Memaparkan catatan dengan label Ragut. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ragut. Papar semua catatan

Khamis, 29 November 2012

Dua peragut tegar tumpas

 Dua peragut tegar tumpas
Mohd Nor (duduk) dan pegawainya menunjukkan barang milik mangsa yang ditemui semasa serbuan dijalankan
MERSING: Tindakan pantas pihak polis berjaya memberkas dua lelaki yang dilaporkan melakukan kes ragut terhadap seorang guru Kafa yang dalam perjalanan dari bandar Endau menuju Jalan Haji Arifin di sini, 22 November lalu.

Kedua-dua suspek yang berusia 17 dan 21 tahun itu, ditangkap polis selepas sehari laporan dibuat mangsa.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintenden Mohd Nor Rasid berkata, kedua-dua suspek yang ditahan turut dikenal pasti positif dadah jenis syabu.

“Mangsa perasan diekori sebuah motosikal yang ditunggangi kedua-dua suspek. Tidak lama kemudian, beg tangan yang diletakkan di dalam raga dirampas dan suspek terus melarikan diri menghala ke Kampung Belukar Juling.

“Ketika tangkapan, pihak kami menemui beg tangan milik mangsa bersama dompet dan turut merampas dua telefon bimbit berserta sebuah motosikal curi jenis Honda EX5 yang dilaporkan sudah seminggu hilang dari tarikh tangkapan,” katanya kepada Sinar
Harian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing, semalam.

Mohd Nor berkata, salah seorang suspek mengaku telah melakukan lebih kurang empat kes ragut di sekitar kawasan berkenaan.

Tambahnya, kedua-duanya mengaku turut melakukan jenayah ini bersama seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Iwan.

“Pihak kami masih menjalankan siasatan untuk memberkas suspek ini yang dikatakan turut terlibat dengan jenayah ragut,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama orang ramai yang berani tampil memberi maklumat sehingga berjaya membuat tangkapan ke atas suspek berkenaan./sinarharian

Khamis, 30 Ogos 2012

Ragut: Wanita ditetak hampir putus tangan

Ragut: Wanita ditetak hampir putus tanga
Orang ramai membantu mangsa yang cedera ditetak peragut di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
KOTA BHARU: Seorang pembantu klinik swasta hampir putus pergelangan tangan kirinya selepas ditetak salah seorang daripada dua peragut di hadapan sebuah pusat jualan tudung di Jalan Sultanah Zainab di sini, hari ini.

Kejadian yang berlaku pada jam 1.30 petang itu berlaku ketika mangsa Rohaini Abdullah, 36, sedang berjalan kaki seorang diri di hadapan pusat jualan berkenaan untuk ke tempat letak keretanya, yang tidak jauh dari situ.

Ketika melalui jalan tersebut, dua peragut menghampiri mangsa dan berlaku pergelutan sehingga menyebabkan salah seorang dari peragut tersebut bertindak menetak mangsa menggunakan objek tajam.

Difahamkan mangsa yang berasal dari Kampung Pintu Geng di sini baru sahaja menamatkan kerja shif siang sebelum kembali semula untuk shif malam.

Ibu kepada dua cahaya mata yang pengsan selepas kejadian itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan.

Saksi kejadian, Hidayah Daud, 21, berkata kejadian itu berlaku di hadapan pusat jualan tudung berkenaan yang merupakan tempat dia bekerja.

“Ketika kejadian saya lihat peragut berkenaan menarik beg tangan mangsa namun tidak berhasil apabila mangsa berjaya menariknya.
“Selepas itu mangsa mula menjerit meminta tolong dan pergelutan di antara mereka kemudian terus berlarutan sehingga ke tepi jalan,” katanya.

Hidayah berkata, menyedari mangsa masih tidak melepaskan beg tangannya, peragut berkenaan seterusnya bertindak ganas dengan menetak pergelangan tangan kiri mangsa.

“Mangsa ditetak lebih tujuh kali sehingga terjatuh dan masa itu darah telah berlumuran pada tangan mangsa. Selepas itu peragut tersebut telah bertindak melarikan diri dengan membonceng motosikal yang ditunggang seorang lagi rakanya yang sudah menunggu apabila menyedari kehadiran orang ramai di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, peragut tidak sempat melarikan barangan berharga daripada mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan serius iaitu luka sedalam 38 sentimeter dan putus urat pergelangan tangan kiri.

Katanya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan serta meminta orang ramai tampil membantu siasatan./sinarharian

Ahad, 3 Jun 2012

Warga emas maut angkara peragut

PASIR MAS: Hasrat seorang wanita untuk pulang ke rumah selepas membeli barangan bagi membuat kuih berkecai apabila dia maut selepas terjatuh dari motosikal yang dinaiki bersama adiknya setelah beg tangannya cuba diragut penjenayah.

Zaharah Zakaria, 63, yang ketika itu membonceng motosikal ditunggang adiknya, Faridah, 47, disahkan meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian Kpada pukul 6.45 pagi semalam akibat kecederaan parah di kepala. Faridah cedera di buku lali kanan kaki.

Kejadian pukul 12.30 tengah hari kelmarin di Jalan Kubang Panjang, Pasir Mas, itu berlaku apabila motosikal yang dinaiki dua beradik itu dihimpit oleh seorang penunggang motosikal yang cuba meragut beg tangan yang disandang di bahu Zaharah tetapi gagal.

Ketika itu, mereka dalam perjalanan dari Bandar Pasir Mas ke Kubang Panjang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Tengku Azman Tengku Abdullah berkata, ekoran itu, kedua-dua beradik itu terjatuh manakala suspek melarikan diri.

Katanya, mangsa yang parah kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Suspek menaiki sebuah motosikal jenis Honda EX5 berwarna merah dan kita sedang mencarinya bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, anak sulung Zaharah, Nariha Mamat, 38, berkata, kejadian berlaku kira-kira satu kilometer daripada rumah mereka di Kampung Endong di sini.

"Ibu saya bekerja sebagai penjual kuih dan dia sering bersama ibu saudara saya untuk membeli barang ke pasar," ceritanya./kosmo

Khamis, 8 Mac 2012

RM25,000 lesap diragut tunggu teksi

PETALING JAYA: Seorang usahawan jualan langsung berputih mata apabila beg tangan miliknya mengandungi wang RM25,000 diragut dua lelaki ketika sedang menunggu teksi di Mentari Court, Bandar Sunway, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa yang juga seorang wanita berusia 35 tahun keluar dari rumahnya menemui rakan kongsi.

Menurut sumber, mangsa yang sedang menunggu teksi bersendirian dihampiri sebuah motosikal dinaiki dua lelaki dengan berpura-pura menanyakan arah jalan.

“Ketika menunjukkan arah jalan, pembonceng motosikal itu menarik beg tangan mangsa sebelum segera memecut dari tempat kejadian,” katanya.

Berikutan kejadian, mangsa tampil membuat laporan di balai polis berhampiran kawasan berkenaan./hmetro

Jumaat, 16 Disember 2011

Jururawat kena ragut maut

Jururawat kena ragut maut
GEORGETOWN: Kejam perkataan paling sesuai diberikan kepada individu yang bertanggungjawab menyebabkan kematian seorang jururawat pelatih sebuah hospital swasta dekat sini, malam kelmarin.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, G Malathi, 24, maut dipercayai diragut sebelum terbabas berikutan gagal mengawal moto­sikalnya di Jalan Residensi, dekat sini.

“Mangsa dipercayai bergelut dengan peragut yang menyebabkan dia tidak dapat mengawal motosikalnya lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan. Ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal Yamaha Lagenda berseorangan.

“Mangsa anak kedua daripada tiga beradik meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan serius,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai terbabas, namun punca kemalangan masih disia­sat.

Menurutnya, dompet dan telefon bimbitnya juga gagal ditemui.

Difahamkan, mangsa yang baru setahun bekerja di sebuah hospital swasta di Jalan Macalister dekat sini mempunyai kelulusan Diploma Kejururawatan dari sebuah institut pengajian tinggi swasta di negeri ini dan berasal dari Gelugor.

Ketika ditemui, mangsa berpakaian kemeja T dan dalam keadaan terbaring, manakala motosikalnya berada berhampiran pada jarak kurang lima meter dari lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan kejadian itu dan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1989.

“Mayat mangsa dihantar ke HPP untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya,” katanya./sinarharian

Selasa, 6 Disember 2011

Mangsa ragut maut rempuh tiang elektrik

WARI menunjukkan tiang elektrik di Kampung Keluat, Beris Kubor Besar, Bachok yang dilanggar isterinya, Siti Dilema kelmarin.
BACHOK: Seorang ibu kepada tujuh orang anak maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai terbabas dan melanggar tiang elektrik ketika mengejar dua penjenayah yang meragut dompetnya dalam kejadian di Kampung Keluat, Beris Kubor Besar di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, Siti Delima Aladdin, 43, yang sebelum itu sudah mengejar peragut sejauh enam kilometer, maut di tempat kejadian.

Mangsa mengalami kecederaan parah manakala anak lelakinya Mohd. Hishamuddin Yari, 11, yang membonceng hanya cedera ringan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah apabila dua lelaki bermotosikal meragut dompetnya.

Beliau berkata, sebaik diragut, mangsa terus mengejar peragut tersebut sebelum terbabas dan melanggar tiang elektrik.

“Mangsa disahkan mati di tempat kejadian dan kerugian dianggarkan bernilai RM1,000," katanya ketika dihubungi di sini semalam./kosmo

Sabtu, 3 Disember 2011

Beg diragut selepas pinjam wang

Siti Mariam masih terlantar di Hospital Pulau Pinang semalam selepas cedera ketika cuba menghalang peragut melarikan beg tangan kakaknya.
GEORGE TOWN:Tekad dua beradik cuba menyelamatkan beg tangan yang diragut seorang lelaki di Jalan Masjid Kapitan Keling, di sini tidak berhasil apabila motosikal mereka ditendang suspek sehingga terbabas kelmarin.

Akibatnya, Siti Mariam Zulkifli, 25, bersama kakaknya, Noor Azlinah, 40, cedera selepas tersungkur di bahu jalan dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu.

Siti Mariam cedera di muka dan patah tangan kanan dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala kakaknya hanya luka ringan di tangan./kosmo

Sabtu, 5 November 2011

Janda 18 tahun ditahan meragut nak beli dadah

KULAIJAYA: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang juga ibu tunggal nekad meragut beg duit seorang wanita di depan sebuah pasar raya di bandar ini, petang kelmarin, semata-mata mahu membeli dadah.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa berusia 59 tahun berjalan seorang diri selepas membeli-belah sebelum diragut dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata tindakan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan ringan.

“Kejadian berlaku di tempat letak kenderaan pasar raya berkenaan, suspek kemudian melarikan diri namun jeritan mangsa didengari orang awam yang terus mengejar peragut terbabit.

“Pada masa sama, orang ramai memaklumkan kejadian kepada anggota MPV yang melakukan rondaan di lokasi berhampiran,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya, semalam.

Suspek ditahan dan menurut Zulkefly, siasatan mendapati suspek ibu tunggal dan mempunyai seorang anak berusia setahun.

Ketika melakukan jenayah itu, Zulkefly berkata, suspek berada di bawah pengaruh dadah jenis Methamphetamine.

“Ujian air kencing mengesahkan suspek berada di bawah pengaruh dadah terbabit, beg duit mangsa bersama wang tunai RM120, kad kredit dan kad pengenalan ditemui semula.

“Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu dipercayai meragut bagi mendapatkan bekalan dadah untuk kegunaan sendiri,” katanya./hmetro

Sabtu, 22 Oktober 2011

Disamun ketika leka melayan telefon

KUANTAN: Kelekaan seorang suri rumah berbual menerusi telefon di luar perkarangan rumahnya di Taman Amalina Lestari dekat Raub membawa padah apabila dia disamun dua lelaki bermotosikal sehingga mengalami kerugian kira-kira RM8,000 tengah hari kelmarin.

Pegawai Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, mangsa berusia 45 tahun dikatakan sedang berbual melalui telefon berhampiran simpang masuk ke rumahnya.

Menurutnya, ketika leka melayan panggilan itu, mangsa didatangi dua lelaki bermotosikal dan berpakaian serba hitam dalam keadaan mencurigakan.

“Pembonceng motosikal tersebut turun mendekati mangsa sebelum bertindak menarik dua utas rantai yang dipakai wanita itu hingga putus.

“Akibat tindakan penjenayah itu, mangsa terjatuh bagaimanapun dia terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Nor Asyikin berkata, tidak cukup dengan dua utas barang kemas itu, suspek turut melarikan telefon bimbit yang digunakan mangsa.

“Bimbang perbuatan mereka disedari orang ramai, suspek segera melarikan diri menaiki motosikal menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Mangsa juga tidak sempat mengecam wajah dan identiti suspek kerana mereka memakai topi keledar,” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian, mangsa membuat laporan polis dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti suspek terlibat.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya./sinarharian

Selasa, 27 September 2011

Ragut Rantai Leher: Teman Lelaki Ditahan

KUANTAN: Seorang lelaki ditahan selepas teman wanitanya membuat laporan polis berhubung tindakannya meragut rantai leher dan mencuri pemain cakera video digital (dvd) wanita berkenaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt Nordin Mustapha berkata mangsa, 43, hanya membuat laporan polis semalam selepas dua minggu merayu teman lelakinya itu memulangkan semula rantai leher dan pemain dvd berkenaan.

"Kejadian ragut itu berlaku pada 11 September lepas apabila teman lelakinya itu datang ke rumah mangsa kira-kira 7.30 pagi sebelum bertindak meragut rantai mangsa dan melarikan pemain dvd milik wanita berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata berikutan laporan itu, polis berjaya menahan suspek, 30, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, di rumah suspek di Batu 3, Jalan Gambang pada Ahad.

"Siasatan awal mendapati rantai leher milik mangsa telah dijual suspek bagaimanapun pemain dvd itu masih disimpannya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.

Jumlah kerugian mangsa yang bekerja sebagai pencuci pejabat itu dianggarkan bernilai RM3,000./Bernama

Isnin, 26 September 2011

Wanita kejar, tendang motosikal peragut

JOHOR BAHRU: Seorang wanita bertindak nekad mengejar dan menendang motosikal seorang lelaki yang meragut beg tangan miliknya di Jalan Maju, Taman Pelangi, di sini hari ini.

Dalam kejadian 4.15 petang itu, Cindy Tan, 52, yang bekerja sebagai jurujual sedang dalam perjalanan ke sebuah kedai percetakan untuk menempah kad perniagaan dengan menaiki skuter Yamaha Ego.

Dia dihampiri sebuah motosikal Kawasaki KR-150 dari arah belakang sebelum peragut berkenaan bertindak meragut beg tangan yang diletakkan di tempat letak kaki skuternya.

"Saya terus kejar lelaki itu dan langgar motosikal dia dari belakang, menyebabkan kami berdua jatuh.

"Lepas itu saya terus bangun dan ambil beg tangan saya lalu lari ke dalam restoran untuk mendapatkan bantuan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Lelaki tersebut tidak dapat melarikan diri kerana kakinya dihempap motosikal dan orang ramai yang melihat kejadian itu segera menangkap dan menyerahkannya kepada anggota polis peronda.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata semakan awal mendapati saspek tiada rekod kesalahan lampau.

Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun dan mendatangkan kecederaan./Bernama

Khamis, 8 September 2011

Dua peragut pura-pura beraya

KUANTAN: Dua lelaki yang segak berpakaian Melayu, kononnya mahu datang berhari raya di rumah “Makcik Jenab”, bertindak meragut seorang suri rumah yang sedang membersihkan laman rumahnya.

Ketika kejadian 9.30 pagi di Sungai Koyan, dekat Raub, itu mengakibatkan mangsa, 35, mengalami kerugian RM7,000 selepas rantai leher dan seutas loketnya diragut dua lelaki terbabit.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Supritendan Nordin Mustapha, sebelum kejadian, mangsa melihat kedua-dua suspek beberapa melintasi rumahnya dengan sebuah motosikal.

"Suspek kemudian memberhentikan motosikal di depan rumah mangsa dan berpura-pura bertanyakan rumah “Makcik Jenab”, suspek beritahu dia dan rakannya hendak beraya di rumah “Makcik Jenab”,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Suspek berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu kemudiannya bertindak meragut rantai leher mangsa./Bernama

Khamis, 25 Ogos 2011

Orang Ramai Cekup Peragut Guna Taktik Simbah Cili Boh

KUANTAN: Taktik dua peragut menyimbah cili boh ke muka mangsa sebelum meragutnya tidak menjadi apabila seorang daripada mereka dicekup orang ramai yang mendengar jeritan mangsa, dalam satu kejadian di sini Rabu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuantan DSP Kamaruzzaman Jaafar berkata dalam kejadian 9 pagi di Jalan Datuk Lim Hoe Lek itu, dua lelaki menaiki motosikal menghampiri seorang pengedar barang makanan yang baru mengambil wang daripada pelanggan.

"Selepas mengutip wang daripada klien, mangsa yang berusia 38 tahun itu menuju ke keretanya. Dia dihampiri dua suspek itu dan seorang daripada mereka menyimbah cili boh ke muka mangsa dan seorang lagi meragut beg sandangnya yang mengandungi wang tunai RM90,000," katanya ketika dihubungi.

Kedua-dua lelaki terbabit cuba melarikan diri, namun orang ramai yang mendengar jeritan mangsa bertindak mengejar dan berjaya menangkap seorang daripada suspek.

Katanya mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada pukul 11 pagi.

"Mangsa berjaya mendapatkan kembali wang tunai miliknya yang disimpan dalam beg itu.

"Hasil siasatan awal terhadap suspek pula mendapati dia berusia 30an, bekerja sebagai penarik kereta dan positif dadah," katanya.

Beliau berkata polis kini mengesan seorang lagi peragut yang masih bebas dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan./BERNAMA

Isnin, 30 Mei 2011

Padah ragut

KUANTAN: Cubaan seorang remaja berusia 15 tahun meragut beg galas seorang wanita berakhir dengan tragik apabila jatuh tersungkur dari motosikal diboncengnya sebelum ditahan dalam kejadian di Lorong Tun Ismail 10, di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, wanita berkenaan yang berusia dalam lingkungan 30-an, keluar dari sebuah kedai makan menuju ke keretanya bersama beberapa rakan lain.

Ketika wanita yang bekerja sebagai akauntan dari Kuala Lumpur itu berjalan ke keretanya, remaja terbabit yang menaiki motosikal dari belakang cuba meragut beg galas wanita berkenaan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Asisten Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, berkata mangsa kemudian melawan dan berlaku tarik-menarik.

“Dalam kelam-kabut, suspek yang tidak menyangka wanita itu melawan, menyentap beg galas, tetapi wanita berkenaan enggan melepaskan begnya.

“Selepas berlaku tarik menarik, suspek tiba-tiba jatuh tersungkur dari motosikal dan dikepung orang awam.

“Mangsa pula terjatuh di atas jalan dan dilaporkan cedera ringan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam./hmetro

Sabtu, 21 Mei 2011

Pelajar perempuan maut kejar peragut

KANGAR: Seorang pelajar perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini maut dalam usahanya mengejar peragut yang dikatakan cuba meragut rantai leher perak milik adiknya di Km 10, Jalan Kaki Bukit di Beseri dekat sini malam tadi.

Nur Syaza Yasmin Ruslan, 17, yang mengejar peragut dengan motosikal meninggal di tempat kejadian apabila motosikalnya dikatakan bergesel dengan motosikal peragut sebelum mangsa terpelanting di atas jalan raya dan dilanggar pula oleh sebuah kereta dalam kejadian kira-kira 8 malam itu.

Adiknya, Nur Syaza Naurah, 15, yang membonceng motosikal itu menceritakan kejadian tersebut bermula ketika mereka baru sahaja mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Balai Baru apabila dihampiri oleh seorang penunggang motosikal yang bertanyakan sesuatu tetapi mereka tidak mengendahkanya.

"Pada masa yang sama lelaki itu cuba meragut rantai leher saya tetapi gagal kerana saya sempat menepis tangannya,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Keteri.

Dia berkata kakaknya yang naik berang telah mengejar motosikal peragut itu bagi mendapatkan nombor pendaftaran motosikal tersebut.

Namun motosikal yang mereka naiki hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya selepas berselisih dengan sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, selepas terjatuh dia sempat bangun menyelamatkan diri tetapi kakaknya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar Hassan dilanggar pula oleh sebuah kenderaan lain yang datang dari arah belakang menyebabkan dia meninggal serta merta di tempat kejadian.

Mayat Nur Syaza Yasmin dibawa ke Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di tanah perkuburan Bukit Keteri sebelum solat Jumaat.

Pegawai Turus Trafik Perlis, ASP Rosli Yahaya berkata pihaknya telah menahan dua pemandu kenderaan terbabit.

"Kedua-dua pemandu berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun. Salah seorangnya adalah pemandu yang kenderaannya berselisih dengan motosikal mangsa manakala sorang lagi yang melanggar mangsa,” katanya.

Beliau juga berkata polis masih belum pasti sama ada kes tersebut membabitkan kes ragut tetapi masa masa ini kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lelaki yang dikatakan peragut itu belum dapat dikesan./Bernama

Isnin, 2 Mei 2011

Parah ditikam peragut


.


MAT RASHID terpaksa menerima 15 jahitan di perut selepas ditoreh dengan pisau oleh dua peragut.

MACHANG: Seorang peniaga restoran nyaris maut apabila ditikam dan ditoreh di perut serta tangan kiri ketika bergelut dengan dua penyamun yang cuba meragut rantai leher adik iparnya di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas, dekat sini, Mat Rashid Othman, 53, sedang melayan pelanggan di restorannya yang terletak bersebelahan dengan kedai runcit milik adik iparnya, Che Zamrah Mohamad, 43.
Sebaik mendengar jeritan Che Zamrah, dia bergegas ke kedai adik iparnya itu dan mendapati dua lelaki cuba meragut rantai mangsa.
Mat Rashid cuba membantu mangsa dan bergelut dengan suspek hingga menyebabkan dia ditikam dan ditoreh.
Selain Mat Rashid, anak saudaranya yang juga anak ketiga Che Zamrah, Mohd. Effifazlu Romi, 17, yang cuba membantu turut cedera ditoreh di perut.
Mengimbau semula kejadian itu, Che Zamrah berkata, ketika hendak menutup kedai, salah seorang daripada dua lelaki bermotosikal datang ke kedainya kononnya hendak membeli barangan dapur.
Katanya, ketika hendak membungkus barang itu, lelaki berkenaan terus menerkam ke arahnya untuk meragut rantai lehernya./kosmo


Jumaat, 11 Mac 2011

Nenek cemas diacu parang

SEREMBAN: Seorang nenek cemas apabila lehernya diacukan sebilah parang panjang dalam kejadian ragut, oleh seorang lelaki bermotosikal di Rumah Rakyat Panchor, di sini, semalam. 

Mangsa, Rosnah Emby, 66, ketika ditemui berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi selepas dia membeli ikan dan sayur daripada peniaga di taman terbabit. 

Menurutnya, selepas membeli barangan keperluan dapur, dia dan dua lagi rakannya duduk di sebuah pondok sambil bersembang. 

“Sewaktu kami berbual-bual, datang seorang lelaki bermotosikal menghampiri kami dan bertanyakan alamat sebuah jalan. 

“Belum sempat saya menjawab pertanyaannya, lelaki terbabit telah mengeluarkan sebilah parang panjang, lalu mengacukannya ke leher saya dan terus merentap rantai serta gelang tangan,” katanya. 

Rosnah berkata, dia kerugian hampir RM8,000 dan salah seorang rakan turut cedera kerana terjatuh sewaktu berlari menyelamatkan diri. 

“Keadaan kelam-kabut kerana masing-masing panik sewaktu melihat peragut mengeluarkan parang. 

“Malah saya sendiri tidak mampu berkata apa-apa kerana terlalu takut,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Paroi./sinarharian

Rabu, 9 Mac 2011

Penganggur ragut pekebun diberkas

KUANTAN: Cubaan seorang lelaki meragut wanita warga Indonesia yang baru mengeluarkan wang di sebuah bank berjaya dipatahkan apabila penjenayah itu diberkas polis dalam kejadian di persimpangan Sungai Jan dekat Jerantut, kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, pekebun berusia 42 tahun itu ditolak dari belakang hingga terjatuh sebelum beg tangannya yang mengandungi wang tunai RM107 dilarikan suspek. 

Ketika itu mangsa berjalan seorang diri menuju ke sebuah pasar raya selepas mengeluarkan wang di sebuah bank di bandar berkenaan. 

Pegawai Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, akibat kejadian mangsa yang cedera di kaki dan tangan kiri menjerit meminta pertolongan sambil mengerang kesakitan. 

Menurutnya, wanita itu bernasib baik apabila kejadian sempat disaksikan seorang anggota Rela yang kebetulan berada di kawasan berkenaan. 

“Lelaki itu segera menghubungi polis sebelum mengejar suspek yang cuba melarikan diri ke arah pasar tani berhampiran. 

“Polis yang tiba di tempat kejadian selepas menerima laporan berjaya memberkas suspek dengan bantuan anggota Rela itu,” katanya di pejabatnya di sini, semalam. 

Noor Asyikin berkata, polis tidak menolak kemungkinan suspek sudah memerhatikan mangsa dari jauh sebelum meragutnya ketika keluar dari bank berkenaan. 

“Siasatan mendapati suspek berusia 28 tahun yang berasal dari Kuala Lipis itu mempunyai beberapa rekod lampau termasuk kes dadah dan melupuskan barang curi,”katanya. 

Noor Asyikin berkata, suspek yang tidak bekerja itu kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan./sinarharian

Selasa, 1 Mac 2011

Dua wanita jadi mangsa ragut

KUANTAN: Dua wanita menjadi mangsa ragut dalam masa selang 10 minit di dua kawasan perumahan di Bentong ketika masing-masing membuka pintu pagar rumah.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata kejadian pertama berlaku kira-kira 10.30 pagi membabitkan seorang guru berusia 56 tahun yang baru pulang ke rumahnya.

Wanita itu diragut ketika mahu masuk semula ke dalam keretanya selepas membuka pintu pagar rumah di mana secara tiba-tiba seorang lelaki yang memakai topi keledar meluru ke arahnya dan menarik rantai di lehernya, katanya.

Katanya mangsa tidak sempat berbuat apa-apa kerana terkejut dan hanya mampu melihat suspek dan rakannya melarikan diri dengan sebuah motosikal bersama rantainya bernilai RM3,000.

Kejadian kedua pula, katanya berlaku kira-kira 10 minit kemudian apabila seorang jururawat berusia 55 tahun diragut ketika membuka pintu pagar rumahnya di Taman KSM, Bentong.

"Mangsa juga dihampiri dua lelaki bermotosikal dan memakai topi keledar yang bertindak meragut rantai leher bernilai RM15,000,” katanya.

Beliau berkata polis percaya kedua-dua kes dipercayai dilakukan oleh suspek yang sama./Bernama

Isnin, 28 Februari 2011

Jom Heboh: Wanita dicekup ketika meragut

KUALA TERENGGANU 27 Feb: Orang ramai ke Karnival Jom Heboh di sini, dengan niat untuk berhibur, namun lain pula dilakukan wanita ini apabila ke karnival itu dengan tujuan meragut.

Tindakannya bagaimanapun memakan diri apabila dia dicekup ketika cuba meragut rantai emas seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun semalam.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zamri Samsuddin berkata, suspek berusia 39 tahun dan berasal dari Pulau Pinang berjaya dicekup orang ramai sebelum diserahkan kepada pihak polis.

"Berikutan penahanan wanita itu, polis percaya dapat menyelesaikan tiga kes ragut sepanjang karnival terbabit, sejak kelmarin," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada masa sama, Zamri berkata, pihaknya berjaya menghalang satu cubaan untuk mencuri motosikal pada hari kedua karnival itu.

"Saya ingin berterima kasih kepada orang ramai dan semua pihak kerana turut sama membantu polis bagi mencegah kegiatan jenayah," katanya./utusan