AMPANG: Seorang guru wanita mendakwa dibelasah hingga hampir pengsan oleh seorang jiran lelakinya yang naik angin selepas mereka bertengkar berhampiran rumahnya di Taman Cheras di sini, Isnin lalu.
Fiza, 31, yang mengajar sukarela di sebuah pusat tahfiz memberitahu, jirannya itu secara tiba-tiba bertindak ganas membelasahnya sedangkan pertengkaran hanya mengenai kemalangan kecil melibatkan kereta mereka berdua.
Menceritakan kejadian itu Fiza berkata, pada kira-kira jam 6 petang, dia memandu keretanya selepas pulang mengajar dan kebetulan jirannya berusia lingkungan 30-an itu juga sedang memandu kereta di depannya.
“Tiba-tiba dia undur kereta dan rempuh bahagian hadapan kereta jenis Proton Persona milik saya. Saya keluar dari kereta untuk selesaikan masalah kerana kereta saya calar tetapi dia marah saya, sambil cabar supaya ambil tindakan undang-undang sekiranya saya tidak puas hati.
“Ketika saya hendak hubungi polis, dia secara tiba-tiba bertindak ganas, menumbuk muka saya sehingga berdarah, kemudian memukul saya berkali-kali dan terajang peha saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Menurutnya, selepas dibelasah bertalu-talu, dia hampir pitam akibat kesakitan tetapi jiran yang disifatkannya naik angin tidak tentu pasal seperti orang gila itu terus menerus memarahinya sambil memaki hamun dengan kata-kata kesat.
Fiza berkata, lelaki yang tinggal berjiran dengannya sejak 2001 itu juga bertindak ganas dengan menendang bahagian tepi keretanya sehingga kemek.
Menurutnya, penderitaan dibelasah jiran itu berakhir selepas seorang jirannya yang lain datang membantu, sekali gus meleraikan pergaduhan mereka berdua.
Katanya, kira-kira setengah jam selepas kejadian itu, dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah sebelum pergi ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan.
“Saya memang tidak sangka jiran saya boleh bertindak ganas terhadap wanita. Saya sangat terkejut dengan kejadian ini dan masih trauma apabila terkenangkan peristiwa itu,” katanya.
Menurutnya, sehingga sekarang jirannya itu masih belum memohon maaf atau mahu menyelesaikan kejadian itu secara baik.
Fiza berkata, dia bercadang mendapatkan khidmat nasihat peguam berhubung insiden itu sebelum mengambil tindakan undang-undang di mahkamah./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan