Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh
KULIM: Cubaan seorang gadis berusia 20 tahun merahsiakan kelahiran bayinya terbongkar apabila bapanya menemui mayat bayi yang siap dibungkus di dalam almari pakaian anaknya di rumahnya di sebuah perumahan di sini, semalam.
Sebelum itu, bapa gadis berkenaan membawa anaknya berjumpa doktor di sebuah klinik di sini, untuk mendapatkan rawatan selepas anaknya mengadu sakit perut kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.
Pada keesokan harinya, ibu gadis terbabit yang sedang mengemas dapur terjumpa satu objek dipenuhi darah yang diletakkan di dalam plastik dan dia segera memaklumkan penemuan objek itu kepada suaminya.
Untuk mendapatkan kepastian tentang penyakit dialami anaknya, bapa gadis berkenaan membawa bungkusan plastik mengandungi objek itu ke klinik di mana anaknya mendapatkan rawatan, memangkan semasa anaknya berjumpa doktor dia hanya menunggu di luar.
Rahsia mula terbongkar apabila doktor memaklumkan objek berkenaan merupakan uri wanita yang baru bersalin dan menasihatkannya untuk membawa anaknya mendapatkan rawatan di hospital.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, doktor yang merawat suspek di hospital mengesahkan suspek bersalin dan bayinya meninggal dunia.
“Bapa suspek meminta suspek menunjukkan lokasi di mana mayat bayi dimaksudkan itu disembunyikan dan menemuinya di dalam almari pakaian di bilik suspek.
Mayat bayi itu kemudiannya dibawa ke hospital untuk bedah siasat dan doktor mengesahkan bayi itu meninggal dunia sebelum dilahirkan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan