang sedang mengemas dapur terjumpa satu objek dipenuhi darah yang diletakkan di dalam plastik dan dia segera memaklumkan penemuan objek itu kepada suaminya.

Untuk mendapatkan kepastian tentang penyakit dialami anaknya, bapa gadis berkenaan membawa bungkusan plastik mengandungi objek itu ke klinik di mana anaknya mendapatkan rawatan, memangkan semasa anaknya berjumpa doktor dia hanya menunggu di luar.

Rahsia mula terbongkar apabila doktor memaklumkan objek berkenaan merupakan uri wanita yang baru bersalin dan menasihatkannya untuk membawa anaknya mendapatkan rawatan di hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, doktor yang merawat suspek di hospital mengesahkan suspek bersalin dan bayinya meninggal dunia.

“Bapa suspek meminta suspek menunjukkan lokasi di mana mayat bayi dimaksudkan itu disembunyikan dan menemuinya di dalam almari pakaian di bilik suspek.

Mayat bayi itu kemudiannya dibawa ke hospital untuk bedah siasat dan doktor mengesahkan bayi itu meninggal dunia sebelum dilahirkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran./sinarharian

Isnin, 3 Disember 2012

.Jurujual dirompak dan dirogol di Kemaman

Seorang jurujual berumur 18 tahun mengharungi pengalaman pahit setelah dirompak dan dirogol oleh seorang lelaki di Chukai, Kemaman kelmarin.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, mangsa telah didatangi seorang lelaki bersenjatakan pisau yang terus mengacu dan mengugut semasa dia berada di bilik asrama pekerja yang disediakan majikan.

Mangsa yang ketakutan telah diikat kaki, tangannya pada katil serta mulut sebelum dirogol.

Lelaki yang dianggarkan berusia sekitar 30-an itu kemudian melarikan sebuah komputer riba milik mangsa dengan membiarkan mangsa dalam keadaan terikat.

Kejadian itu hanya disedari rakan mangsa kira-kira dua jam kemudian dan mangsa terus membuat laporan polis dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumahnya selepas mendapatkan rawatan.

"Tiada kecederaan lain dilaporkan dan pihak polis sedang menjalankan siasatan untuk mengesan suspek yang dipercayai berketurunan India," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak./Bernama

Ahad, 2 Disember 2012

Abang maut dibelasah adik

Seorang remaja maut selepas dibelasah oleh adik kandungnya dalam satu pertengkaran di Kem Sungai Ara, Bayan Lepas di George Town malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 17, mati akibat mengalami kecederaan dalaman di kepala di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Difahamkan pertengkaran berlaku apabila suspek, 15, yang baru pulang ke rumah dikatakan mengusik adik perempuan mereka yang berusia enam tahun.

Mangsa yang sedang berbaring di atas sofa dikatakan tiba-tiba bangun dan terus menendang suspek.

Marah dengan tindakan abangnya, suspek kemudian bertindak menumbuk bahagian kepala abangnya berkali-kali sehingga rebah di atas lantai.

Mangsa, anak sulung daripada tiga beradik itu baru sahaja selesai menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) Isnin lalu.

Menurut jurucakap polis, ibu mereka cuba meleraikan pergaduhan antara dua beradik itu namun gagal dan juga meminta jiran untuk membawa mangsa ke HPP.

"Polis sudah menahan suspek di kediaman mereka bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md Zin ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh./ Bernama