Selasa, 25 Oktober 2011

Helah premis tawar urutan batin terbongkar

SUBANG JAYA: Seorang lelaki yang hanya menutupi alat sulitnya dengan tuala ketika menikmati urutan gadis genit di sebuah premis di SS14, dekat sini kelam-kabut mengenakan pakaian sebaik menyedari premis terbabit diserbu pihak berkuasa lewat petang kelmarin.

Dia sebelum itu dipercayai mendapatkan khidmat urutan batin ditawarkan pengusaha rumah urut terbabit dengan bayaran antara RM50 hingga RM100 mengikut pakej diambil.

Bagaimanapun, tempoh kenikmatan diurut gadis berusia lingkungan 20-an itu tidak lama apabila dia bersama tukang urut berkenaan dicekup anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Dalam serbuan diketuai Pegawai Penguat kuasa MPSJ, Mazrul Zahar Mohd bersama 19 orang anggota MPSJ dan 11 anggota Jais itu, empat lagi tukang urut wanita termasuk pemilik premis beragama Islam ditahan.

Jurucakap Jabatan Penguatkuasaan MPSJ berkata, pihaknya menerima aduan berhubung aktiviti tidak bermoral yang dijalankan di premis berkenaan sebelum ini. Hasil siasatan ke atas premis mendapati terdapat empat pekerja wanita beragama Islam bekerja sebagai tukang urut.

“Pemeriksaan mendapati premis tersebut mempunyai lesen yang sah daripada MPSJ, tetapi pengusaha melanggar syarat-syarat lesen pusat kecantikan dan kesihatan yang dikeluarkan majlis dengan menawarkan khidmat urutan batin kepada pelanggan.

“Pengusaha premis dikenakan tindakan di bawah Undang-undang Kecil 13(k) Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Kesihatan MPSJ 2007 kerana melanggar syarat-syarat lesen dengan menjalankan perniagaan tidak mengikut sekatan lesen yang dikeluarkan MPSJ,” katanya pemilik berdepan tindakan denda maksimum sebanyak RM 1,000.

Beliau berkata, tindakan sitaan dan penutupan premis dikenakan ke atas premis tersebut. Manakala kesemua tukang urut wanita yang bekerja di premis diserahkan kepada Jais dan bakal dikenakan tindakan di bawah seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana cubaan berkhalwat.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM3,000 setiap seorang,” katanya./sinarharian
















Tiada ulasan:

Catat Ulasan