KEPONG: Hanya kerana menegur jiran yang melanggar keretanya, seorang warga emas ditumbuk bertubi-tubi tanpa belas kasihan oleh individu terbabit.
Dalam kejadian di Taman Beringin pagi Jumaat lalu, mangsa Mahmud Nawawi,58, cedera ditumbuk di muka serta patah tulang pinggul kanan selepas terjatuh diserang jiran berkenaan yang berusia 30 tahun itu.
Mangsa yang ditemui Sinar Harian di Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur semalam memberitahu bumper kereta Toyota Unser miliknya terjatuh kerana dilanggar oleh jirannya yang baru pulang dari kerja.
“Pada mulanya dia ada memberitahu dengan isteri saya untuk alihkan kereta yang diletakkan hadapan rumah tetapi ketika itu saya sedang tidur kerana pulang lewat berniaga pada waktu malam,”katanya.
Jelasnya, keretanya yang diletakkan di hadapan rumah langsung tidak mengganggu laluan jalan malah kenderaan jirannya masih boleh memasuki ruang rumahnya.
“Tiba–tiba kami dikejutkan dengan bunyi deruan enjin yang kuat diikuti bunyi benda dilanggar, bila periksa bumper kereta sudah jatuh dan suspek hanya buat tidak tahu sahaja menyebabkan saya bertanyakan perkara itu kepadanya, tidak semena-mena dia menumbuk muka saya,”katanya.
Akibat kejadian itu dia dikejarkan ke Hospital Selayang namun dirujuk ke Hospital Pusrawi kerana pembedahan hanya dapat dijalankan dalam tempoh tiga minggu hingga ke tiga bulan untuk menunggu giliran untuk dibedah.
“Bahagian pinggul kanannya kini terpaksa dimasukkan batang besi yang mempunyai lapan skru bagi menyokong tulang yang patah dan mengambil masa lebih kurang enam bulan untuk sembuh,”katanya.
Katanya, kos rawatan setakat semalam sudah mencecah RM 13,000 dan dia kini terpaksa memohon bantuan daripada Baitumal untuk menjelaskan bil tersebut.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.
Suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 kanun keseksaan kerana mendatangkan kecederaan./sinarhaarian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan