ALOR GAJAH: Seorang suami sempat meninggalkan nota pesanan tulisan tangan kepada isterinya sebelum bertindak membunuh dirinya di dalam sebuah bilik mandi di rumahnya di Taman Seri Bayan, Gangsa, Durian Tunggal, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 6.40 pagi itu, mangsa berumur 38 tahun ditemui terlentang berlumuran darah di dalam bilik mandi tingkat bawah rumahnya oleh isterinya sendiri yang menyedari ketiadaannya pada pagi kejadian.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, isteri mangsa berumur 36 tahun menyedari suaminya tiada di sisi ketika bangun tidur dan turun mencarinya di tingkat bawah.
Menurutnya, isterinya kemudian ke bahagian dapur dan mendapati pintu bilik air berkunci dari dalam.
“Isterinya cuba mengetuk dan memanggil nama suaminya beberapa kali tetapi tidak berjawab.
“Justeru, isterinya bertindak membuka pintu bilik air menggunakan kunci pendua dan terkejut melihat mangsa dalam keadaan terlentang berlumuran darah sebelum menghubungi ambulans,” katanya.
Umar Ali Saifuddin berkata, dua bilah pisau ditemui berhampiran mayat mangsa, yang dipercayai digunakan untuk membunuh diri berikutan terdapat tiga kesan tikaman di dada dan perut serta kesan kelar pada pergelangan tangan kiri.
“Mangsa yang bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang di Batu Berendam turut meninggalkan sehelai nota pesanan kepada isterinya, yang ditemui bersebelahannya.
“Mangsa berpesan supaya menjaga dua anaknya berusia 7 dan 11 tahun, selain meminta isterinya tidak bersedih dengan kematiannya. Mangsa turut menyatakan dia menghadapi tekanan kerja dan tak mampu selesaikannya sehingga mengambil tindakan membunuh diri,” katanya.
Menurutnya, selepas siasatan di tempat kejadian dilakukan, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, rakan sekerja mangsa, S Seliyan, 38, berkata, mangsa tidak menunjukkan apa-apa :perubahan, malah tetap ceria seperti biasa ketika bersama-sama bermain futsal pada malam sebelum kejadian.
“Kami rapat dan saya sudah mengenalinya lebih lima tahun lalu. Saya terkejut apabila dimaklumkan mangsa meninggal dunia.
“Saya tidak sangka dengan tindakan nekad yang diambilnya kerana dia kelihatan gembira dengan kerja yang dilakukannya,” katanya./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan