KUANTAN: Kelekaan seorang suri rumah berbual menerusi telefon di luar perkarangan rumahnya di Taman Amalina Lestari dekat Raub membawa padah apabila dia disamun dua lelaki bermotosikal sehingga mengalami kerugian kira-kira RM8,000 tengah hari kelmarin.
Pegawai Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, mangsa berusia 45 tahun dikatakan sedang berbual melalui telefon berhampiran simpang masuk ke rumahnya.
Menurutnya, ketika leka melayan panggilan itu, mangsa didatangi dua lelaki bermotosikal dan berpakaian serba hitam dalam keadaan mencurigakan.
“Pembonceng motosikal tersebut turun mendekati mangsa sebelum bertindak menarik dua utas rantai yang dipakai wanita itu hingga putus.
“Akibat tindakan penjenayah itu, mangsa terjatuh bagaimanapun dia terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.
Nor Asyikin berkata, tidak cukup dengan dua utas barang kemas itu, suspek turut melarikan telefon bimbit yang digunakan mangsa.
“Bimbang perbuatan mereka disedari orang ramai, suspek segera melarikan diri menaiki motosikal menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Mangsa juga tidak sempat mengecam wajah dan identiti suspek kerana mereka memakai topi keledar,” katanya.
Menurutnya, selepas kejadian, mangsa membuat laporan polis dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti suspek terlibat.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan