Sabtu, 1 Disember 2012

Padah rogol pelajar

KUALA LUMPUR - Seorang pengurus syarikat pengurusan tempat letak kereta dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas didapati bersalah merogol seorang pelajar berusia 15 tahun, dua tahun lalu.

Hakim Emylia Kaswati Mohd Khalid menjatuhkan hukuman itu ke atas Kennedy How, 30, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

How didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Happy Garden, Brickfield, pada 7 November 2010, sekitar jam 11 malam.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, seramai 8 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Tertuduh yang diwakili peguam K Muthiah, dalam rayuannya, memohon hukuman ringan diberikan memandangkan dia masih muda dan perlu bekerja bagi menyara keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling memohon mahkamah menjatuhkan hukuman sewajarnya ke atas tertuduh kerana melakukan jenayah rogol ke atas mangsa di bawah umur, yang semakin serius dalam kalangan masyarakat.

Chean Ling turut memaklumkan, tertuduh juga gagal dihubungi semasa satu prosiding bicara sehingga waran tangkap dikeluarkan.

Peguam Muthiah, bagaimanapun, memohon hukuman penjara 12 tahun yang ditetapkan bermula hari ini, ditangguhkan kerana mereka akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah membenarkan permohonan penangguhan itu dan mengekalkan ikat jamin RM15,000 serta larangan tertuduh membuat pasport sehingga kes itu selesai./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan