KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di Rumah Pangsa Sri Cempaka, Bandar Sri Damansara, Sungai Buloh, semalam.
Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya, Supt Meor Hamdan Meor Mohammad berkata, mangsa berusia 57 tahun itu ditemui terbaring di dalam bilik dengan kesan kelar di leher dan empat tikaman di badan, dada dan perut.
"Berdasarkan keadaan bilik yang berselerak, dipercayai berlaku pengelutan antara mangsa dengan lebih seorang suspek,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata polis menerima maklumat mengenai bau busuk yang mencurigakan di rumah terbabit kira-kira pukul 6 petang.
Mangsa dipercayai menyewa bersama empat lagi rakan yang bekerja di beberapa syarikat kawalan keselamatan.
Meor Hamdan berkata tiada sebarang senjata ditemui di tempat kejadian dan polis masih menjalankan siasatan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan